(SEMASA)  SAMSUNG GALAXY BUDS4 PRO: BILA EKOSISTEM SAMSUNG BERTEMU AUDIO PREMIUM

Spread the love

Samsung Galaxy Buds4 Pro bukan sekadar fon telinga tanpa wayar yang menawarkan kualiti bunyi lebih baik. Ia merupakan sebahagian daripada ekosistem Samsung yang direka untuk menjadikan pengalaman menggunakan peranti Galaxy lebih lancar daripada mendengar muzik, membuat panggilan dan mengawal telefon hinggalah menggunakan ciri berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Dalam pasaran TWS – True Wireless Stereo (Stereo Wayarles Sebenar) yang semakin kompetitif, reka bentuk semata-mata tidak lagi mencukupi. Pengguna hari ini mahukan kualiti bunyi yang baik, pembatalan hingar aktif (ANC) yang berkesan, keselesaan untuk dipakai dalam tempoh yang lama dan, yang paling penting, ciri yang benar-benar berguna dalam kehidupan seharian.

Selepas beberapa minggu menggunakan Galaxy Buds4 Pro, perkara yang paling ketara bukanlah satu ciri tertentu, tetapi bagaimana keseluruhan pakej ini terasa lebih matang dan seimbang.

Samsung memperkenalkan Galaxy Buds4 Pro bersama Galaxy Buds4 pada 26 Februari 2026 yang lalu manakala harga rasmi di Malaysia ialah RM999 untuk Galaxy Buds4 Pro dan RM699 untuk Galaxy Buds4.

REKA BENTUK

Daripada ‘Buds’ kepada ‘Blade. Perubahan paling jelas pada Galaxy Buds4 Pro ialah reka bentuknya. Samsung meninggalkan bentuk Galaxy Buds generasi terdahulu dan memperkenalkan reka bentuk Blade dengan batang yang lebih jelas. Bahagian luarnya menggunakan kemasan logam yang memberikan penampilan lebih premium, manakala bentuk keseluruhannya kelihatan lebih minimalis.

Namun, perubahan ini bukan semata-mata untuk menjadikannya kelihatan lebih menarik. Samsung menyatakan reka bentuk Buds4 Pro dibangunkan menggunakan analisis data bentuk telinga dan simulasi komputer bagi menghasilkan padanan yang lebih ergonomik. Bahagian yang bersentuhan dengan telinga turut direka supaya lebih selesa untuk penggunaan dalam tempoh yang panjang.

Dengan berat hanya 5.1 gram bagi setiap fon telinga, Buds4 Pro memang terasa ringan. Selepas beberapa jam pemakaian, beratnya tidak begitu terasa. Ini penting kerana fon telinga jenis canal-fit lazimnya boleh memberikan sedikit tekanan pada telinga jika dipakai terlalu lama.

Bagi saya, perubahan yang paling menarik ialah cara Samsung menggunakan reka bentuk Blade tersebut untuk kawalan. Gerakan seperti pinch dan swipe terasa lebih mudah dilakukan berbanding kawalan sentuhan pada sesetengah TWS konvensional.

Bekas pengecas pula hadir dalam reka bentuk yang padat dengan penutup lutsinar yang memberikan identiti tersendiri. Saiznya mudah dimasukkan ke dalam poket dan tidak terasa terlalu besar.

Dari aspek ketahanan, Galaxy Buds4 Pro mempunyai penarafan IP57. Namun, penarafan ini hanya merujuk kepada fon telinga dan bukan bekas pengecas. Jadi, walaupun fon telinga sesuai digunakan ketika bersenam atau terdedah kepada peluh dan percikan air, bekas pengecas tetap perlu dijauhkan daripada air.

KESELESAAN PEMAKAIAN

Galaxy Buds4 Pro menggunakan reka bentuk tertutup (canal-fit) dengan eartip silikon, berbeza daripada Galaxy Buds4 standard yang menggunakan reka bentuk terbuka.

Kelebihan utamanya ialah tahap kerapatan yang lebih baik. Apabila dipasang dengan saiz eartip yang sesuai, bunyi dari luar dapat dikurangkan secara semula jadi sebelum sistem ANC mengambil alih tugas.

Dalam penggunaan sebenar, saya mendapati reka bentuknya agak stabil untuk aktiviti harian. Namun, seperti kebanyakan fon telinga jenis in-ear, tahap keselesaan tetap banyak bergantung pada bentuk telinga setiap pengguna.

Tidak semua orang mempunyai bentuk telinga yang sama. Jadi, walaupun Samsung menggunakan pendekatan reka bentuk berasaskan data dan simulasi, pemilihan saiz eartip yang sesuai masih penting untuk mendapatkan padanan yang benar-benar selesa.

KUALITI AUDIO

Bunyi lebih luas, bass lebih bertenaga. Galaxy Buds4 Pro mula menyerlah sebagai model flagship yang menampilkan ciri dan keupayaan bertaraf premium.

Samsung menggunakan sistem pembesar suara dua hala (2-way speaker) yang terdiri daripada 11mm Wide Woofer dan 5.5mm Planar Tweeter, bersama sistem Dual Amp. Woofer baharu itu mempunyai kawasan getaran efektif hampir 20 peratus lebih besar berbanding generasi terdahulu.

