(HIBURAN) UBATI KERINDUAN PEMINAT, MAWI UMUM KONSERT TSUMAWI WORLD LIVE IN KUALA LUMPUR

Spread the love

BANDAR BARU BANGI- Hampir dua dekad terlibat dalam bidang seni nama Mawi sebenarnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Populariti yang diraih oleh anak seni yang satu ini tidak perlu dipertikaikan lagi sementelah beliau sudah berjaya menempa pelbagai kejayaan dalam bidang kreatif.

Merentasi selang masa yang cukup panjang, Mawi akhirnya mengumumkan bakal mengadakan sebuah konsert solo- sesuatu yang sudah menjadi impiannya sejak dinobatkan sebagai Juara Akademi Fantasia ketiga pada 2005.

Menggunakan jenama Konsert TSUMAWI Mawi World Live In Kuala Lumpur pada 25 Januari 2025 bertempat di Mega Star Arena Kuala Lumpur, banyak pengisian menarik, kompak dan penuh kejutan bakal dirancang oleh penyanyi ini bagi merayakan persembahan itu nanti.

“Ini merupakan hadiah untuk peminat dan sebagai tanda saya masih berada dalam industri nyanyian. Saya gembira akhirnya berjaya merealisasikan konsert solo sendiri setelah sekian lama tidak berada di atas pentas besar.

“Pada dasarnya saya mahu meraikan ulang tahun ke-20 bergelar penyanyi. Sebelum ini sudah ada perancangan dilakukan tetapi belum diizinkan-Nya. Hanya baru sekarang ia akan direalisasikan,” kata Mawi.

Sebenarnya, ini merupakan sejarah penting buat perjalanan seni anak kelahiran Felda Taib Andak, Johor. Kali pertama beliau berada di atas pentas apabila fenomena Mawi World benar-benar ‘merasuk’ sebahagian besar rakyat Malaysia ketika itu.

Rentetan daripada itulah yang membawa nama Mawi untuk menghasilkan konsert solo pertamanya yang diberi nama Konsert Fantasia Mawi di Stadium Putra Bukit Jalil (kini Axiata Arena) yang dihadiri ribuan peminat setianya.

Masih merasakan kehangatan dan sokongan peminat setia, itu juga yang menjadi pembakar semangat dan memuncakkan keberaniannya untuk kembali menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu-lagu popular seperti Aduh Saleha, Kian, Lagu Cinta Lagu Jiwa, Cinta Zulaikha dan banyak lagi.

“Memang banyak kenangan saya dengan Akademi Fantasia. Ada ruangan khas yang saya buat di rumah yang menempatkan artikel dan apa barang yang menjadi kenangan waktu tersebut. Itu juga sebenarnya banyak membakar semangat untuk terus mengadakan konsert.

“Sudah ada banyak perkara dirancang memandangkan saya sudah sekian lama tidak berada di atas pentas besar. Sejujurnya saya begitu teruja untuk bersama-sama dengan peminat lama dan baharu bernostalgia bersama.

“Untungya konsert kali ini mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak yang mahu memastikan Konsert TSUMAWI Mawi World Live In Kuala Lumpur berjaya dan akan dikenang sampai bila-bila,” katanya lagi.

Menyasarkan 5,000 peminat untuk hadir ke konsert itu nanti, Mawi akan membawa beberapa nama besar ke atas pentas bersamanya nanti. Merahsiakan dahulu siapakah line up yang akan menyertai, ke semua nama tersebut merupakan individu penting di sebalik kerjaya seninya.

Jelasnya, semua penyanyi tersebut mempunyai signifikan tersendiri yang membuatkan beliau mengundang kesemua nama-nama besar tersebut untuk berada di atas satu pentas bagai mencipta sejarah baharu.

Mawi juga akan menggunakan khidmat Oja sebagai Pengarah Muzik dan memilih barisan pemain muzik profesional selain pasukan teknikal terbaik untuk memasikan kelancancaran dan kepuasan penonton yang hadir nanti.

Konsert TSUMAWI Mawi World Live In Kuala Lumpur dibawakankhas oleh ShowTag Entertainment dengan kerjasama beberapa rakan starategik termasuklah Sinar FM dan Zayyan FM.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *