(SEMASA) GALAKSI MEDIA ONLINE ‘UNBOXING’ SAMSUNG GALAXY A55 5G

Spread the love

Untuk pengetahuan para pembaca, pada tarikh 22 Mac 2024 yang lalu, Samsung Malaysia telah menawarkan secara rasmi peranti dalam segmen siri Galaxy A iaitu Galaxy A55 5G yang baharu. Galaksi Media Online (GMO) sekali lagi mendapat peluang untuk membuat ‘UNBOXING’ atau belah kotak serta membuat sedikit ulasan berkaitan peranti tersebut iaitu Galaxy A55 5G.

Seperti ulasan Samsung Galaxy A54 5G sebelum ini, kotak pembungkusan Galaxy A55 5G masih mengekalkan tona warna putih sebagai asasnya. Gambaran depan menunjukkan warna dan rupa bentuk telefon pintar tersebut. GMO diberikan peranti berwarna biru muda dan dilabelkan sebagai ‘Awesome Iceblue’. Saiz kotak ini kekal nipis seperti sebelum ini.

Berbalik kepada isi kotak tersebut, di dalam kotak telefon tersebut disertakan satu kabel USB-C tanpa pengecas penyesuai plag (adapter charger) berserta kad waranti dan buku panduan. Adapter charger ini perlu dibeli berasingan berdasarkan maklumat di dalam kotak tersebut. Ia menjadi satu kelaziman buat peranti Samsung walaupun selama ini peranti-peranti telefon di pasaran kebiasaanya didatangkan dengan adapter charger bersama di dalam kotak dan telefon pintar tersebut. Ini sedikit sebanyak menjawab kepada persoalan atau punca kenapa saiz kotak ini lebih nipis.

Bercakap mengenai fizikal telefon pintar tersebut, material telefon ini adalah berasaskan kemasan plastik dan aluminium premium dan ia selesa untuk dipegang di tangan dan bebas daripada bekas cap jari. Rekaan masih retro seperti sebelum ini dan berdasarkan maklumat sesawang Samsung, terdapat tiga pilihan warna untuk model ini iaitu Awesome IceBlue, Awesome Lilac dan Awesome Navy.

Secara asasnya, telefon pintar ini mempunyai 4 ciri-ciri asas iaitu reka bentuk yang mengagumkan, tangkapan gambar yang hebat yang dipertingkatkan tidak kira siang atau malam dengan alat penyuntingan kreatif serta keupayaan Nightography, pemproses teras Octa yang dipertingkatkan dan kemaskini sekuriti lebih baik melalui sokongan Samsung Knox Vault.

Peranti ini juga dilengkapkan dengan bateri Li-Ion 5,000mAh yang boleh dicas melalui port USB-C dan pengecasan 25W yang mampu bertahan selama 2 hari serta lubang kamera depan Infinity-O yang terletak di garisan tengah dengan kemampuan kamera utama 50MP dengan OIS + 12MP (ultra-lebar) + 5MP (makro) dan swafoto 32MP sebagai pelengkap peranti ini.

Samsung Galaxy A55 5G menggunakan skrin Super AMOLED 6.6″ dengan resolusi FHD+ dan kadar segar semula 120Hz disokong dengan teknologi Vision Booster yang boleh menyesuaikan kecerahan dengan keadaan suram.

Selain itu juga pemproses cip lapan teras Octa didatangkan bersama dengan memori 12GB RAM dan storan 256GB sebagai tunjang utama.

Akhir sekali, Samsung Galaxy A55 5G mendapat perlindungan sekuriti berganda melalui Samsung Knox yang merangkumi platform bersekuriti tinggi yang dibangunkan oleh Samsung untuk peranti-peranti keluaran mereka. Melalui fungsi ini, ia sekaligus melindungi peranti anda daripada pelbagai serangan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab – termasuk malware dan sebagainya.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *