Kuala Lumpur, 22 Oktober 2025 – Boon Siew Honda berjaya menganjurkan acara sulung “Honda THANKS DAY 2025” hari ini di LYL International Karting Circuit, bersempena dengan PETRONAS Grand Prix Malaysia 2025 (MotoGP). Sejak tahun 2005, Honda Thanks Day telah diadakan setiap tahun di Jepun, manakala acara penghargaan pelanggan yang serupa telah dianjurkan dalam pelbagai bentuk di seluruh dunia. Acara ini meraikan semangat perlumbaan Honda yang berterusan, inovasi tanpa henti serta hubungan erat antara jenama tersebut dengan komuniti globalnya yang mencerminkan falsafah Honda “Power of Dreams” dan semangat terhadap mobiliti.
Menandakan edisi pertama Honda THANKS DAY yang dianjurkan secara tempatan di Malaysia, acara ini membawa tradisi global Honda lebih dekat kepada para peminat dan pelanggan tempatan. Ribuan pengunjung hadir termasuk rakan niaga, peminat motosikal Honda serta komuniti peminat permotoran tempatan bagi meraikan sokongan padu mereka terhadap jenama ini. Acara ini turut menjadi platform untuk memperkukuh hubungan antara Honda dan komuniti Malaysia melalui satu hari yang dipenuhi dengan keseronokan, penghargaan serta semangat DNA perlumbaan Honda dengan menyatukan peminat, pelumba dan jenama di bawah satu perayaan yang bermakna.
Turut membuat penampilan eksklusif ialah barisan pelumba Honda di peringkat MotoGP dan Asia seperti Joan Mir, Luca Marini, dan Somkiat Chantra, bersama pelumba Asia Road Racing Championship (ARRC); Muhammad Zaqhwan Zaidi, Azroy Hakeem Anuar, Khairul Idham Pawi, Muhammad Helmi Azman dan Muhammad Syarifuddin Azman dari pasukan Honda Racing Malaysia.
Kunitomo Asano, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda Berkata, “Honda THANKS DAY merupakan satu tradisi yang telah lama wujud di Jepun, dan acara penghargaan pelanggan yang serupa dianjurkan dalam pelbagai bentuk di seluruh dunia. Di Malaysia, acara ini mencerminkan komitmen Honda untuk berkongsi kegembiraan dan keterujaan bersama pelanggan serta masyarakat, sambil terus berusaha menjadi sebuah syarikat yang dinantikan orang ramai. Ia juga merupakan cara kami menyampaikan penghargaan kepada peminat dan penunggang motosikal di Malaysia yang berkongsi minat dan semangat kami terhadap sukan permotoran.”
Sorotan dan Aktiviti Acara
Penampilan eksklusif pelumba Honda MotoGP bukan sekadar sesi interaksi bersama peminat, tetapi turut menampilkan demonstrasi mendebarkan di atas litar. Pelumba MotoGP beraksi menunjukkan kemahiran dan ketepatan kawalan mereka dengan menunggang Honda Fireblade (CBR1000RRR), memberikan peluang kepada peminat untuk menyaksikan sendiri prestasi tunggangan bertaraf dunia yang mencerminkan kejuruteraan unggul serta warisan perlumbaan Honda. Aksi tersebut diteruskan oleh pelumba ARRC dengan menunggang Honda CBR1000RR-R dan Honda CBR600RR masing-masing, menyerlahkan bakat tempatan dan serantau sekaligus menzahirkan komitmen berterusan Honda dalam membangunkan serta menyokong pelumba di pelbagai peringkat kejuaraan.
Antara detik utama acara ialah pelancaran model baharu Honda RS-X Winner Tricolor Edition, diinspirasikan oleh DNA perlumbaan Honda. Model ini dilengkapi komponen Racing Boy (RCB) yang menyerlahkan gaya dan prestasinya, menjadikannya simbol kelajuan dan semangat tersendiri. Lebih eksklusif, hanya 800 unit RS-X Winner Tricolor akan ditawarkan di pasaran Malaysia.
Selain itu, Honda Motorcycle Malaysia turut mengumumkan kolaborasi gaya hidup bersama Pestle & Mortar Clothing, yang menampilkan koleksi jaket dan seluar perlumbaan, topi, t-shirt berwarna hitam dan putih serta beg utiliti. Koleksi ini diperkenalkan buat pertama kali semasa Honda THANKS DAY dan akan mula dijual semasa MotoGP. Setiap rekaan menampilkan lambang khas kolaborasi dengan mahkota, tiga jalur emas di kedua-dua sisi, corak garisan perlumbaan hitam-putih serta frasa “Semangat Impian” di bawah nama Pestle & Mortar.
Acara turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan B-Heart, Black Hanifah serta persembahan bertenaga oleh DJ Fluffy, sebelum menutup malam dengan sesi cabutan bertuah yang menawarkan hadiah menarik termasuk Pas Korporat Suite MotoGP, Honda ADV160 dan model baharu Honda RS-X Winner Tricolor Edition.
Selain itu, terdapat pelbagai pameran interaktif dengan kerjasama jenama seperti RCB, KYT, Proformance, MAXXIS, RKM, Ashuka, Yoshimura, ThreeBond, AEON Credit, JCL Credit, Berjaya Sompo, EMS dan PETRONAS.

