SHAH ALAM, 16 Mei (Bernama) — Siapa sangka siapa menduga restoran yang menghidangkan makanan ala barat seperti Me´nate Steak Hub boleh menawarkan hidangan daging yang lazat dengan harga mampu milik terutamanya ketika bulan Ramadan.
Tular suatu ketika dahulu dengan pelbagai kontroversi berkenaan dengan nama restoran ini iaitu Men Ate yang bermaksud golongan yang memakan daging, pemilik restoran ini menukarkan sedikit sebutannya dengan menambah tanda koma atas menjadikannya Me’nate simbolik kepada negeri asal pemiliknya, Kelantan.
Pengarah Palace Butcher yang menguruskan restoran Me’nate, Syed Ashraf Syed Ali berkata Ramadan kali ini Me’nate Steak Hub menawarkan pakej istimewa iaitu ‘Istimewa Group Steak Berbuka Puasa’.
“Pelanggan lebih menggemari group steak iaitu mini bufet yang dibuat khas untuk kumpulan-kumpulan yang datang supaya mereka dapat makan secara berkongsi beramai-ramai,” jelas Ashraf ketika berucap pada Majlis Ramadan Preview 2017 di restoran Me’nate cawangan Shah Alam baru-baru ini.
Me’nate menghidangkan menu pilihan daging lembu, kambing, ayam dan juga ikan siakap yang dipanggang dengan perapan. Menu tersebut dipadankan dengan nasi beriani atau aglio olio.
TEMPAHAN AWAL
Hidangan utama itu disudahi dengan menu percuma seperti kuih-muih tradisional, kurma dan buah-buahan serta minuman yang boleh diisi semula berulang kali.
Me’nate juga menawarkan potongan harga sebanyak lima peratus bagi yang membuat tempahan awal dari 3 hingga 25 Mei ini mulai 10 pagi hingga 7 malam tertakluk kepada terma dan syarat. Harga yang dikenakan adalah RM89.90 (dewasa – 12 tahun ke atas) dan RM39.90 (kanak-kanak – 5-12 tahun).
“Perkara yang paling menggembirakan pelanggan jika mereka datang ke Me’nate ialah mereka boleh tapau makanan mereka jika tidak habis,” tambah Ashraf.
Tempahan boleh dibuat melalui telefon, aplikasi WhatsApp atau Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) ke nombor berikut 019-3911047 / 019-4771047 / 019-2611047.
–BERNAMA