(SEMASA) TEROKA JALANAN BERSAMA WMOTO GRIFFIN 205: JENTERA KEMBARA URBAN BAHARU MALAYSIA.

Spread the love

PERAK, 19 JULAI 2026 – WMOTO GRIFFIN 205 kini rasmi berada di pasaran Malaysia melalui pengedar rasminya, Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd., selepas diperkenalkan sempena Malaysia Bike Show (Mforce MotoXperience 2026) pada 29 Mei 2026 bersama 15 model baharu yang dilancarkan untuk pasaran tempatan. Pelancaran rasmi model ini kepada pasaran turut diadakan bersempena majlis perasmian Mforce Smartshop Kedai Motor Yoon Loi di Pusing, Perak.

Ditawarkan pada harga RM8,888.00, tidak termasuk cukai jalan dan insurans, WMOTO GRIFFIN 205 hadir dalam empat pilihan warna menarik iaitu Glacier Grey, Action Blue, Xtreme White dan Nitro Red, menyerlahkan karakter skuter “crossover” yang moden, sporty dan sesuai untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jarak sederhana.

WMOTO GRIFFIN 205 dikuasakan oleh enjin 198 cc satu silinder, 4 lejang, 4 injap dengan sistem penyejukan cecair, yang menghasilkan kuasa maksimum 14.5 kW pada 8,250 rpm dan tork maksimum 17.5 Nm pada 6,500 rpm, dengan nisbah mampatan 11.6:1. Enjin ini mempunyai ukuran piston dan lejang 65 × 59.9 mm, dipadankan bersama transmisi CVT serta sistem klac automatik bagi memastikan penghantaran kuasa yang lancar dan responsif.

Sistem suntikan bahan api elektronik (EFI), sistem pencucuhan ECU, pendikit mekanikal serta sistem penghidup elektrik memastikan prestasi enjin yang cekap dan konsisten. Tangki bahan api berkapasiti 11 liter pula menyokong perjalanan yang lebih jauh dengan lebih praktikal.

Bagi sistem suspensi, WMOTO GRIFFIN 205 dilengkapi dengan fork teleskopik di bahagian hadapan serta penyerap hentak berkembar di bahagian belakang, menawarkan keseimbangan antara keselesaan dan kestabilan ketika menunggang di pelbagai keadaan jalan.

Prestasi membrek dikendalikan oleh cakera brek tunggal di bahagian hadapan dan belakang, yang dipertingkatkan dengan Sistem Brek Anti Kunci (ABS) dwi saluran, sekali gus memberikan keyakinan serta tahap keselamatan yang lebih tinggi ketika membrek.

WMOTO GRIFFIN 205 menggunakan tayar bersaiz 100/80-14 di hadapan dan 120/70-14 di belakang. Skuter ini mempunyai dimensi keseluruhan 1,970 mm panjang, 700 mm lebar dan 1,350 mm tinggi, dengan jarak roda 1,350 mm, ketinggian tempat duduk 790 mm, kelegaan bumi 100 mm, berat kering 126 kg serta mampu menampung berat maksimum sehingga 276 kg, menjadikannya sesuai untuk kegunaan harian dan perjalanan yang lebih selesa.

Dari segi kelengkapan, WMOTO GRIFFIN 205 dilengkapi dengan paparan meter TFT, port pengecas USB Type-A dan Type-C, suis keselamatan tongkat sisi serta suis kawalan pada bahagian kiri hendal yang memudahkan pengendalian.

Sistem pencahayaan menggunakan LED sepenuhnya, merangkumi lampu hadapan, lampu belakang, lampu isyarat dan lampu kecemasan. Turut disediakan ialah butang isyarat kecemasan (Emergency Signal Button) bagi meningkatkan tahap keselamatan ketika menghadapi situasi kecemasan.

Bagi meningkatkan pengalaman tunggangan, WMOTO GRIFFIN 205 turut dilengkapi dengan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) yang boleh dinyahaktifkan, kamera hadapan yang menyokong aplikasi pihak ketiga Road Cam, serta kesambungan aplikasi Carbit Ride yang tersedia untuk peranti Android dan iOS.

Selain itu, model ini turut menawarkan ruang simpanan hadapan di sebelah kiri, bateri gel 12V 8Ah, winglet, ekzos sporty, penapis minyak jenis oil strainer serta Body Stabilizer, yang menyumbang kepada kestabilan, keselesaan dan penampilan yang lebih dinamik.

Dengan gabungan prestasi enjin yang responsif, reka bentuk crossover moden, ciri keselamatan terkini serta pelbagai teknologi dan kelengkapan praktikal, WMOTO GRIFFIN 205 menawarkan sebuah skuter yang lengkap bagi memenuhi keperluan penunggang Malaysia untuk kegunaan harian mahupun tunggangan santai.

Dengan setiap pembelian mana-mana model WMOTO GRIFFIN 205, para pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *