(SEMASA) PERKEMBANGAN KEMBARA MURNI KEMPEN TRAVELLING BERUANG KINI DIKONGSIKAN!

Spread the love

Majlis Penyerahan Sumbangan ke Tabung Travelling Beruang MAKNA

Kempen Travelling Beruang yang dilancarkan sejak Jun lalu telah mendapat perhatian seluruh masyarakat Malaysia menerusi #TravellingBeruang yang diperkenalkan. Apatah lagi kempen itu mempunyai misi murni dalam mengumpulkan dana bagi membantu pesakit kanser kanak-kanak di Malaysia menerusi Tabung Travelling Beruang MAKNA.

Para pelakon telefilem Travelling Beruang bersama Wakil TV3, AirAsia dan Altel serta MAKNA

Dalam sidang media kedua yang diadakan pada hari ini, kempen itu berkongsi perkembangan terbaharu serta respons positif daripada rakyat Malaysia setelah dutanya, Ungku Ismail Aziz kembali daripada menjelajah enam buah destinasi bagi menjalankan penggambaran dan kapsul istimewa buat kempen tersebut. Enam destinasi tersebut adalah Lombok (Indonesia), Perth (Australia), Siem Reap (Kemboja), Bandaraya Ho Chi Minh (Vietnam), Tokyo (Jepun) dan Chongqing (China) yang juga merupakan destinasi dalam rangkaian Air Asia.

Kempen Travelling Beruang itu dijayakan oleh stesen televisyen rasmi, TV3 serta Air Asia selaku penaja utama dan Altel sebagai penaja bersama. Jika dilihat kempen itu menerima maklum balas yang memberangsangkan terutama dalam penggunaan hashtag #TravellingBeruang dimana salah satu inisiatif kempen itu ialah menyeru orang ramai untuk bergambar bersama patung beruang setiap kali mengembara yang diinspirasikan oleh adik Nurhasmime Abdul Hamid (Mime) penghidap leukemia yang ingin melihat dunia. Sehingga kini lebih 8,000 keping foto berkaitan kempen itu telah dimuat naik menerusi instagram. Turut sama menyokong usaha murni itu adalah para selebriti seperti Fara Fauzana, Elfira Loy, Shukri Yahaya, Azrel Ismail, Fiza Sabjahan, Izreen Azminda, Janna Nick, Nazim Othman dan ramai lagi yang mengambil peluang untuk bergambar bersama ikon patung Travelling Beruang.

Patung Travelling Beruang yang dijual dengan harga RM65 mendapat permintaan yang menggalakkan di mana keseluruhan hasil pembelian akan diserahkan kepada Tabung Travelling Beruang MAKNA. Patung yang pada mulanya boleh didapati menerusi wowshopping.com.my kelolaan TV3 dan di Altel Concept Store, kini juga boleh didapati di dalam semua penerbangan domestik dan antarabangsa Air Asia Malaysia (penerbangan AK) sejak awal September sehingga akhir tahun ini.

Menerusi sidang media ini juga, acara penyerahan cek sumbangan hasil jualan patung beruang dilakukan di mana TV3 menyumbangkan sebanyak RM25,000, Air Asia sebanyak RM 65,000 dan Altel sebanyak RM21,645. Dana tabung itu diramalkan semakin meningkat kerana dana itu tidak tertakluk kepada hanya jualan patung tetapi juga derma ikhlas yang disalurkan terus oleh orang ramai menerusi akaun Tabung Travelling Beruang MAKNA di 5140 7561 6705 (Maybank).

 

Acara penyerahan cek itu disempurnakan oleh Encik Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad mewakili TV3, Encik Spencer Lee, Ketua Komersial Air Asia Berhad dan Encik Rizwal Mohd Ain, Ketua Pegawai Operasi, Altel Communications Sdn Bhd. Cek itu disampaikan kepada Puan Farahida Mohd Farid, Pengurus Besar Majlis Kanser Nasional (MAKNA) sebagai dana Tabung Travelling Beruang MAKNA.

