(SEMASA) Audi A3 Sedan S line serba baharu dilancarkan di Malaysia, RS 3 Sedan dibuka untuk tempahan

Spread the love

PHS Automotive Malaysia (PHSAM) hari ini melancarkan generasi kedua model terkenal Audi – A3 Sedan ke pasaran Malaysia. Sekali lagi mendefinisikan segmen kenderaan kompak mewah, Audi A3 Sedan menggabungkan bahasa rekaan baharu yang lebih menyerlah, bersama teknologi termaju dan menjanjikan pengalaman pemanduan mengujakan.

Ruang dalaman direka dengan begitu menawan – lebih luas berbanding model terdahulu, menggabungkan aspek kemewahan dan teknologi terkini dengan sempurna. Misalnya dengan kokpit maya Audi, paparan sentuh MMI navigation plus bersaiz 10 inci dan perkhidmatan ketersambungan  Audi connect plus sebagai ciri standard.

Luaran: Berkuasa dan elegan

Dengan rekaan yang lebih maskular dan garang, A3 Sedan menampilkan rupa serba baharu. Bahagian hadapan didominasi oleh Singleframe dengan gril bercorak sarang lebah (honeycomb) yang diserlahkan bersama sepasang lampu utama.

Garis badan A3 Sedan diteruskan hingga ke bampar belakang yang membuatkannya kelihatan lebih panjang dan memberikan bahagian belakangnya gayaan yang elegan. Permukaan cekung pada bahagian bawah bahu badan kereta menyerlahkan lagi lekuk dan sil. Elemen ini mencetuskan serlahan cahaya dan bayang. Sementara garis bumbung yang melandai dari tiang B membuatkannya kelihatan seperti sebuah coupé.

Rekaan badan yang kemas

Rekaan badan yang kemas dipadankan dengan bahagian belakang sedikit tinggi dan peresap udara yang besar. Ini menyumbang kepada pekali seretan lebih rendah, sekali gus mengurangkan penggunaan bahan api dan emisi CO2.

A3 Sedan juga hadir dengan corong udara yang boleh dikawal melalui modul kisi-kisi berkuasa elektrik di bahagian belakang Singleframe. Ia berfungsi mengawal aliran udara dengan pintar berdasarkan kepada situasi pemanduan. Sebagai tambahan, panel pada bahagian bawah kereta, cermin sisi dengan aerodinamik lebih baik dan penyejukan brek aktif berfungsi mengurangkan halangan angin.

Kokpit Maya Audi: Fokus dan digital

Papan pemuka dan konsol tengah baharu pada Audi A3 Sedan direka secara intuitif. Maklumat penting dipaparkan pada sudut pandangan terus pemandu menerusi Audi virtual cockpit plus dan paparan sentuh berwarna MMI bersaiz 10.1 inci. Stereng dengan butang pelbagai fungsi yang dibalut kulit dan transmisi S tronic yang mudah dikawal memberi lebih keselesaan kepada pemandu.

Ketersambungan pantas

Platform infohibur modular generasi ketiga (MIB 3) menampilkan kuasa perkomputeran yang sepuluh kali lebih pantas berbanding model terdahulu. Ia boleh disambungkan dengan telefon pintar menerusi antara muka telefon pintar Audi yang mengintegrasikan telefon iOS dan Android dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto.

Selesa dan dinamik

Sistem suspensi A3 Sedan baharu telah ditala untuk jadi lebih sporty dan harmoni. Sekali gus menawarkan reaksi lebih pantas dan pemanduan yang tepat, terutama untuk mereka yang gemar mengambil selekoh dalam kelajuan tinggi. Semua ini disumbang oleh sistem pengendalian dinamik berpusat yang memastikan interaksi optimum di antara semua komponen ke transverse dinamik.

A3 Sedan akan ditawarkan dalam lapan pilihan warna: dua kemasan cat solid, lima warna metalik dan satu warna dengan efek mutiara.

RS 3: Kini dibuka untuk tempahan

Kompak dan berkuasa, Audi RS 3 Sedan serba baharu menawarkan kelincahan dan pengendalian dinamik luar biasa dengan kuasa daripada enjin lima silinder yang mampu memecut dari 0 ke 100km/j dalam masa hanya 3.8 saat.

Berpegang teguh kepada warisan RS, RS 3 hadir dengan badan lebih lebar, sistem ekzos sport RS dan paparan kokpit seperti jentera lumba. Ia memang dihasilkan untuk mereka yang sentiasa mencari keterujaan dalam setiap pemanduan.

Memegang rekod sebagai sedan kompak paling pantas di litar lumba lagenda Nurburgring Nordschleife di Jerman, RS 3 Sedan kini dibuka untuk pra-tempahan di Malaysia.

Audi A3 Sedan ditawarkan pada harga bermula RM331,990.00 manakala RS 3 Sedan dijangka dijual di antara RM650,000 hingga RM750,000. Semua model Audi hadir dengan penyelenggaraan percuma selama 3 tahun, jaminan perbatuan tanpa had dan bantuan tepi jalan selama 5 tahun.

Tempahan Audi A3 Sedan dan RS 3 boleh dibuat di semua Audi Centres di Setia Alam, Glenmarie dan Juru.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *