(SUKAN) Lebih 7,000 Peserta Hangatkan Perlumbaan R.O.C. di Forest City

Spread the love

DCIM100MEDIADJI_0051.JPG

JOHOR, 29 November 2017 – Perlumbaan Ridiculous Obstacle Challenge (R.O.C), iaitu acara larian merentasi halangan yang terbesar di dunia, menyaksikan seramai 7,000 orang peserta berjaya melepasi garisan penamat ketika penganjuran sulungnya di rantau Asia dekat Forest City, Johor pada Sabtu lepas.

Dengan suasana persekitaran yang damai serta pemandangan yang begitu indah, ia tidak menghampakan para peserta. Mereka memberikan sambutan yang cukup hangat dengan mula beratur untuk pendaftaran seawal pukul 5.30 pagi sebelum memulakan perlumbaan melepasi halangan-halangan unik yang telah disediakan.

 Sebaik sahaja cuaca cerah di Forest City, para peserta mula dilepaskan selang 30 minit dengan kumpulan pertama dilepaskan seawal pukul 7.00 pagi dan kumpulan yang terakhir pada pukul 10.00 pagi. Perlumbaan ini diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Strategi Country Garden Pacificview Sdn Bhd, Dr. Yu Runze dan Ketua Jabatan Komersial, Encik Eric Yu yang melepaskan para peserta pada pukul 8.00 pagi.

Para peserta telah merasai satu pengalaman yang berharga dan menyeronokkan  setelah mereka berjaya melepasi kesemua 10 halangan yang telah disediakan dilaluan berlari dan berjalan kaki sepanjang 5km. Di garisan penamat, mereka menerima sehelai kemeja-T dan pingat selepas berjaya melepasi garisan penamat.

Untuk menguji serta memberi cabaran yang lebih menarik kepada peserta dan juga peminat sukan lasak, antara halangan yang disediakan ketika perlumbaan tersebut ialah seperti ‘Wrecking Balls’,  ‘Sweeper’, ‘Jump Balls’ yang baru diubahsuai, dan ‘The Hippo’- gelongsor air dengan ketinggian empat tingkat.

“Para peserta pasti terpikat dengan suasana dan persekitaran di bandar ini dan kami amat berbesar hati kerana dipilih untuk menjadi tuan rumah untuk Perlumbaan R.O.C yang pertama di rantau Asia. Kami juga berharap untuk menjadi tuan rumah sekali lagi pada tahun hadapan dan para peserta dapat menikmati suasana yang lebih menarik di bandar ini sejajar dengan pembangunan yang sedang kami jalankan,” ujar Dr. Yu Runze.

Dengan Malaysia Major Events, salah satu divisyen dari Biro Pameran dan Konvensyen Malaysia (MyCEB) iaitu satu agensi dibawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MoTAC) menyatakan sokongan kepada acara ini, Perlumbaan R.O.C, semakin berkembang dan popular dikalangan peminat sejak edisi pertama pada 2011. Perlumbaan seterusnya akan diadakan di Sepang tahun hadapan.

“Kami sangat seronok ketika berada di Forest City dan kami sangat berbangga kerana seramai 7,000 peserta mendapat pengalaman yang manis serta berharga untuk mereka bawa pulang. Perlumbaan seterusnya akan diadakan di Sepang pada 30 Jun 2018 dan saya mengharapkan yang kami akan membawa momentum ini untuk mencapai tahap yang lebih tinggi lagi,” ujar David Wright, Pengasas R.O.C.

Salah seorang peserta, Ludo, 46 dari Perancis yang bekerja sebagai seorang guru di salah sebuah sekolah antarabangsa di Singapura melahirkan rasa gembiranya kerana berpeluang mengambil bahagian untuk pertama kalinya dalam Perlumbaan R.O.C

 “Saya amat gembira hari ini bersama isteri kerana kami berjaya melepasi kesemua halangan. Kami mengambil masa selama 60 minit sebelum melintasi garisan penamat. Saya amat menyukai halangan “The Hippo” kerana ia sangat seronok untuk menggelongsor ke bawah dari altitud yang tinggi,” ujar guru disiplin tersebut.

Penyertaan untuk Perlumbaan R.O.C adalah terbuka kepada peserta yang berumur dari 10 tahun dan ke atas dan para peserta juga bebas untuk memilih waktu pelepasan bersama beberapa pakej yang disediakan.

Untuk keterangan lanjut mengenai pendaftaran, log masuk ke https://www.rocrace.my/


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *