(SEMASA) PENCETUS UMMAH MUSIM KEEMPAT KEMBALI

Spread the love

 barisan-peserta-bersama-penaja-dan-barisan-produksi

KUALA LUMPUR, 12 Oktober 2016 – Program realiti Islamik yang telah berjaya mencetuskan fenomenanya tersendiri di Malaysia, Pencetus Ummah kini kembali menemui peminat mulai 27 Oktober 2016 (Khamis) jam 9.00 malam di Astro Oasis (saluran 106) serta tayangan serentak di Maya HD (saluran 135). Pencetus Ummah musim ini menampilkan tema ‘Penyatuan’ bagi memberi peluang kepada para peserta program berusaha menggunakan pelbagai platfom yang ada untuk membawa mesej Islam dalam dakwah untuk menyatukan umat Islam di mana sahaja mereka berada.

Memasuki musim keempat pada tahun ini, program yang bakal bersiaran secara langsung selama tujuh minggu ini akan menampilkan sedikit kelainan dari segi format rancangan bagi meningkatkan kualiti persembahan serta keberkesanan penyampaian para peserta untuk disajikan kepada para penonton. Pencetus Ummah musim ini buat julung-julung kalinya bakal memperkenalkan segmen perbahasan, di mana 2 peserta dengan markah terendah setiap episod akan berdebat serta menyuarakan pandangan masing-masing. Segmen perbahasan ini bakal memperlihat kebijaksanaan para peserta melontarkan idea dalam berdiskusi mengenai sesuatu isu. Kesediaan menerima pendapat orang lain serta berdebat secara berhemah membantu mengangkat konsep dakwah yang satu kepada sekalian umat sekaligus memberi fokus kepada bakat pengucapan awam serta pengisian peserta dalam menyampaikan dakwah.

Musim kali ini juga bakal memperlihatkan keupayaan peserta menjawab persoalan yang diberikan menerusi segmen ‘Soal dan Jawab’ di mana pihak produksi Pencetus Ummah akan memberi lebih penekanan kepada pengisian kandungan untuk segmen ini. Selain itu, juri jemputan juga akan diberi peluang untuk menyampaikan tazkirah masing-masing dalam cara yang tersendiri, bagi memberi lebih banyak peluang untuk peserta menimba ilmu dan mempelajari pelbagai teknik dan cara dakwah yang pelbagai.

Pengurus Saluran Astro Oasis, Ahmad Fuad Mat Ali berkata, “Tidak dinafikan, program Pencetus Ummah telah memberi impak yang besar kepada dunia dakwah tanah air menerusi elemen penyatuan ummah dan penyebaran ilmu yang menjadi tunjang utama program ini. Memasuki musim keempat, kami amat gembira apabila program ini diterima baik penonton di luar sana dan dijadikan inspirasi oleh ramai orang dalam usaha menjadi seorang Muslim yang lebih baik. Kami di Astro akan sentiasa memberikan pendekatan lebih menarik menerusi topik-topik tazkirah yang lebih relevan untuk kita bawakan, berdasarkan konteks pembangunan umat Islam terkini”.

Selama tiga musim, Pencetus Ummah telah pun melahirkan ramai pendakwah yang dilihat menjadi pelapis yang bagus dalam menyuburkan syiar dakwah Islamiah tanah air. Menjadikan Rasulullah SAW selaku suri tauladan, tentunya musim kali ini menjanjikan barisan peserta yang lebih baik untuk meneruskan perjuangan Baginda Muhammad SAW.

Walaupun umat Islam kini berhadapan dengan pelbagai cabaran yang lebih besar, konteks dakwah itu masih kekal sama. Menyampaikan dengan cara paling berkesan sesuai dengan zaman, mengikut acuan dan panduan Islam yang sebenar seterusnya menjulang agama Islam yang kita muliakan ke peringkat yang lebih tinggi. Itulah yang ingin dizahirkan Pencetus Ummah, dalam misi menyatukan hati-hati kita semua”, ulas Ahmad Fuad lagi.

Kami di Astro Oasis percaya selain daripada isi kandungan dakwah yang banyak memfokuskan pada isu-isu terkini, cara penyampaian para peserta yang tersendiri selepas digilap bakatnya oleh barisan tenaga pengajar merupakan faktor utama dakwah mereka mudah diterima. Lihat sahajalah para peserta Pencetus Ummah musim-musim terdahulu seperti PU Azman, PU Hafiz, PU Yeop, PU Syed dan ramai lagi yang tidak lekang memenuhi jemputan ceramah daripada pelbagai pihak dari badan-badan korporat sehingga ke pihak sekolah. Kami mahu melahirkan pendakwah yang boleh berterusan memberi bakti kepada agama Islam menerusi usaha dan kegiatan dakwah mereka apabila tamat rancangan ini kelak”, jelas Ahmad Fuad lagi.

Sesi uji bakat untuk rancangan ini telah diadakan di 4 lokasi berbeza di seluruh tanah air sekitar Ogos yang lalu di mana pihak produksi telah berjaya menemukan 9 orang peserta Pencetus Ummah 2016. Para peserta diperlukan untuk menyuntik nilai-nilai akhlak yang terpuji dalam setiap penyampaian mereka bersesuaian dengan topik mingguan yang diberikan. Rancangan yang memberi 70 peratus kuasa pemarkahan kepada para juri dan 30 peratus kepada penonton menerusi undian atas talian, Facebook ini akan menyaksikan penyingkiran peserta dengan markah terendah berlaku pada setiap akhir rancangan.

Ahmad Fuad Mat Ali menambah, “Istimewanya tahun ini, kami tidak menetapkan had umur dalam mencari peserta kerana apa yang paling utama seseorang peserta itu mampu menyampaikan tazkirah dengan menarik dan kreatif serta berpendidikan agama. Kami turut memberi fokus kepada bakat pengucapan awam serta pengisian peserta dalam menyampaikan dakwah. Justeru itu, jika dilihat dari latar belakang setiap peserta baik dari segi umur, tahap pendidikan mahupun pengalaman, ianya memang berbeza-beza. Kami percaya, ia mampu mewujudkan satu persaingan yang sihat dalam kalangan mereka malah kepelbagaian ini merupakan satu kekuatan pada rancangan ini kerana ia dapat melahirkan para pendakwah yang terdiri dari kelompok kumpulan yang berbeza-beza dan pelbagai peringkat umur.”

Bekas peserta Pencetus Ummah sendiri, PU Azman dan hos popular, Faizal Ismail (FBI) dipertanggungjawabkan untuk menggalas tugas sebagai Pengacara Mimbar Pencetus Ummah. Penceramah terkenal, Dato’ Ustaz Badli Shah Alauddin akan menggalas tugas sebagai Mudir manakala pelakon terkenal tanahair, Ibu Fauziah Nawi akan bertindak selaku Guru Persembahan. Pendakwah terkemuka, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali dengan nama Dr. Maza pula dipilih menjadi juri tetap di samping bekas penyampai radio serta pengacara popular, Fara Fauzana. Pelakon jelita, Anis Al Idrus pula akan mengemudi program ‘Serambi Pencetus Ummah’ yang bakal memaparkan aktiviti serta proses pembelajaran yang dilalui para peserta sepanjang mereka berada di Pencetus Ummah.

Juara Pencetus Ummah musim keempat bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM 100,000.00 dan sebuah trofi. Manakala pemenang tempat kedua, akan membawa pulang wang tunai RM 30,000 berserta trofi dan tempat ketiga dan keempat masing-masing akan meraih wang tunai RM 20,000 dan RM 10,000.00 berserta trofi setiap seorang.

Kami amat berbesar hati dengan sokongan yang ditunjukkan oleh para penaja dalam menjayakan Pencetus Ummah musim ini. Di kesempatan ini, kami ingin mengalu-alukan penaja utama kami, Kopi Pak Belalang dan Serai Emas selaku penaja bersama. Selain itu, musim kali ini turut mendapat kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta radio SINAR fm, THR Gegar, RAKU dan Majalah I selaku rakan dakwah. Sekalung penghargaan juga kepada Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, (KUIS) yang bertindak sebagai penaja lokasi bagi empat musim Pencetus Ummah berturut-turut. Sesungguhnya sokongan padu seumpama inilah yang banyak memain peranan dalam penerbitan Pencetus Ummah saban tahun” jelas Ahmad Fuad Mat Ali.

Portal MySalamMuslim pula dipilih menjadi portal rasmi program Pencetus Ummah di mana penonton dapat mengikuti perkembangan serta pembelajaran Islam dengan lebih lanjut menerusi portal ini. Program “CHILLEX” bersama PU Taha (Pemenang Kedua PU 2015) yang bergandingan bersama Amin Idris akan disiarkan setiap hari Khamis, jam 6.00 petang di mana program yang akan bersiaran selama satu jam ini memberi peluang ummah Isam di luar sana terutamanya generasi muda bertanyakan pelbagai persoalan mengenai agama Islam menerusi sesi ‘live chatting’ di laman Facebook rasmi MYSALAM MUSLIM. Selain itu, ‘KOPI PANAS’ pula akan membawa penonton berdiskusi secara santai di mana program yang dikendalikan juara PU 2014, PU Azman ini akan menampilkan selebriti dan bloggers terkenal tanahair. Segala aktiviti peserta-peserta PU tahun ini akan dirakamkan dalam program yang dinamakan “Geng PU” yang mana akan disiarkan dalam laman sesawang “Mysalammuslim” dan juga dalam program sampingan di Astro Oasis iaitu Himpunan PU dan Saf PU.

Pencetus Ummah turut meneruskan pendekatan media sosial dengan pelbagai aplikasi menarik untuk mendekati penonton dan peminat secara lebih dekat dengan dakwah yang disampaikan para peserta. Perkembangan terkini aktiviti para Pencetus Ummah boleh diikuti melalui Facebook: fan page rasmi Pencetus Ummah, akaun Twitter @Pencetus_Ummah dan Instagram MySalamMuslim. Tidak terbatas dengan itu, informasi, gambar dan video menarik Pencetus Ummah juga boleh didapati melalui aplikasi ‘Salam Muslim’. Jangan lupa saksikan ‘Mimbar Pencetus Ummah 2016’ yang membawa nafas baru dalam dunia dakwah ini secara langsung mulai 27 Oktober 2015 (Khamis), jam 9.00 malam di Astro Oasis (saluran 106) serta tayangan serentak di Maya HD (saluran 135).


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *