SUBANG JAYA, 20 FEBRUARI 2016 – Xīnnián Kuàilè! Gōng Xǐ Fà Cái! Wǒmén Yào Qù MYDIN Gòuwù Zhōngxīn, Nàli Hěn Duō Rén. Lái Lái!! Yéye, Zǔmǔ, Fùqīn, Mǔqīn, Jiě Jie, Gēge, Wǒmén Yìqĭ Qù Nàli. Tanglung merah digubah indah, berdentum alunan gendang Cina, rona letupan mercun menyerlah, menggamit suasana meriah di Karnival Tahun Baru Cina 2016.
Hari ini, untuk tahun yang ke-4, MYDIN Mall USJ meneruskan kerjasama erat bersama SJ ECHO, iaitu akhbar tempatan komuniti Subang Jaya untuk menjayakan Karnival Tahun Baru Cina 2016. Masyarakat multietnik yang terdiri daripada penduduk setempat dan para pelanggan MYDIN USJ, Subang Jaya berkumpul bersama-sama tanpa mengira bangsa, agama dan usia untuk meraikan sambutan Karnival Tahun Baru Cina 2016 di MYDIN Mall USJ seawal pukul 6.00 petang sehingga 11.30 malam. Majlis komuniti yang berasaskan sambutan perayaan seperti ini diyakini mampu memupuk nilai-nilai murni khususnya rasa hormat-menghormati, bertolak-ansur dan mewujudkan kesefahaman yang baik dalam kalangan masyarakat majmuk USJ yang hidup secara harmonis.
Tahun Baru Cina merupakan hari perayaan masyarakat Cina untuk menyambut tahun baru dalam kalendar qamari Cina. Sambutan perayaan ini merupakan simbolik kepada titik permulaan dalam nasib dan kehidupan yang baru. Menurut zodiak Cina, tahun 2016 merupakan tahun monyet, iaitu tahun ke-9 dalam kalendar Cina yang membawa lebih banyak tuah berbanding tahun lepas. Pastinya sambutan Karnival Tahun Baru Cina 2016 kali ini membawa 1,001 kemeriahan, keriangan dan kenangan dalam kalangan 5000 tetamu yang hadir.
“Karnival Tahun Baru Cina ini merupakan acara tahunan di MYDIN USJ dan dianggap sebagai satu tradisi. MYDIN bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan sentiasa berusaha untuk menjayakan dan meraikan hari-hari perayaan besar seperti Tahun Baru Cina ini dengan tujuan untuk menghimpunkan semua lapisan masyarakat, tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama-sama berkongsi kegembiraan dan kemeriahan dalam sesebuah perayaan. Kadangkala, cawangan-cawangan MYDIN Mall yang lain juga menerima pelawaan daripada NGO setempat untuk bekerjasama dalam usaha menjayakan majlis komuniti berasaskan sambutan perayaan seperti ini. Saya sangat memandang tinggi dan menghargai usaha sebegini kerana secara tidak langsung kita mampu menyemai nilai-nilai murni seperti mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk semangat kekitaan dan menzahirkan perasaan saling menghormati dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.”
Karnival Tahun Baru Cina 2016 ini diserikan lagi dengan kehadiran YBhg. Dato’ Nor Hisham Bin Ahmad Dahlan, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Ketua Bomba & Penyelamat Daerah Subang Jaya dan tetamu jemputan yang lain daripada Pihak Berkuasa Tempatan. Karnival Tahun Baru Cina 2016 ini disempurnakan dengan gimik perasmian acara menggaul Yee Sang oleh para tetamu kehormat. Menurut masyarakat Cina, hidangan Yee Sang melambangkan simbol kemewahan, simbol penyatuan, simbol kemurahan rezeki dan mampu melanjutkan usia seseorang dalam tahun tersebut. Seramai 20 orang penghuni Rumah Orang Tua Seri Setia, Sungai Way, Petaling Jaya, Selangor juga dijemput khas untuk bersama-sama meraikan karnival ini. Selain daripada dihidangkan dengan makanan, warga emas ini juga diberikan angpau dan goodie bags, sumbangan daripada MYDIN untuk menceriakan sambutan Tahun Baru Cina mereka.
Karnival Tahun Baru Cina 2016 kali ini juga dimeriahkan lagi dengan pelbagai aktiviti menarik dan persembahan yang menghiburkan seperti aktiviti cabutan bertuah, aktiviti menggaul Yee Sang, persembahan tarian naga akrobatik, tarian singa akrobatik, tarian kebudayaan Cina, wusyu, gendang Cina dan banyak lagi. Pelbagai hadiah istimewa seperti peralatan elektrik, baucar beli-belah MYDIN dan hamper disediakan untuk sesi cabutan bertuah. Semua pemegang kad Meriah MYDIN layak untuk menyertai cabutan bertuah karnival ini. Mereka hanya perlu berbelanja minimum RM188 dalam satu resit di Pasar Raya Besar USJ dan menghantar penyertaan di Kaunter Informasi MYDIN Mall USJ bermula dari 13 Februari 2016 dan penyertaan ditutup pukul 5.00 petang pada 20 Februari 2016. Acara cabutan bertuah dan penyampaian hadiah dijalankan pada hari karnival berlangsung. Para pengunjung juga disajikan dengan pelbagai hidangan makanan seperti nasi ayam, nasi goreng cina, bihun goreng singapura, kue tiau goreng, dim sum, bubur kacang, bubur pulut hitam, pastri dan banyak lagi di 14 buah gerai secara PERCUMA!
Sekalung budi dan apresiasi kepada SJ ECHO, kepada pihak-pihak berkuasa tempatan yakni Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya (IPD), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Subang Jaya, kepada rakan-rakan niaga kami yang sentiasa memberikan kerjasama yang baik dan seterusnya kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan sambutan karnival ini. Adalah menjadi harapan bersama agar majlis komuniti sebegini dapat memberi manfaat kepada masyarakat yang berbilang bangsa dan agama seterusnya dapat mengeratkan ukhuwah silaturahim dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia!