KUALA LUMPUR, 19 DISEMBER 2023 – Muzium Telekom bakal ditransformasikan kepada sebuah alam yang menakjubkan di mana seni, budaya, warisan dan inovasi disatukan dengan IMMERSIO 2023, mencatatkan satu lagi lembaran kreativiti menarik dan meneruskan legasinya sebagai pewaris evolusi telekomunikasi negara. Pameran IMMERSIO terkini akan memenuhi ruang muzium sebagai kanvasnya seluas 27,000 kaki persegi dan menggabungkan lebih daripada 20 artis media baharu serta budaya, menciptakan sebuah alam seni digital yang mengasyikkan dengan instalasi interaktif, seni teater yang menggabungkan tradisi serta muzik warisan diberikan sentuhan moden. IMMERSIO 2023 terbuka kepada khalayak ramai dari hari ini hingga 7 Januari 2024.
Melangkah ke edisi kelima, IMMERSIO 2023 dipilih susun oleh Filamen dan dikuasakan oleh Yayasan Telekom Malaysia (Yayasan TM), sebagai rakan strategik melalui Program Inkubasi Teknologi Digital (Digital Technology Incubation Programme). Menghayati tema Waris, lelaran terkini IMMERSIO merungkai jalinan warisan Asia Tenggara yang menakjubkan, menawarkan sebuah perspektif kontemporari terhadap inti-pati zaman silam, identiti budaya, tradisi abadi, nilai-nilai, dan kisah peribadi. Dinyalakan oleh warna-warna teknologi yang bertenaga dan ekspresi seni, naratif yang diwarisi ini akan membawa penonton menyusuri ekspedisi pelbagai deria yang menggabungkan elemen lama dan baharu, membolehkan mereka melayari kontinum antara masa lalu, kini, dan masa hadapan yang berkembang.
Disebalik kanvas menarik IMMERSIO 2023, wujudnya gabungan pelbagai artis yang ternama, baharu serta minda-minda imaginatif dari Multimedia University (MMU). Chong Yan Chuah, seorang artis pelbagai disiplin yang berlatarbelakangkan bidang seni bina, mengajak penonton menerokai dunia mitos dan fiksyen yang memukau, mengubah semula hakikat realiti dan pengalaman. Kolektif muda yang dinamik – UnrealityKai x Izealist memperkenalkan sebuah instalasi berbentuk donat yang dihasilkan dari kaca jendela dan lampu neon yang menerangi dengan kerdipan melalui interaksi penonton. Aw-kult menghidupkan serpihan sisa elektrik, menjalinkan sebuah naratif yang meneroka makna kehidupan melalui projeksi pemetaan dan seni cahaya yang memukau. Anwar Suhaimi memperkenalkan siri karya seni digital, terhasil dari kerumitan data awam dan algoritma pembelajaran mesin, mempamerkan lanskap kebudayaan dan etnik Malaysia yang pelbagai. IMMERSIO 2023 juga turut dibarisi oleh inovator seni iaitu Suzy Sulaiman, Filamen dan James Ly menyajikan estetika dengan teknologi yang mencetuskan renungan bagi penonton; sementara bakat-bakat muda seperti as Ammar Hazman, Roger Ng Wei Lun, Duta Adipati dan Haura Khalisa memeriahkan lagi kanvas IMMERSIO dengan perspektif unik mereka.
Galeri yang terletak di tingkat satu akan melalui sebuah transformasi dengan menampilkan hasil seni dari Program Inkubasi Teknologi Digital oleh Yayasan TM, mengubah ruang ini kepada sebuah dimensi yang menggabungkan koleksi artifak dan ekspresi seni kontemporari. Ruang ini menonjolkan Kicau Bilau, sebuah duo bersinergi mengolah lanskap bunyi yang khas untuk mencerminkan tradisi budaya Nusantara melalui Angklung dan gitar. Pencak Mirage mengundang penonton menghayati kisah-kisah pahlawan Silat yang diberi nafas baharu melalui persembahan realiti campuran oleh FLUX28. Berinteraksi dengan keindahan seni warisan wayang kulit melalui seni karya Wayang Kulit Animatronik 2.0, menampilkan patung cetakan 3D yang dikawal oleh robot, hasil ciptaan Hakimi, Kognatif Lab. Nikmati spektrum warna dan motif bunga dalam ATMA KIRANA oleh Abdul Shakir “Grasshopper”, instalasi seni digital yang menceritakan kisah indah Rukun Negara.