 

Bermula dengan idea telefilem, kempen itu telah dikembangkan lagi dengan pelbagai inisiatif seperti Program Khidmat Masyarakat Travelling Beruang di Institut Paediatrik, Hospital Kuala Lumpur yang disertai para selebriti dan personaliti TV3 melawat pesakit kanser kanak-kanak pada 7 September. Manakala sebuah kejutan khas dilakukan kepada adik Mime apabila Ungku Ismail Aziz bersama krew TV3 disertai wakil Air Asia dan Altel membuat lawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian bagi melihat perkembangan kesihatan adik Mime pada 19 September yang lalu.

Dalam perkembangan lain, Telefilem Travelling Beruang dijangka bakal disiarkan sekitar November 2015 manakala tayangan amal telefilem itu akan diadakan selama dua hari di dua pawagam berbeza. Telefilem itu akan ditayangkan di GSC dan TGV dengan kerjasama rakan penaja iaitu pusat membeli belah Tropicana City Mall dan The Mines khusus untuk acara tayangan amal ini. Tayangan itu bakal diadakan pada 24 Oktober di GSC, Tropicana City Mall dan 25 Oktober bertempat di TGV, The Mines. Tiket tayangan amal itu akan dijual sekitar RM25 menerusi laman wowshopping.com.my di mana sekali lagi semua kutipan itu akan disalurkan terus ke Tabung Travelling Beruang MAKNA.

“Kami berharap kempen ini bakal mengutip jumlah dana yang signifikan serta berterusan menerusi Tabung Travelling Beruang MAKNA bagi membantu para pesakit kanser kanak-kanak di Malaysia. Malah patung khas Travelling Beruang juga menepati objektif di mana ramai yang membawa patung itu sebagai teman kembara bagi merealisasikan simbolik harapan pesakit kanser kanak-kanak yang ingin melihat dunia. Patung itu dilihat di London, Paris, Australia, Oman, Jepun malah di Amerika Syarikat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Encik Ahmad Izham Omar.

“Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Air Asia selaku penaja utama dan Altel sebagai penaja bersama kempen ini selain rakan-rakan penaja kami seperti Tropicana City Mall dan The Mines yang sudi membantu kami dalam mengadakan tayangan amal nanti. Syabas saya ucapkan kepada Ungku Ismail Aziz kerana semangat beliau dalam meningkatkan kesedaran kepada masyarakat tentang penyakit kanser di kalangan kanak-kanak. TV3 juga berterima kasih kepada pihak media yang tidak jemu membantu kami mempromosikan kempen ini”, tambah Izham.

Bagi pihak Altel Communications Sdn Bhd, Ketua Pegawai Operasinya, Encik Rizwal Mohd Ain sangat berbesar hati menjadi sebahagian daripada kempen tersebut dan berharap sumbangan dana ini kepada pihak MAKNA akan terus membantu pesakit kanser kanak-kanak di Malaysia.

“Setakat 11 September 2015, kami telah berjaya menjual sebanyak 143 patung beruang secara eksklusif kepada orang ramai. Manakala bermula semalam, (21 September) kami telah memperkenalkan jualan secara atas talian menerusi jaringan media sosial untuk memudahkan pelanggan kami untuk mendapatkan patung tersebut. Ini bakal memberi peluang kepada orang ramai yang tidak dapat hadir ke kedai kami serta buat mereka yang berada di luar negara untuk membeli patung beruang ini di samping menyokong usaha murni kempen Travelling Beruang,” tambah Encik Rizwal.

Inisiatif kempen dan simbolik harapan pesakit kanser kanak-kanak yang disandarkan kepada patung beruang itu juga tidak akan terhenti kerana patung asal yang sebelum ini dimiliki Ungku Ismail Aziz akan ditukarkan kepada pemilik baru iaitu Cik Aireen Omar, Ketua Pegawai Eksekutif, Air Asia Berhad. Cik Aireen Omar akan menyambung pengembaraan bersama patung tersebut sebelum tugas tersebut diserahkan kepada pengembara-pengembara yang seterusnya. Patung itu diramal bakal menjadi legasi kepada kempen ini.

Perjalanan penuh inspirasi Ungku Ismail Aziz di enam destinasi tajaan Air Asia dan maklumat lanjut mengenai kempen ini boleh didapati di laman web rasmi www.travellingberuang.com.my.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *