Di sebalik kejayaan yang terlakar hari ini, terdapat pelbagai kisah suka-duka dan jatuh bangun sebuah syarikat tempatan yang sememangnya menjadi inspirasi kepada semua. Sejarah jenama HABIB bermula pada tahun 1958 apabila pengasasnya iaitu Datuk Haji Habib Mohamed Abdul Latif telah membuka sebuah kedai peruncitan di Jalan Masjid Kapitan Keling. Kawasan itu sememangnya terkenal dengan deretan kedai barangan kemas yang menjadi tumpuan orang ramai sehingga digelar ‘Jewellers’ Corner’.
Datuk Haji Habib seorang yang berpandangan jauh dan berani untuk tampil berbeza. Keadaan selepas perang dunia kedua begitu mencabar dan beliau memulakan kerjayanya dengan bekerja di kantin pejabat pos Jalan Masjid Kapitan Keling. Melalui pemerhatiannya, kawasan ini dipenuhi dengan peniaga barangan kemas dan setiap pelanggan yang meninggalkan kedai pastinya diiringi senyuman kegembiraan. Beliau sedar bahawa orang ramai membeli barangan kemas untuk meraikan sesuatu berita gembira ataupun menandakan satu detik istimewa dan sambutan hari bermakna. Perkara Ini telah mendorong beliau untuk membuka kedai barangan kemas beliau sendiri. Menariknya, sementara peniaga barangan kemas yang lain sekadar menjual emas, namun HABIB tampil dengan kelainan apabila menjual berlian dan batu permata.
Dato’ Sri Meer Habib, satu-satunya anak lelaki pengasas HABIB turut mewarisi minat yang sama. Sewaktu kecil, beliau amat teruja setiap kali melihat bapanya membuka peti besi dan sentiasa kagum dengan kilauan pelbagai warna berlian dan batu permata. Perkara ini mempengaruhi beliau untuk belajar dan berazam untuk membantu menguruskan perniagaan bapanya.
Meskipun Datuk Haji Habib dikenali sebagai pengasas jenama ini, namun Dato’ Sri Meer yang memainkan peranan yang penting dalam menjadikan HABIB sebuah jenama yang dikenali ramai dan dipercayai untuk berada di peringkat yang tersendiri. Selepas tamat belajar, beliau mendapat ilham untuk membawa konsep peruncitan barangan kemas berikutan jurang permintaan yang tinggi dalam pasaran.
Pada ketika itu, rekaan untuk barangan kemas berlian untuk masyarakat melayu adalah terhad dan permintaan begitu tinggi. Pelanggan inginkan pilihan untuk rantai labuh, kerongsang, butang baju melayu yang tiada di pasaran pada masa itu. HABIB mula mengeluarkan pelbagai koleksi berlian dan batu permata dan menjadikan HABIB sebagai peniaga barangan berlian dan batu permata ketika itu dan terus menjadi tumpuan peminat barangan berlian.
Perkara ini telah mendorong kepada pembukaan bilik pameran pertama HABIB di Semua House, pada tahun 1986. HABIB memilih untuk menawarkan perkhidmatan yang lebih peribadi dan dekat dengan pelanggan lalu bilik pameran HABIB diubah suai dengan konsep kedai emasnya yang lebih mesra pelanggan dengan tidak menggunakan jeriji logam seperti kedai-kedai emas lain agar pelanggan merasakan pengalaman membeli yang lebih peribadi dan selesa. Pelanggan mulai membanjiri bilik pameran HABIB dan HABIB terus melebarkan empayar peniagaan dengan membuka lebih banyak bilik pameran di serata Malaysia.
Dato’ Sri Meer mempunyai kepercayaan yang tinggi terhadap kuasa pemasaran, bagi beliau pemasaran adalah satu pelaburan yang mesti dilaksanakan sesebuah syarikat untuk kekal relevan. Pada masa itu, HABIB adalah sebuah jenama barangan kemas yang pertama unutk bersiaran secara langsung di media elektronik; radio and televisyen, pengiklanan di atas pengangkutan awam dan papan iklan di lebuhraya. Pelbagai initiative telah diusahakan untuk meletakkan HABIB di tahap ini, sejarah baru tercipta apabila HABIB menjadi jenama barangan kemas yang pertama tersenarai dalam Bursa Malaysia sebelum kembali diswastakan pada tahun 2005.
Sentiasa peka dengan corak perubahan semasa serta citarasa pelanggan menjadikan HABIB sentiasa selangkah di hadapan jenama-jenama lain. HABIB turut berjaya meraih kepercayaan daripada jenama antarabangsa untuk melebarkan sayapnya dengan menjual berlian Hearts On Fire® dari Amerika Syarikat yang mempertaruhkan potongan berlian yang paling sempurna di dunia atau disebut sebagai ‘World’s Most Perfectly Cut Diamond’, jenama barangan kemas eksklusif Stephen Webster dari London, Pandora dari Denmark, Les Georgettes by Altesse dari Perancis, TOUS dari Sepanyol serta pengedar tunggal jam tangan mewah mampu milik Ice- Watch dari Belgium. Selain itu, HABIB turut memperluaskan perniagaan dalam industri lain seperti penjualan barangan kemas mewah antik menerusi jenama Chantique, perkhidmatan pajak gadai Islam pertama yang menerima berlian, batu permata dan emas iaitu Ar-Rahnu Express, TimeZone, dan industri pertama diceburi selain barangan kemas iaitu Hotel Jewels yang terletak di Kota Bharu, Kelantan.
Fleksibiliti adalah sikap yang amat dititikberatkan oleh Dato’ Sri Meer dan menjadi antara teras utama jenama ini dalam memberikan khidmat pelanggan yang terbaik di samping menawarkan barangan yang berkuali tinggi. Prinsip dan nilai-nilai murni yang diterapkan sejak dahulu lagi telah menjadi pemangkin kejayaan perniagaan milik keluarga ini.
Pepatah Inggeris ‘Jewellers are the tastemakers of the society’ yang membawa erti peniaga barangan kemas adalah pencipta rencah rasa masyarakat dan pepatah ini amat sinonim dengan HABIB. Pada tahun 2010 HABIB tampil dengan koleksi emas Oro Italia 916®, iaitu satu koleksi emas yang eksklusif terdapat hanya di HABIB. Rekabentuk yang begitu unik dan baru dan berkualiti tinggi dibuat di Itali dengan unsur warisan budaya negara yang memenuhi citarasa rakyat Malaysia. Koleksi Oro Italia 916 ini melalui proses penyelidikan & pembangunan yang teliti menitikberatkan kualiti, hasil kerja tangan yang halus. Sejak itu koleksi ini telah menjadikan perhiasan yang mesti ada bagi setiap peminat barangan emas.
Kini, HABIB diterajui oleh Dato’ Sri Meer Habib selaku Pengerusi Eksekutif Kumpulan HABIB bersama isterinya, Datin Sri Zarida Noordin selaku Pengarah Eksekutif Kumpulan HABIB dengan 30 bilik pameran bersama lebih 1,300 pekerja di bawah Kumpulan HABIB di seluruh negara, HABIB turut mempunyai program pelatih pengurusan (management trainee) yang tersendiri iaitu Graduate Excellence Management School (GEMS) yang mempertaruhkan bakat-bakat muda sebagai pelapis dalam peringkat pengurusan syarikat.
Setelah lebih enam dekad berlalu sebagai jenama warisan barangan kemas utama, HABIB kini masih rancak dalam melebarkan sayap peniagaan melalui pelbagai platfom dan medium. Meskipun menerima saingan hebat daripada jenama barangan kemas tempatan dan antarabangsa, HABIB sentiasa terus mengutamakan pelanggan dalam segala urusan. Menyanjung tinggi slogan ‘Gift of Happiness’ yang membawa erti hadiah kebahagiaan, kepuasan dan kebahagiaan pelanggan adalah kunci utama HABIB. Usaha berterusan dalam memperbaiki mutu perkhidmatan terutamanya ketika pandemik Covid-19 yang berlaku ini telah mencetuskan gelombang digitalisasi. HABIB pantas meluaskan penawaran perkhidmatan ke arah platfom digital seperti melalui pelancaran e-store yang tersendiri di www.habibjewels.com. Tiada siapa yang menyangka kini orang ramai boleh membeli barangan kemas melalui atas talian dengan selamat dan penghantaran yang pantas.
HABIB terus berusaha untuk memberikan terbaik untuk pelanggannya. Setelah 63 tahun HABIB bertapak dalam perniagaannya, jenama ini kekal ikonik dan memberi inspirasi, dengan mengekalkan legasinya sebagai jenama barangan kemas pilihan rakyat Malaysia dengan rekaan yang sempurna serta perkhidmatan unggul yang ditawarkan.