Dalam penggunaan harian, hasilnya ialah bunyi yang mempunyai lebih banyak tenaga pada frekuensi rendah, tetapi masih mampu menghasilkan treble yang jelas. Bass terasa lebih penuh ketika mendengar lagu pop, hip-hop atau muzik elektronik, manakala vokal dan instrumen masih mempunyai perincian yang baik. Samsung cuba menghasilkan bunyi yang mudah diterima untuk pelbagai jenis muzik. Jika anda gemarkan bass yang kuat, Buds4 Pro mampu memberikannya. Jika anda lebih menggemari vokal dan instrumen, karakter bunyinya masih boleh disesuaikan melalui fungsi EQ.

Samsung turut menyediakan EQ 9 jalur yang membolehkan pengguna mengubah karakter bunyi mengikut citarasa masing-masing. Ulasan pihak ketiga juga mendapati talaan Buds4 Pro mempunyai bass yang bertenaga dan treble yang jelas, walaupun persepsi terhadap frekuensi pertengahan boleh berubah mengikut genre muzik dan tetapan EQ.

Salah satu ciri yang sering ditekankan Samsung ialah sokongan Ultra High Quality Audio sehingga 24-bit/96kHz menggunakan Samsung Seamless Codec.

Keupayaan tersebut bukan pengalaman universal untuk semua telefon Android atau iPhone. Samsung mengehadkan ciri UHQ kepada peranti Galaxy yang serasi dan menyenaraikan beberapa model Galaxy terpilih dengan One UI 6.1.1 atau lebih baharu untuk menyokong fungsi tersebut.

Sekiranya anda menggunakan Galaxy S26, S25, S24 atau peranti Galaxy lain yang serasi, kelebihan penuh ekosistem audio ini dapat dimanfaatkan namun sekiranya pengguna menggunakan telefon daripada jenama lain, Buds4 Pro masih boleh digunakan sebagai fon telinga Bluetooth, tetapi sebahagian ciri premiumnya tidak tersedia.

ANC DAN MOD AMBIEN

Lebih pintar menyesuaikan diri. Galaxy Buds4 Pro dilengkapkan dengan  Adaptive ANC yang dipertingkatkan bersama Adaptive EQ. Samsung menyatakan, sistem ini menganalisis keadaan pemakaian dan bentuk telinga pengguna untuk melaraskan pemprosesan bunyi secara masa nyata.

Dalam situasi seperti berada di dalam kenderaan, pejabat atau tempat yang mempunyai bunyi latar berterusan, ANC memang membantu mengurangkan bunyi frekuensi rendah namun Ia tidak bermakna semua bunyi akan hilang sepenuhnya, tetapi bunyi seperti dengungan pendingin hawa, enjin atau bunyi persekitaran yang berterusan boleh dikurangkan dengan ketara.

Menariknya, Mod Ambien pula tidak memberikan rasa terlalu ‘digital’. Suara orang di sekeliling kedengaran lebih semula jadi, menjadikannya lebih mudah untuk berbual tanpa perlu mengeluarkan fon telinga.

Fungsi seperti pengesanan suara turut membantu apabila pengguna mula bercakap, membolehkan mod bunyi persekitaran digunakan secara lebih automatik bergantung pada tetapan.

PANGGILAN SUARA

Bukan sekadar untuk muzik. Samsung turut memberikan perhatian kepada kualiti panggilan melalui sistem Super Clear Call.

Galaxy Buds4 Pro menggunakan sistem mikrofon dan pemprosesan berasaskan pembelajaran mesin untuk membantu mengasingkan suara daripada bunyi latar. Samsung turut menggunakan teknologi Super Wideband bagi menyampaikan suara dengan lebih jelas pada peranti Galaxy yang serasi.

Untuk panggilan ketika berada di luar atau dalam persekitaran yang agak bising, suara masih boleh didengar dengan jelas oleh pihak di hujung talian, walaupun prestasi sebenar tetap bergantung pada keadaan persekitaran. Bagi pengguna yang banyak melakukan panggilan kerja melalui telefon, aspek ini sebenarnya sama penting dengan kualiti muzik.

KAWALAN DAN CIRI AI

Tak perlu sentiasa menyentuh telefon. Salah satu ciri baharu yang paling menarik ialah Head Gestures. Pengguna boleh mengangguk untuk menerima panggilan atau menggelengkan kepala untuk menolaknya. Bunyinya seperti fungsi kecil, tetapi selepas digunakan beberapa kali, ia mula terasa praktikalterutama apabila tangan sedang sibuk.

Galaxy Buds4 Pro turut menyokong pembantu AI seperti Bixby dan Google Gemini, dengan ciri AI tertentu bergantung pada peranti dan konfigurasi yang digunakan. Beberapa ulasan turut mengesahkan sokongan ciri pembantu suara serta kawalan gerakan kepala dalam penggunaan harian.

