BANGI, 3 Jun 2023 — Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Jabatan Perdana Menteri dan Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menganjurkan Program Jelajah Ikon Madani Peringkat Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Majlis yang dihadiri lebih 3,500 pelajar yang terdiri daripada pelajar UKM, UiTM, USIM, UPM, UPNM, UCMI dan KPTM menampilkan YB Dato’ Johari bin Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan penampilan khas Dato’ Sri Siti Nurhaliza Tarudin dalam sesi Townhall Ikon Nasional. Seramai lebih 4,000 pelajar yang layak telah menerima pemberian bantuan awal pendidikan seperti bantuan tunai, cermin mata, komputer riba dan beg keperluan asas ke Menara Gading sepanjang Jelajah Ikon Madani ini diadakan hasil pembiayaan MAIWP, Yayasan Hasanah, agensi-agensi kerajaan dan syarikat korporat. Majlis Perasmian IKON Peringkat Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Johari Bin Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), UKM Bangi, Selangor.
Program Jelajah Ikon Madani (IKON) adalah kesinambungan Townhall Ikon Nasional yang berkonsepkan program bual bicara yang mengfokuskan kepada perkongsian ilmu daripada tokoh-tokoh yang berjaya dalam pelbagai bidang seterusnya melahirkan graduan yang mempunyai mentaliti kelas pertama.
Menurut YB Dato’ Johari bin Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, “Program Jelajah Ikon Madani ini merupakan satu aspirasi yang perlu diterapkan kepada pelajar-pelajar Institusi Pendidikan Tinggi kerana ia merupakan platform bagi mengembangkan dan menukar idea serta pengalaman di antara Ikon-Ikon jemputan bersama para pelajar. Saya sentiasa mengharapkan pihak-pihak lain akan turut memberi sokongan dan bekerjasama menjayakan Jelajah Ikon Madani dalam memeta jalan terbaik membantu membangunkan masa depan pelajar-pelajar kita khususnya kepada lebih para pelajar yang hadir di program IKON .Saya turut berharap agar semua pihak menyambut baik program yang dianjurkan oleh Kerajaan melalui J-KOM dan PRIHATIN dengan kerjasama strategik MAIWP dalam menyahut seruan dan memangkin wadah ‘Malaysia Madani’ kerana pelbagai manfaat serta semangat kejituan dalam melahirkan semangat perpaduan di antara kita rakyat Malaysia untuk sama-sama berganding bahu merealisasikan Malaysia Madani seterusnya mewujudkan Malaysia yang sejahtera, maju dan makmur. Saya turut mengambil peluang ini untuk mengucapkan jutaan terima kasin kepada PRIHATIN kerana menerima mandat kerajaan dalam melaksanakan program yang memanfaatkan komuniti dan membantu mengurangkan beban golongan kurang bernasib baik.”, ujar beliau.
Manakala Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah PRIHATIN, Prof. Emeritus Tan Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, “Melalui program ini, kita harus sama-sama memanfaatkan pelaksanaan program IKON ini yang memfokuskan kepada perkongsian ilmu dari tokoh yang berjaya dalam pelbagai bidang dan sekaligus dapat melahirkan graduan kelas pertama. Saya juga berharap dengan hasil sumbangan MAIWP, agensi kerajaan dan syarikat korporat dalam program ini mampu menjadi pendorong dan pemangkin semangat kepada penerima di sini untuk membantu memotivasikan para pelajar dalam mengatur dan mencorak langkah untuk mendepani cabaran seusai menamatkan pengajian di peringkat tinggi kelak. PRIHATIN akan turut sentiasa memastikan tiga teras utamanya agar sentiasa diperkasa dari aspek Pendidikan, Keusahawanan dan Kepimpinan bagi membudayakan masyarakat yang berilmu, berkemahiran digital dan berjiwa patriotik merentasi semua lapisan komuniti dan masyarakat dalam membentuk ‘Malaysia Madani.”
J-KOM dan PRIHATIN melihat program kali ini mampu mengangkat dan memperkasakan pendidikan ke suatu tahap yang lebih tinggi dengan kerjasama yang diatur dan dilaksanakan bersama pihak-pihak yang terlibat bagi Program Jelajah Ikon Nasional ‘Membentuk Mahasiswa Madani’.
Turut hadir Dato’ Dr. Mohammad Agus Bin Yusoff (Ketua Pengarah J-KOM), Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar (Pengerusi MAIWP), Prof. Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj Toriman (Naib Canselor UKM), Dato’ Mohd Aizuddin Ghazali (Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN), En. Mohd Nizam Bin Yahya (Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP) dan Dr. Jafri Bin Abu (Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor).