(SEMASA) RM 4.0 JUTA BERJAYA DIRAIH DARI KEMPEN ADD HOPE KFC

Spread the love

JOHOR BAHRU, 17 JANUARI 2017 – Add Hope, inisiatif tahunan oleh KFC Malaysia yang ­­bertujuan untuk membanteras kebuluran berjaya melakar pencapaian membanggakan dengan kutipan dana yang lebih tinggi pada tahun 2016 berbanding tahun sebelumnya dengan RM4 juta!

 

Bagi tahun ke-10 penganjurannya, kempen Add Hope yang sebelum ini dikenali sebagai ‘World Hunger Relief’, merupakan sebuah inisiatif yang berlangsung sepanjang tahun bagi menyebarkan kesedaran dan menghulurkan bantuan yang turut merangkumi tempoh kutipan dana selama 3 bulan. Seperti tahun-tahun sebelumnya, dana diraih menerusi promosi istimewa ‘Add Hope Meal’ di mana caj tambahan RM0.50 disalurkan terus ke tabung dana Add Hope. Dana juga turut dikumpul menerusi tabung Add Hope yang diletakkan di setiap restoran KFC sepanjang tempoh kutipan berlangsung.

Menurut Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim, Presiden & Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Pengerusi QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd di dalam ucapannya di Majlis Penyerahan Dana Add Hope KFC Malaysia, sambutannya amat menggalakkan dan kian meningkat di mana ianya jelas terbukti dengan peningkatan sumbangan setiap tahun, sekali gus membuka lembaran baharu bagi bantuan untuk disalurkan, membolehkan lebih ramai individu dan keluarga yang memerlukan berpeluang menikmati manfaatnya.

“Add Hope merupakan satu komitmen jangka panjang dan menuntut kerjasama setiap pihak untuk sama-sama melakukan perubahan. Saya amat menghargai sumbangan setiap warga kerja di KFC yang telah bertungkus-lumus bagi menjayakan usaha ini.”

Sebahagian besar kutipan daripada dana Add Hope akan disalurkan ke seluruh Malaysia menerusi usaha sama dengan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) tempatan antaranya PERTIWI, KECHARA Soup Kitchen, Food Aid Foundation, 40 rumah-rumah kebajikan seluruh Malaysia serta keluarga-keluarga yang memerlukan. Manakala, sebahagian lagi akan turut disalurkan ke Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi membantu mereka yang menderita kelaparan di serata dunia.

DYMM Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor merupakan tetamu kehormat pada majlis tersebut. Turut hadir memberikan sokongan adalah Carlos Melendez, Ketua Depot Respon Kemanusiaan PBB, Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta jurucakap kempen Add Hope KFC Malaysia, Scha Alyahya.

Sehingga 2016, kempen ini telah berjaya mengumpul lebih daripada RM21.3 juta di peringkat tempatan dan lebih USD$640 juta di peringkat antarabangsa.

Seramai lebih daripada 500 tetamu hadir di dalam majlis penutup kempen ini yang diserikan oleh persembahan dari penyanyi-penyanyi tersohor negara iaitu Dato’ Sheila Majid, Hafiz Suip dan Zarul Umbrella. Antara jemputan termasuklah warga kerja KFC & Yum! Brands Inc., pegawai dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, penghuni rumah-rumah kebajikan, badan-badan bukan kerajaan (NGO), selebriti serta para pengamal media.

Maklumat lanjut boleh di dapati di laman Facebook Add Hope Malaysia, www.facebook.com/AddHopeMalaysia


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *