KUALA LUMPUR, 23 SEPTEMBER 2023 – Dengan hasrat untuk memacu Malaysia sebagai pusat pelancongan perubatan estetik, KO Academy, sebuah pusat latihan dalaman di bawah DR. KO Skin Specialist (DR. KO), telah menganjurkan edisi kedua Sidang Kemuncak Dermatologi & Perubatan Estetik Asia (ADAMS) bertempat di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur hari ini. Acara tersebut menyaksikan penyertaan pemain industri terkemuka, termasuk Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Persatuan Perubatan Estetik Malaysia (MSAM), Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Dirasmikan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Dato’ Dr. Ammar Abd. Ghapar, ADAMS 2023 yang diadakan dari 23 hingga 24 September 2023, di Shangri-La Kuala Lumpur, menarik lebih daripada 600 pakar perubatan dan profesional industri dari dalam dan luar negara. Sidang kemuncak tersebut turut menampilkan lebih daripada 50 gerai pameran oleh pelbagai syarikat perubatan terkemuka, mengukuhkan kedudukan ADAMS sebagai acara serantau utama dalam bidang dermatologi dan perubatan estetik.
Dalam ucapan beliau, Ammar menekankan bahawa Malaysia menyambut lebih daripada 800,000 pelancong kesihatan, menghasilkan sekitar RM1.3 billion pendapatan pada tahun 2022, menunjukkan pemulihan positif industri pelancongan kesihatan negara dalam era pasca-pandemik. “Oleh itu, kita mestilah memanfaatkan peluang ini untuk membawa komuniti perubatan kita ke peringkat seterusnya, dan ADAMS, dalam edisi keduanya tahun ini, telah menjadi platform yang sangat baik bagi pakar-pakar dermatologi, bedah plastik, doktor estetik, dan pakar-pakar lain untuk menjalinkan hubungan, berkongsi pengetahuan, dan membincangkan trend dan teknologi terkini.”
Antara acara utama di ADAMS 2023 adalah forum bertajuk, “Memacu Malaysia Sebagai Destinasi Serantau untuk Pelancongan Perubatan Estetik.” Forum tersebut menampilkan ahli-ahli panel yang pelbagai merangkumi pakar-pakar estetik dan personaliti terkenal seperti Dato’ Dr. Ko Chung Beng (Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif KO Academy), Dr. Edmond Lau (Presiden ADAMS 2023), Dato’ Dr. Khalid Mohd Harun (Presiden MATA), Dr. Masilamoney Asirvatham (Presiden MSAM), Tutie Ismail (Naib Presiden Komunikasi, MHTC), Dr. Lim Ing Kien atau lebih dikenali sebagai Dr. Ingky (Pengasas Medii Skin Studio, Skynfyx, dan pencipta kandungan TikTok), dan Miss Serene Claire (Naib Juara Miss Universe Malaysia 2020, pelakon & pempengaruh).
Forum tersebut membincangkan strategi untuk meningkatkan reputasi global Malaysia dalam rawatan estetik. Strategi ini termasuk usaha pemasaran untuk menonjolkan kepakaran, harga yang berpatutan, dan tarikan budaya Malaysia; potensi dan faedah kerjasama antara organisasi perubatan antarabangsa, universiti, dan persatuan perubatan; serta pemberian insentif kewangan, pelepasan cukai, atau geran untuk merangsang pelaburan dalam sektor pelancongan perubatan.
“Berbanding dengan negara-negara yang mempunyai kos hidup yang lebih tinggi dan overhed yang lebih besar, Malaysia dapat menawarkan tahap kepakaran dan teknologi yang sama tetapi dengan harga yang lebih berpatutan. Kelebihan ini boleh dinikmati dalam pelbagai prosedur, dari rawatan tanpa pembedahan hinggalah ke pembedahan yang lebih kompleks. Semakin ramai pesakit dari seluruh dunia mendapati bahawa mereka tidak perlu mengorbankan kualiti untuk mencapai matlamat estetik mereka — Malaysia menawarkan rawatan bertaraf dunia dengan harga yang lebih munasabah, terutamanya dari segi kewangan,” kata Ko, menegaskan tentang kos perkhidmatan yang berpatutan di Malaysia dalam ucapannya.
Presiden ADAMS pula berkata, “Saya harap setiap sesi, perbincangan, dan interaksi akan menjadi sumber inspirasi dan motivasi, mendorong industri ini melonjak ke tahap yang lebih baik.” Lau juga menyatakan bahawa ADAMS 2023 bukanlah satu acara perubatan biasa, tetapi bertujuan untuk mencapai matlamat bersama menjadikan Malaysia sebagai destinasi serantau untuk pelancongan perubatan estetik.
Selain itu, ADAMS 2023 juga menyerahkan sumbangan sebanyak RM12,000 kepada Yayasan Kulit Malaysia (MSF), mengadakan beberapa simposium yang disertai doktor-doktor dan pakar-pakar, inisiatif penglibatan setempat, dan sesi perkenalan antara satu sama lain di mana peserta diberikan persekitaran yang kondusif untuk berinteraksi secara langsung, membina hubungan, dan meneroka potensi kerjasama sesama mereka. Dalam jangka masa panjang, ADAMS akan terus menyumbang kepada bidang dermatologi dan perubatan estetik sambil menawarkan pengalaman yang lebih komprehensif dan berkesan kepada peserta di setiap acara, pada tahun-tahun yang akan datang.