(SEMASA) KAO Malaysia dan Universiti Malaya Jalin Kerjasama Tingkatkan Kesihatan Kulit Berasaskan Sains Menerusi Penyelidikan dan Inisiatif Komuniti

Spread the love

KUALA LUMPUR, 19 September 2025 – KAO Malaysia dan Universiti Malaya (UM) semalam mengumumkan kejayaan penutupan kempen “Skin Protection, Life Perfection” dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU), sekali gus memformalkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkasakan kesihatan awam melalui pendidikan dan penyelidikan penjagaan kulit.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, KAO Malaysia melalui jenama penjagaan kulit terkemuka Bioré, menyumbangkan RM50,000 bagi membiayai dua inisiatif utama yang dikendalikan Universiti Malaya.

  • Inisiatif pertama ialah program libatsama komuniti bertajuk “Beautiful Change Begins with Us”, dikendalikan oleh Pusat Libatsama Komuniti Universiti Malaya (UMCares) yang memberi fokus kepada kesedaran kebersihan, kelestarian alam sekitar, serta kesejahteraan mental positif untuk golongan remaja, dewasa, dan kanak-kanak.

  • Inisiatif kedua pula ialah kerjasama penyelidikan bagi projek bertajuk “Formulasi Inovatif Penjagaan Kulit Bersih untuk Perlindungan Kulit dan Kehidupan Sihat”, yang akan dijalankan oleh Fakulti Sains, Universiti Malaya.

Usaha ini merupakan sebahagian daripada janji 1% sumbangan jualan produk Bioré untuk menyokong penyelidikan kesihatan kulit tempatan.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen KAO untuk melangkaui inovasi produk dengan mewujudkan impak bermakna berasaskan sains kepada komuniti yang kami layani,” kata Encik Yamazaki Hirobumi, Presiden KAO Malaysia. “Kami percaya perlindungan kulit bukan sekadar pilihan penjagaan peribadi, tetapi juga satu tanggungjawab kesihatan awam. Bersama Universiti Malaya, kami berbangga untuk mengangkat visi ini demi manfaat semua rakyat Malaysia.”

Tonggak Baharu Kerjasama Akademia dan Industri

MoU ini menandakan kerjasama akademik pertama KAO Malaysia dengan sebuah institusi pendidikan tinggi tempatan. Melalui kolaborasi ini, KAO dan UM akan terus menjambatani sains dan kesedaran masyarakat untuk menjadikan penjagaan kulit sebagai asas kepada kesihatan komuniti.

Berpandukan visi bersama “Skin Protection, Life Perfection”, kempen ini menyatukan komitmen KAO terhadap perlindungan kulit dengan kepakaran penyelidikan UM bagi memberi impak jangka panjang kepada masyarakat. Apa yang bermula sebagai kempen kesedaran komuniti kini diperluas dengan sokongan dana KAO, membolehkan UM memperkukuh usaha libatsama masyarakat serta meningkatkan penyelidikan dengan kelengkapan dan sumber baharu demi manfaat berterusan dalam pendidikan kesihatan kulit.

Selaras dengan MoU ini, UM akan menerajui inisiatif penyelidikan baharu serta program pendidikan awam yang memberi tumpuan kepada penjagaan kulit mampan.

“Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan KAO Malaysia dalam memperkukuh jambatan antara sains dan masyarakat,” kata Profesor Madya ChM. Dr. Noraini Ahmad, Pengarah UMCares. “MoU ini adalah langkah bermakna ke hadapan, membuka ruang untuk menterjemah penyelidikan akademik kepada penyelesaian dunia sebenar – daripada pembangunan formulasi bersih sehinggalah meningkatkan libatsama komuniti.”

MoU ini dimeterai secara rasmi antara Presiden KAO Malaysia, Encik Yamazaki Hirobumi dan Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, disaksikan oleh Watsons Malaysia. Majlis tersebut turut diserikan dengan penyerahan sumbangan simbolik sebagai tanda komitmen bersama untuk kerjasama bermakna.

Asas kepada Kesihatan Kulit Seumur Hidup

Dilancarkan pada Mei 2025 bersama Watsons, kempen “Skin Protection, Life Perfection” menekankan bahawa perlindungan kulit adalah kunci kepada keyakinan diri. Berteraskan falsafah Bioré “Cleanse. Protect.”, inisiatif ini menggabungkan pendidikan pakar, pengalaman pengguna interaktif, serta sumbangan 1% hasil jualan bagi menyokong penyelidikan tempatan.

Dengan penglibatan Universiti Malaya dan pakar penjagaan kulit, Watsons telah merealisasikan kempen ini di seluruh negara melalui ganjaran eksklusif dan keistimewaan ahli. Kini, dengan termeterainya MoU ini, kerjasama tersebut bergerak ke arah komitmen jangka panjang untuk memperkasakan kesihatan kulit.

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif KAO di Malaysia, sila layari: www.kao.com/my


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *