Kuala Lumpur, 19 November 2015 – IKEA Malaysia, pada hari ini telah membuka pintu gedung keduanya yang terletak di Jalan Cochrane, Cheras. Meliputi ruang beli-belah seluas 42,000 meter persegi yang bertemakan ‘Pembukaan IKEA Cheras yang Baharu’, gedung ini telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Bengt G Carlsson, Duta Sweden ke Malaysia.
Dua puluh peratus lebih besar daripada IKEA Damansara, gedung ini terletak hanya lima minit pemanduan dari pusat bandar raya. Juga mudah diakses melalui lebuh raya utama serta dihubungkan dengan MRT Cochrane yang bakal siap dibina pada 2017. Diumumkan sebagai gedung IKEA terbesar di Malaysia, IKEA Cheras menonjolkan 56 ruang pameran dan menawarkan lebih daripada 8,500 produk yang bersesuaian dengan kediaman Malaysia. Untuk lebih keselesaan, gedung ini juga dilengkapi dengan kemudahan yang mampu menampung 780 tempat duduk di restoran dan lebih 1,700 tempat letak kereta.
“IKEA Cheras bagai mimpi yang menjadi realiti untuk ramai rakyat Malaysia. Malah, IKEA kini lebih hampir dengan lebih ramai pelanggan, yang mana ia bakal menyediakan akses yang lebih mudah bagi membolehkan pelanggan memilih rangkaian luas penyelesaian hiasan rumah ala Sweden yang bereka bentuk menarik, berfungsi, bermutu dan pada harga yang benar-benar murah. Lebih ramai rakyat Malaysia akan berpeluang menikmati pengalaman yang unik dan konsisten di gedung IKEA yang sememangnya sedia diketahui dan digemari ramai,” kata Mike King, Pengarah Peruncitan IKEA Malaysia, Singapura dan Thailand.
IKEA Cheras ialah salah satu daripada beberapa pembangunan perniagaan runcit yang bakal siap di bandar yang berkembang pesat ini. Mercu tanda ikonik baharu ini melihat potensi dalam mengubah Cheras menjadi destinasi beli-belah yang bertenaga, membawa bersama keseronokan beli-belah sebagaimana di Mutiara Damansara.
“Dengan berpegang teguh kepada visi kami dalam mencipta kehidupan harian yang lebih baik untuk orang ramai, adalah penting untuk kami menyalurkan impak yang positif ke dalam komuniti di mana kami beroperasi. Selari dengan pembangunan sekitarnya, kami percaya gedung IKEA yang baharu ini berpotensi mengubah Cheras sebagai destinasi beli-belah yang menyeronokkan di samping menjadikannya sebagai mercu tanda peruncitan terbaharu di Kuala Lumpur,” tambah Mike.
Sepanjang minggu pembukaan, IKEA Cheras telah menyediakan pelbagai aktiviti gedung yang menarik untuk seisi keluarga termasuk kemunculan khas oleh Panda, lukisan muka, persembahan badut, belon percuma untuk kanak-kanak dan banyak lagi. Gedung akan dibuka dari 9.30 pagi – 10.00 malam (Isnin hingga Khamis) dan 9.30 pagi – 11.00 malam (Jumaat – Ahad, hari perayaan, dan cuti umum)