(SUKAN) Kejuaraan B-23 AFF 2022 (ASEAN Football Federation U23 Championship) Secara Langsung di TV9

Spread the love

Petaling Jaya, 10 Februari 2022 – TV9 kembali dengan slot sukan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh peminat-peminat tegar bola sepak. Bagi memulakan semangat kesukanan dalam kalangan penonton setianya, TV9 memulakan slot sukannya dengan menyiarkan Kejuaraan B-23 AFF 2022 (ASEAN Football Federation U23 Championship). Pasti ramai yang teruja dan tidak sabar menunggu perlawanan-perlawanan yang membabitkan skuad Bawah-23 Tahun Negara beraksi. 

Kejuaraan B-23 AFF 2022 yang membabitkan 10 pasukan bawah-23 tahun dari negara-negara ASEAN ini akan berlangsung di Phnom Penh, Kemboja bermula dari 14 Februari ini hingga 26 Februari nanti. Perlawanan-perlawanan ini akan berlangsung di dua stadium iaitu Stadium Visakha dan Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh. Juara bertahan bagi kejohanan ini ialah pasukan Indonesia apabila mereka berjaya menewaskan pasukan Thailand 2-1 pada tahun 2019 yang turut berlangsung di negara yang sama iaitu Kemboja. Namun kali ini Indonesia telah menarik diri daripada kejohanan ini kerana ada di kalangan pemain mereka yang didapati positif Covid-19. Adakah ini tiket kepada pasukan Malaysia untuk merangkul kejuaran ini?

Menurut Dato’ Khairul Anwar Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad & Primeworks Studios, “Berita baik buat peminat tegar bola sepak tempatan kerana TV9 kini kembali menyiarkan perlawanan bola sepak setelah sekian lama. Bermula 14 Februari nanti, TV9 akan menyiarkan Kejuaraan B-23 AFF 2022. Kami berusaha untuk merealisasikan permintaan penonton setia kami yang meminati sukan bola sepak supaya mereka dapat menyaksikan semua perlawanan yang melibatkan pasukan Harimau Muda. Semoga jurulatih pasukan negara (B-23), Brad Maloney dan pasukan muda Malaysia berjaya!”

Pasukan Malaysia diletakkan di dalam kumpulan B bersama-sama dengan pasukan Myanmar dan Laos. TV9 akan menyiarkan semua perlawanan kumpulan yang melibatkan pasukan muda Malaysia, perlawanan Thailand menentang Singapura, perlawanan separuh akhir dan perlawanan akhir. Berikut adalah jadual perlawanan tersebut mengikut waktu Malaysia:

Tarikh Perlawanan Waktu
15 Februari (Selasa) Malaysia lwn. Myanmar 4.50 petang
16 Februari (Rabu) Thailand lwn. Singapura 7.50 malam
18 Februari (Isnin) Malaysia lwn. Laos 4.50 petang
23 Februari (Khamis) Separuh Akhir 1 4.50 petang
24 Februari (Khamis) Separuh Akhir 2 8.20 malam
26 Februari (Sabtu) Penentuan Tempat ke-3 4.50 petang
26 Februari (Sabtu) Perlawanan Akhir 8.20 malam

Jangan lupa saksikan setiap perlawanan pasukan muda Malaysia yang disiarkan di TV9. Semoga pasukan kita dapat menjulang piala Kejuaraan B-23 AFF 2022

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV9, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV9Malaysia serta TikTok @TV9MalaysiaOfficial.  


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *