KUALA LUMPUR, 13 Oktober 2017 – Penyanyi wanita juga bergelar ‘Ratu Pop’ kelahiran Sabah Stacy, 27, sentiasa terkenal dengan kehebatannya beraksi di atas pentas dengan penuh bertenaga. Beliau kini kembali ke persada muzik tempatan dengan menghadiahkan sebuah lagi buah tangan untuk peminatnya, iaitu muzik video menerusi single ‘Cakap Ke Tangan’. Dilancarkan pada bulan Ogos lalu, single ini dilakar sepenuhnya oleh suaminya sendiri dan kolaborasi bersama Laq yang juga menjadi sebuah hadiah istimewa Akim buat isteri tercinta.
Selain fokus menguruskan dua cahaya matanya, penyanyi wanita yang pernah dinobatkan sebagai Juara Akademi Fantasia (AF) musim ke-6 sangat teruja untuk kembali berkarya dan memberikan yang terbaik bagi memenuhi permintaan para peminatnya,
“Hampir setahun saya berehat dari melakukan aktiviti-aktiviti seni, adalah semata-mata ingin fokus terhadap kehidupan bekeluarga, ini adalah kerana keluarga merupakan pemangkin kerjaya saya sebagai anak seni. Setelah berkeluarga, bergelar seorang isteri dan ibu, saya lebih menghargai kehidupan ini serta segala rezeki yang telah dikuniakan. Saya akui agak janggal untuk beraksi semula di hadapan kamera, kerana terlalu lama berehat sebagai anak seni. Kini, saya nekad untuk menumpukan sepenuh perhatian bagi meningkatkan lagi kualiti tarian dan nyanyian supaya tidak kekok apabila kembali beraksi nanti.
Selain itu, setiap hari saya cuba mendisplinkan diri untuk mengikuti jadual latihan nyanyian dan tarian. Dari segi mental dan fizikal, setiap hari saya perlu laksanakan latihan-latihan sebegini supaya dapat membiasakan diri dengan tarian dan menjadikan diri saya lebih cergas dan penuh bersedia untuk buat ‘comeback’ .Dengan lagu ini, saya ingin luahkan bahawa setiap pandangan positif mahupun negatif harus diterima dengan hati yang terbuka dan apabila ia keterlaluan saya hanya kata ‘talk to the hand’. Usah peduli apa orang kata janji kita tahu apa yang kita buat dan tidak mengganggu gugat sesiapa pun,” jelas beliau.
“Dari awal hingga akhir, banyak perubahan tarian baru yang ingin ditonjolkan, kerana saya suka sesuatu yang baru serta lain dari video muzik terdahulu. Walaupun kami melakukan penggambaran selama sehari, dari pagi sehingga ke larut malam, saya langsung tidak berasa letih kerana terlalu excited setelah lama tak melakukan aktiviti sebegini. Jalan ceritanya agak ringkas dan ada watak misteri bakal ditonjolkan yang menjadi simbol kepada semua anasir negatif di luar sana,” tambah Stacy.
Sebelum ini, Stacy sering menyanyikan lagu berunsur cinta serta kehidupan, tetapi kali ini Stacy kembali merancakkan industri hiburan tanahair dengan lagu ‘Cakap Ke Tangan’. Lagu ini merupakan pendekatan lebih agresif yang ingin ditonjolkan, di mana ia membawa maksud yang tersendiri kerana sepanjang berada di dunia hiburan, sebagai public figure beliau tidak lari daripada menjadi bahan kritikan sesetengah pihak di luar sana terutama para netizen yang menjadi keyboard warriors adakala mengusik emosi dirinya.
Adam Lobo, Ketua Label Muzik, Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd.,
“Saya yakin ramai peminat Stacy di luar sana yang rindukan buah tangan terbaharu darinya. Dengan terlahirnya muzik video ini, sedikit sebanyak mengubati rindu para peminat yang dahagakan aksi bertenaga penyanyi berbakat besar ini. Muzik video yang memakan masa hampir sehari untuk disiapkan ini, mempamerkan aksi lincah serta agresif yang merupakan trademark beliau sebagai penyanyi yang mahir menari ditambah pula dengan kostum edgy serta penari latar professional. Pihak kami yakin bahawa comeback ini adalah yang ditunggu-tunggu dan pasti memberi impak kepada industri muzik Malaysia. Saya juga berharap agar MV ini dapat diterima ramai kerana mesej yang cuba disampaikan dan kepada penggemar muzik tempatan agar terus menyokong kerjaya Stacy sampai bila-bila..”
Muzik video lagu ‘Cakap Ke Tangan’ boleh ditonton secara eksklusif menerusi saluran YouTube ‘Rocketfuel Network’ dan juga boleh dimuat turun di iTunes serta semua syarikat telekomunikasi tempatan sebagai nada dering panggilan dan boleh dinikmati melalui penstriman atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music. Sila layari saluran YouTube ‘Rocketfuel Network’ untuk maklumat lanjut.