“Kami sangat teruja untuk menampilkan barisan artis yang dinamik, baharu dan dari pelbagai latar belakang juga jurusan dengan IMMERSIO 2023. Cabaran unik tahun ini berkaitan dengan mentransformasikan sebuah ruang yang diketahui menjadi ruang yang mengasyikkan, dan memberi pengalaman yang menakjubkan. Demi memupuk perspektif segar, kami bersama rakan strategik Yayasan TM telah berkerjasama secara taktikal menganjurkan sebuah inisiatif bersiri, termasuk panggilan terbuka di seluruh negara, program pembangunan kapasiti, dan peluang residensi untuk memanfaatkan kekuatan kolektif komuniti seni media baharu. Dalam usaha mewujudkan sebuah alam yang menyentuh pelbagai deria, matlamat kami adalah supaya penonton tidak hanya terinspirasi untuk mencipta pengalaman yang bermakna dengan karya seni tetapi dapat melakar sebuah harapan dan inspirasi yang mendalam selepas mereka melawat pameran ini,” kata Abdul Shakir “Grasshopper”, Kurator IMMERSIO 2023 dan pengasas bersama Filamen.
“Yayasan TM berada di barisan hadapan untuk menyumbang impak sosial yang bermakna, mewujudkan gabungan yang utuh bersama komuniti dalam memacu inovasi dan memperkaya warisan seni Malaysia. Melalui pelancaran Program Inkubasi Teknologi Digital pada tahun 2023, kami telah menyokong sekurang-kurangnya lima karya yang menyatukan seni dengan teknologi, menyaksikan ekspresi kreativiti yang paling menarik dihasilkan oleh artis tempatan kita, dan kini menampilkan IMMERSIO sebagai penutup terindah untuk tahun ini. “Waris”, tema bagi IMMERSIO 2023 sangat berkait rapat dengan kami, terutamanya mesej yang disampaikan adalah memperkasakan generasi kini supaya meraikan inovasi dan muncul dengan kekuatan meskipun tetap setia kepada asal usul dan identiti mereka,” kata Puan Ainol Shaharina Sahar, Pengarah Yayasan TM.
Program Inkubasi Teknologi Digital, yang diperkenalkan oleh Yayasan TM, adalah program jangka panjang yang direka untuk merangsang integrasi antara ekspresi kreatif, amalan seni, dan pengetahuan teknologi bagi menjana ekosistem seni. Program ini berusaha untuk menjadi platform memupuk artis digital tempatan, pengamal kreatif, dan bakat-bakat muda, program ini juga menyokong komuniti seni melalui geran, dana, bengkel pembangunan kapasiti, dan ruang pameran.
MAKLUMAT MENGENAI IMMERSIO 2023
TARIKH | 15 Disember 2023 – 7 Januari 2024 (Tutup pada hari Isnin) |
MASA | 10:30AM – 10:30PM |
TEMPAT | Muzium Telekom, Jalan Raja Chulan, 50200 Kuala Lumpur |
BAYARAN MASUK | RM15 (termasuk bayaran pemprosesan dan pengendalian) RM5 untuk kanak-kanak bawah 12 Masuk percuma untuk komuniti OKU Beli tiket di sini: https://www.cloudjoi.com/shows/immersio-2023 |
IMMERSIO 2023 dianjurkan dan dipilih susun oleh Filamen, dikuasakan oleh Yayasan TM melalui Program Digital Tech Incubator (DTI) serta Muzium Telekom dan turut dijayakan oleh ARTOGO, MyCreative Ventures (MyCV), Epson Malaysia, LYF Chinatown Kuala Lumpur, CloudJoi, TRYKE, Multimedia University (Faculty of Creative Multimedia), Converse Malaysia, Pixel World, CERO, iNYALA and RUBIX Communications.
Maklumat mengenai IMMERSIO 2023 boleh didapatkan di laman Facebook dan Instagram