Rabu, 24 September 2025 – PETRONAS Sepang International Circuit (SIC) dengan bangganya mengumumkan bahawa pelumba muda negara, Hakim Danish, bakal membuat penampilan sulung wildcard dalam kelas Moto3™ di PETRONAS GRAND PRIX MALAYSIA 2025 (MotoGP™ Malaysia) yang akan berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober 2025.
Ini menandakan detik bersejarah dalam kerjaya Danish serta arena sukan permotoran Malaysia. Selepas membuktikan keupayaan di pentas antarabangsa, kini beliau melangkah ke fasa seterusnya dengan beraksi menentang pelumba terbaik dunia di tanah air sendiri, di hadapan penyokong Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata:
“Danish benar-benar telah layak menerima wildcard ini. Tiga tahun selepas Syarifuddin Azman (Damok), rakyat Malaysia sekali lagi akan menyaksikan pelumba kita sendiri bersaing dalam Moto3™ bersama SIC. Ini lebih daripada sekadar perlumbaan – Danish adalah lambang terbaik pelan pembangunan sukan permotoran kita (MDEV), yang telah berkembang dari peringkat akar umbi hingga ke pentas dunia. Beliau tanpa ragu adalah antara bakat terbaik Malaysia pada generasinya. Saya menjemput semua peminat sukan permotoran hadir ke Sepang, penuhkan tempat duduk, dan bersama-sama bersorak untuk juara masa depan kita di MotoGP™ Malaysia.”
Perjalanan Danish adalah bukti komitmen SIC dalam melahirkan bakat permotoran Malaysia. Bermula di peringkat akar umbi menerusi SIC MiniGP Championship, beliau seterusnya mara ke Asia Talent Cup, European Talent Cup, Red Bull MotoGP Rookies Cup, dan FIM JuniorGP World Championship, dengan prestasi konsisten yang menyerlahkan potensi bertaraf dunia.
Pencapaian Kerjaya Hakim Danish
-
2020 – Juara keseluruhan pertama SIC MiniGP Championship (program pembangunan akar umbi SIC).
-
2022 – Rakyat Malaysia pertama muncul Juara Keseluruhan Asia Talent Cup (ATC) sejak penubuhannya pada 2014.
-
2022 – Pelumba Malaysia pertama menaiki podium dalam European Talent Cup (ETC).
-
2023 & 2024 – Pelumba Malaysia pertama memenangi dan meraih pelbagai podium dalam Red Bull MotoGP Rookies Cup.
-
2025 – Pelumba Malaysia pertama menamatkan musim di kedudukan Top 3 keseluruhan Red Bull MotoGP Rookies Cup.
Perjalanan Danish juga mencerminkan usaha kerjasama antara Kementerian Belia & Sukan (KBS) dan SIC dalam membina juara melalui laluan pembangunan jelas, daripada akar umbi hingga ke kejohanan dunia. Kejayaan beliau menjadi simbol harapan untuk melahirkan Juara Dunia pertama Malaysia dan sumber inspirasi buat generasi pelumba masa depan.
🎟️ Tiket kini laris dijual di www.sepangcircuit.com.
Menyokong agenda Malaysia MADANI, PETRONAS SIC meneruskan inisiatif Tiket Rahmah dengan menawarkan tiket K2 Hillstand pada harga hanya RM49.90, memberikan peluang kepada peminat untuk bersorak buat Danish di tanah air sendiri.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini acara serta aktiviti, ikuti saluran media sosial rasmi SIC
