(SEMASA) TAYANGAN KHAS EJEN ALI THE MOVIE BERSAMA TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN PENGHUNI TAMAN SINAR HARAPAN CHERAS

Spread the love

PETALING JAYA, 11 JANUARI 2020 – YAB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah hadir bersama 50 warga orang kurang upaya (OKU) dari Taman Sinar Harapan, Cheras untuk sesi tayangan khas filem animasi EJEN ALI THE MOVIE di mmCineplexes, The Curve pada pagi ini.
Antara yang turut hadir adalah Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (“Media Prima”), Datuk Dr. Syed Hussian Aljunid, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Kamal Khalid, Pengarah Eksekutif Kumpulan, Dato’ Iskandar Mizal Mahmood serta Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar.

Tayangan khas EJEN ALI THE MOVIE dianjurkan hasil kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertujuan untuk membawa keceriaan kepada warga Taman Sri Harapan melalui hiburan yang berasaskan nilai-nilai kekeluargaan dan semangat setia kawan. Program ini juga telah dirancang untuk memberi pendedahan kepada warga tersebut untuk menonton filem di pawagam dengan harapan agar dapat membantu di dalam proses integrasi dengan masyarakat.

Filem EJEN ALI THE MOVIE terus menguasai carta perfileman tempatan sejak mula ditayangkan pada 28 November 2019 walaupun menerima saingan sengit daripada filem-filem antarabangsa yang lain. Filem terbitan bersama anak syarikat Media Prima, Primeworks Studios dan WAU Animation Sdn Bhd ini, berjaya mengungguli carta filem dan meraih kutipan sebanyak RM30 juta di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.

YAB Dato’ Sri Wan Azizah Dr. Wan Ismail berkata, “Saya mengucapkan syabas kepada pihak Media Prima di atas penganjuran tayangan khas EJEN ALI THE MOVIE untuk memberi peluang kepada warga OKU untuk turut serta menyaksikan filem ini di pawagam. Tahniah juga kepada pihak Media Prima serta Wau Animation, dua syarikat produksi tempatan yang mampu menghasilkan karya yang setanding filem-filem animasi antrabangsa sambil menerapkan nilai-nilai murni yang boleh dijadikan inspirasi dan tauladan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia.”

Datuk Dr. Syed Hussian Aljunid berkata, “Kami percaya filem-filem seperti E JEN ALI THE MOVIE ini mampu mengeratkan lagi hubungan antara masyarakat dan mengukuhkan institusi keluarga dan kami amat teruja kerana diberi peluang untuk berkongsi filem ini dengan warga Taman Sri Harapan Cheras.

Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah serta Kementerian di atas sokongan yang telah diberikan untuk menjayakan program ini. Media Prima komited untuk terus bekerjasama dengan pihak Kementerian dalam usaha melahirkan masyarakat penyayang.”

EJEN ALI THE MOVIE mengisahkan Ali, budak berusia 12 tahun yang direkrut menjadi penyiasat di agensi perisikan dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency (MATA). Ali ditugaskan melindungi kota futuristik Cyberaya daripada ancaman luar. Konflik timbul apabila Ali mengetahui dia bukanlah satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet istimewa iaitu Infinity Retinal Intelligence System (IRIS).

Gajet tersebut telah diubahsuai menjadi IRIS Neo, perkakasan yang boleh dikawal serta digunakan oleh ejen lain. Inovasi baharu itu dipersoalkan Ali apabila dia merasa terpinggir dan kedudukannya sebagai ejen istimewa MATA tergugat. Pada saat itu, Ali didatangi individu misteri yang mendakwa tahu kisah silamnya dan bermulalah pengembaraan Ejen Ali demi membongkar kebenaran biarpun kesetiaannya terhadap MATA teruji.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *