PULAU PINANG, 14 April 2025 – Bagi menjawab desas-desus ramai pihak mengenai kertelibatan Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. di Malaysia Autoshow 2025, pihak kami terpaksa melepaskan hasrat untuk menyertainya ekoran dari beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan. Disebabkan perkara ini, Mforce mengambil keputusan untuk menumpukan perhatian kepada perancangan jangka panjang dan memperkukuhkan lagi strategi pemasaran syarikat. Sebagai salah satu jenama utama dalam industri automotif tempatan, Mforce akan menganjurkan acara eksklusif Mforce Motoshow pada tahun 2026 bagi menghargai pengguna-pengguna Mforce serta memberi pendedahan dan membina kepercayaan kepada semua pengunjung dengan mengadakan pelbagai pameran motosikal dan aktiviti yang menarik.
Mforce bukan hanya setakat bercadang untuk mempamerkan motosikal yang sudah di pasaran, tetapi turut melancarkan model-model terbaru serta mempamerkan prototaip motosikal yang bakal dilancarkan dalam tempoh tiga tahun kehadapan. Acara eksklusif Mforce Motoshow 2026 bakal dimeriahkan oleh pengunjung yang memiliki motosikal-motosikal Mforce, mereka yang bakal menjadi pemilik motosikal Mforce dan rakyat Malaysia dari berbilang kaum.
Para pengunjung juga boleh menikmati pelbagai aktiviti menarik yang disediakan seperti sesi pandu uji, pertunjukan aksi (stunt show) serta ruang untuk para pengunjung menjalankan aktiviti perkhemahan bagi menguatkan semangat dan kerjasama komuniti pemilik motosikal Mforce. Mforce akan terus komited dalam memberikan yang terbaik mahupun dari segi produk, perkhidmatan dan aktiviti sosial bersama komuniti.
Mengenangkan pencapaian lalu, Mforce telah memperoleh plebagai maklum balas positif hasil daripada sewaan satu dewan penuh di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) sempena Malaysia Autoshow 2024.
Dalam pameran tersebut, Mforce berjaya melancarkan 18 model baharu hanya dalam satu hari pada Mei tahun lepas serta turut mempamerkan 80 model yang bakal berada di pasaran. Jumlah dianggarkan lebih 200 model motosikal sekaligus menjadikan pameran Mforce antara yang terbaik sepanjang program berlangsung. Kejayaan ini mencerminkan dedikasi dan inovasi berterusan Mforce dalam industri permotoran.
Mforce Bike Holdings Sdn.Bhd. ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan, syarikat kredit, rakan niaga, rakan media dan peminat motosikal atas sokongan yang tidak berbelah bahagi. Kami bertekad untuk terus memperkenalkan model-model terbaik serta memperluaskan peluang interaksi bersama peminat melalui pelbagai acara eksklusif pada masa akan datang.
TENTANG MFORCE BIKE HOLDINGS SDN. BHD.
Ditubuhkan pada tahun 2008 oleh Dato’ Sri Tan Lean Heah, Mforce Bike Holdings Sdn Bhd telah berkembang menjadi salah satu pengedar motosikal terbesar dan paling berprestasi di Pulau Pinang, Malaysia. Berpegang kepada slogan ‘Moving Forward’, Mforce dengan bangganya mewakili pelbagai jenama antarabangsa yang premium, termasuk Benelli, Keeway, Morbidelli, Benda, QJMotor, SYM, Brixton, Moto Morini, Cyclone, Voge dan Yadea, serta jenama tempatan kami sendiri, SM Sport dan WMOTO.
Mforce bukan sekadar peneraju utama di pasaran Malaysia, malah turut dipercayai sebagai pengeksport motosikal ke negara-negara utama di Asia seperti Thailand, Vietnam, Indonesia, Taiwan dan lain-lain. Perkembangan serantau ini mencerminkan komitmen kami untuk terus Moving Forward dengan menawarkan motosikal berkualiti tinggi dan perkhidmatan yang cemerlang merentasi sempadan.
Menambah kekuatan ekosistem kami, Sunlight Power Sdn Bhd yang ditubuhkan pada tahun 2017 oleh Dato’ Sri Tan Lean Heah merupakan salah satu fasiliti pemasangan motosikal terbesar di Pulau Pinang. Sebagai pemasang eksklusif bagi jenama motosikal premium yang sama, Sunlight Power memastikan setiap motosikal memenuhi standard kualiti dan ketahanan tertinggi, sejajar dengan misi kami untuk terus Moving Forward dengan inovasi dan kecemerlangan.
Bersama-sama, Mforce Bike Holdings dan Sunlight Power menjadi lambang inovasi, ketukangan dan perkhidmatan terbaik dalam industri motosikal, Moving Forward untuk memberikan pengalaman terbaik kepada peminat motosikal dengan gabungan gaya, prestasi dan nilai yang luar biasa.