Walau bagaimanapun, tidak semua fungsi tersebut boleh dianggap sebagai ciri yang beroperasi sepenuhnya secara berdikari daripada telefon pintar. Sebahagian daripada pengalaman kecerdasan buatan (AI) ini masih bergantung pada peranti Galaxy yang bersambung. Hakikat inilah yang membawa kita kepada aspek paling penting mengenai Galaxy Buds4 Pro.

EKOSISTEM SAMSUNG

Jika anda menggunakan Galaxy S26, S25, S24 atau peranti Galaxy yang serasi, Galaxy Buds4 Pro terasa seperti sebahagian daripada ekosistem yang sama. Auto Switch membolehkan sambungan bertukar antara peranti Galaxy yang serasi tanpa memerlukan proses sambungan manual setiap kali.

Ciri seperti UHQ Audio, 360 Audio dengan fungsi tertentu, AI Interpreter dan beberapa ciri panggilan berkualiti tinggi turut bergantung pada peranti Galaxy yang serasi.

Namun, di sinilah pengguna yang tidak menggunakan peranti Samsung perlu memberi perhatian. Buds4 Pro masih boleh digunakan dengan peranti lain, tetapi anda tidak akan mendapat pengalaman penuh yang ditawarkan oleh ekosistem Samsung.

Lebih penting, Buds4 Pro tidak mempunyai Bluetooth multipoint sebenar untuk bertukar antara peranti daripada platform atau jenama berbeza. Auto Switch Samsung lebih tertumpu pada ekosistem Galaxy. Sekiranya rutin anda melibatkan telefon Samsung, tablet Galaxy dan Galaxy Book, pengalaman ini memang lebih sesuai.

BATERI

Samsung menyatakan Galaxy Buds4 Pro boleh memainkan muzik sehingga 6 jam dengan ANC dihidupkan dan sehingga 7 jam apabila ANC dimatikan. Dengan bekas pengecas, jumlah penggunaan boleh mencapai sehingga 26 jam dengan ANC dihidupkan atau sehingga 30 jam dengan ANC dimatikan.Angka ini tidak semestinya paling tinggi dalam kategori TWS flagship. Namun, ia cukup munasabah untuk penggunaan harian.

BEKAS PENGECAS

Bekas pengecas Galaxy Buds4 Pro menampilkan reka bentuk yang kompak dan mudah dibawa ke mana-mana. Samsung turut mengekalkan sokongan pengecasan tanpa wayar pada bekas tersebut, di samping pilihan pengecasan konvensional melalui port USB-C. Walau bagaimanapun, kabel pengecas tidak disertakan dalam pakej, yang bermaksud pengguna perlu menggunakan kabel USB-C sedia ada mereka. Bagi produk yang bernilai RM999, kekurangan ini mungkin dianggap sebagai sesuatu yang mengecewakan, walaupun pada masa kini kebanyakan pengguna telah pun memiliki kabel USB-C sendiri.

RUMUSAN

Samsung Galaxy Buds4 Pro merupakan satu lagi contoh bagaimana Samsung cuba menjadikan aksesori pintar sebagai sebahagian daripada pengalaman ekosistem, bukan sekadar produk tambahan.

Perubahan reka bentuk Blade menjadikannya lebih moden, manakala berat 5.1 gram pula membantu dari segi keselesaan. Dari sudut audio, sistem dua pembesar suara dengan woofer 11mm dan planar tweeter 5.5mm memberikan bunyi yang bertenaga, manakala sokongan 24-bit/96kHz menjadi tarikan utama untuk pengguna Galaxy yang mahukan pengalaman audio resolusi tinggi.

ANC juga berada pada tahap yang meyakinkan untuk kegunaan harian, sementara ciri seperti Head Gestures, Super Clear Call dan integrasi AI menambahkan elemen praktikal yang tidak semestinya ditemui pada semua TWS.

Walau bagaimanapun, satu perkara yang perlu diberi perhatian adalah bahawa Galaxy Buds4 Pro berfungsi secara optimum apabila digandingkan dengan telefon pintar Galaxy. Bagi pengguna peranti Samsung dan ekosistem Galaxy yang lain, fon telinga ini bertindak sebagai sambungan yang lancar dan semula jadi. Sebaliknya, sekiranya anda menggunakan peranti daripada pelbagai jenama dan memerlukan fon telinga yang menawarkan pengalaman seragam merentas semua platform, beberapa batasan ekosistem Samsung wajar diambil kira.

Pada tanda harga RM999, Galaxy Buds4 Pro jelas tidak menyasarkan pasaran fon telinga wayarles sebenar (TWS) mampu milik. Sebaliknya, ia direka khusus sebagai produk TWS premium untuk pengguna setia Galaxy. Berdasarkan penilaian menyeluruh merangkumi aspek reka bentuk, kualiti audio, pembatalan hingar aktif (ANC), kejelasan panggilan, hinggalah kepada ciri pintar, terbukti bahawa kekuatan utama Buds4 Pro bukanlah terletak pada keunggulan spesifikasi individu semata-mata. Malah, kekuatan sebenarnya berpaksikan kepada sinergi keseluruhan ciri tersebut yang bergabung bagi menghasilkan pengalaman penggunaan yang komprehensif.”


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *