(SUKAN) Pasukan Viper Niza Racing Sasar Tiga Podium dalam Tiga Penampilan di 12 Jam Spa Francorchamps

Spread the love

Dalam dua penampilan terdahulu di litar legenda Spa Francorchamps di Belgium, pasukan Viper Niza Racing berjaya menaiki podium. Hujung minggu ini (17–19 April), pasukan dari Malaysia itu menyasarkan pencapaian tiga podium daripada tiga penyertaan pada Pusingan 2 Michelin 24H Series.

Tahun lalu, gandingan Douglas Khoo, Dominic Ang dan Melvin Moh berjaya membawa jentera #65 Mercedes-AMG GT3 EVO ke tempat kedua dalam kelas GT3-AM, keempat dalam kelas GT3 dan keenam keseluruhan (daripada 37 pelumba antarabangsa), sekali gus memulakan kempen 2025 mereka dengan cemerlang.

Ketiga-tiga pelumba itu juga pernah menjuarai kelas PRO/AM dalam perlumbaan sulung TCR SPA500 (500 pusingan) menggunakan Seat Cupra TCR DSG pada kunjungan pertama mereka ke Spa Francorchamps pada tahun 2019.

Musim ini, Viper Niza Racing memulakan kempen Michelin 24H Series di Mugello Circuit bulan lalu dengan keputusan tempat keempat dalam kelas GT3-AM bagi perlumbaan 12 jam. Mereka turut menduduki tempat kelapan dalam GT3 dan ke-10 keseluruhan selepas melengkapkan 344 pusingan.

Circuit de Spa-Francorchamps terkenal sebagai salah satu litar berkelajuan tinggi paling mencabar di dunia. Litar bersejarah sepanjang 7.004km ini mempunyai 19 selekoh dan terkenal dengan keadaan cuaca yang sukar diramal. Tahun lalu, para peserta berdepan trek basah semasa sesi latihan bebas sebelum perlumbaan berlangsung dalam keadaan kering sepenuhnya.

“Itulah keunikan dan daya tarikan Spa Francorchamps – ketidaktentuannya. Ia bukan perlumbaan yang boleh dipandang ringan. Walaupun kami mempunyai rekod baik di sini, kami akan kekal fokus dengan persediaan, strategi perlumbaan dan disiplin. Sasaran kami adalah podium, namun kami tidak akan terlalu selesa dengan pencapaian lalu. Dalam perlumbaan endurance, untuk menang, anda perlu menamatkan perlumbaan terlebih dahulu,” kata Ketua Pasukan dan pelumba utama, Douglas Khoo.

Sebanyak 44 kereta akan beraksi pada hujung minggu perlumbaan ini, dengan Mercedes-AMG GT3 EVO menjadi jentera paling banyak dalam kelas GT3, diketuai oleh juara keseluruhan dan kelas GT3-AM tahun lalu, HOFOR Racing. Turut berada di grid ialah Audi R8 LMS GT3 milik Continental Racing by Simpson Motorsport yang meraih tempat kedua dalam kelas GT3-AM di Mugello bulan lalu.

Viper Niza Racing disokong oleh Motul, IWC sebagai jenama jam rasmi, Momentum Autoparts dan Sparco dari Itali.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *