(HIBURAN) SYIF MALAM – ‘Kisah Tiga Rakan Sepejabat Berhadapan Gangguan Menyeramkan’

Spread the love

Apabila bekerja syif, selalunya yang paling tidak digemari apabila tiba giliran syif malam. Lagi-lagi pada yang sudah berkeluarga. Banyak dugaan yang dilalui tatkala terpaksa bekerja mencari rezeki pada waktu orang lain sedang lena diulit mimpi. Apatah lagi apabila berhadapan dengan gangguan yang menyeramkan dan menakutkan di tempat kerja. 

Ia memberi inspirasi kepada syarikat Empire Film Solution Sdn. Bhd dan Thinkerbell Studios Sdn. Bhd untuk menghasilkan sebuah filem seram berjudul Syif Malam.

Penerbitnya, Mohamad Zubir Badar Shair berkata, idea menerbitkan Syif Malam timbul setelah menonton satu drama pendek yang tular di saluran YouTube Awanimbus beberapa tahun lalu.

“Menerusi drama pendek berdurasi 14 minit itu, saya lihat konsep dan jalan ceritanya cukup menarik dan menyeramkan, malah ia sudah ditonton sebanyak 1.6 juta penonton pada waktu itu.

“Kemudian, timbul idea untuk dikembangkan pula menjadi sebuah filem, tambahan pula genre seram cukup digemari penonton,” ujarnya.

Diarahkan oleh Fairus Anuar, Syif Malam menampilkan barisan pelakon seperti Taqim Zaki, Anas Ridzuan, Shahkimin, Zera Hariz, Kamarul Eqifshah, Sobri Anuar, Riezman Khuzaimi, Ismeth dan Mili Supina.

Zubir berkata, dia yakin filem yang berkisar tentang warga kerja syif malam diganggu perkara mistik ini mampu menarik perhatian peminat filem bergenre seram.

“Tidak dinafikan pasti ada segelintir daripada kita yang pernah berhadapan dengan pengalaman seram ketika bekerja waktu malam.

“Mungkin juga apa yang dipaparkan dalam filem ini sama seperti yang pernah dilalui oleh mereka yang mengalami situasi tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, pengarahnya Fairus Anuar memberitahu Syif Malam adalah adaptasi daripada drama pendek yang pernah dihasilkan olehnya bersama rakan-rakan dan mendapat maklum balas positif dari penonton.

Jelasnya yang pertama kali mengarah filem, apa yang menarik tentang naskhah ini apabila ia menggabungkan elemen ‘fiksyen seram’ (horror fiction) dan ‘komedi gelap’ (dark comedy) yang sudah lama tidak disajikan dalam karya tempatan.

“Filem seram ini disampaikan dalam bentuk komedi gelap. Saya juga memasukkan elemen realisme bagi menghidupkan jalan cerita di mana ianya memaparkan situasi pekerja yang terpaksa melayan kerenah birokrasi di pejabat ditambah lagi gangguan mistik pada waktu malam .”

“Mengekalkan konsep dan naratif yang sama dengan drama pendek terdahulu, cuma lokasi dan cerita berbeza. Saya juga mengekalkan seorang pelakon dari drama pendek tersebut cuma wataknya berbeza.” ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada terjadi sebarang kejadian seram sepanjang penggambaran, Fairus menyatakan semuanya berjalan dengan lancar tanpa berlaku perkara perkara yang tidak diingini.

“Alhamdulillah, dengan izin tuhan semuanya dipermudahkan. Tiada kejadian seram yang berlaku sepanjang penggambaran di lokasi. Apa-apa pun saya lebih pentingkan keselamatan semua orang dan tidak mahu mengambil risiko dengan memilih lokasi yang tidak selamat untuk mengelakkan sebarang gangguan sehingga boleh menjejaskan waktu penggambaran,” jelasnya.

Pada masa sama dia berharap agar semua individu yang bekerja walau apa pun tugasan atau bidang, terutama mereka yang bekerja syif, peminat- peminat filem seram dan peminat filem tempatan serta semua lapisan masyarakat umumnya datang meluangkan masa menonton filem ini.

Syif Malam akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 7 DISEMBER 2023.

SINOPSIS

Syif Malam mengisahkan tiga rakan sepejabat iaitu Ikmal, Botak dan Mok yang bekerja sebagai pereka grafik, secara tidak sengaja merungkai mitos seram di bangunan tempat mereka bekerja sehingga merubah kehidupan masing-masing.

Satu kisah urban legend yang dianggap mitos berlegar-legar di bangunan tersebut tentang tragedi seorang pekerja wanita yang mati bunuh diri. Mengikut cerita, bangunan itu memerlukan korban tertentu setiap tahun.

Kejadian seram bermula apabila mereka bertiga dipaksa bekerja waktu malam untuk menyiapkan tugasan grafik pada saat akhir.

Pada awalnya, gangguan terjadi semasa mereka sedang bekerja seorang diri. Setelah masing-masing menceritakan pengalaman seram yang dialami, Mok membuat keputusan untuk meminta bantuan khidmat nasihat rakannya bernama Brotai yang mendakwa arif dengan perkara mistik.

Namun setelah melakukan beberapa upacara ritual atas nasihat Brotai, gangguan seram menjadi semakin ganas dan agresif. Kisah mitos yang mereka dengar selama ini tentang korban bangunan tersebut semakin menjadi realiti dan ianya sedang berlaku.  Dalam pada itu, seorang wanita misteri yang bekerja di bangunan sama cuba membantu mereka kerana dia dapat rasakan yang nyawa Ikmal, Mok dan Botak dalam keadaan bahaya jika gangguan masih berterusan.

 Barisan Pelakon

Taqim Zaki Ikmal
Anas Ridzuan Mok
Shahn Kimin Botak
Zera Hariz Ayu
Kamarul Eqifshah Saiful
Sobri Anuar Boss Zaini
Riezman Khuzaimi

Ismeth Syah

Abang Joe

Brotai

Production Team

 

Penerbit Eksekutif :           Azahari Hamid
Penerbit : Mohamad Zubir Badarshair / Azahari Hamid
Pengarah :           Fairus Anuar
Skrip :           Fairus Anuar
Pengurus Produksi : Che Lee Khalil
Editor : Noor Rahman Yahya
Pengarah Fotografi : Izzaidi Ismail
Post Produksi : Noname Films Factory


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *