KUALA LUMPUR: Mengetengahkan pendekatan ‘Horror of truth’, filem genre seram Thriller Bisikan adalah kisah yang akan membawa penonton menyelami ketakutan, misteri dan rahsia tersembunyi di sebalik sebuah keluarga.
Filem terbitan D’Alpha Legacy Production ini juga tampil dengan kelainan kerana memaparkan cerita lebih dari satu lapisan atau ‘double horror’ iaitu elemen mistik dan ‘horror of truth’ untuk menarik penonton ke pawagam.
Karya arahan Opie Zami ini menampilkan gandingan hebat barisan pelakon popular tanah air iaitu Iman Zulkarnain, Azhan Rani, Vanida Imran, Fatin Afeefa, Altimet dan Puteri Rayyana.
Penerbit filem ini, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor berkata, filem Bisikan akan mengajak penonton meneroka persoalan mengenai ketakutan dalam diri manusia.
“Adakah kita takut kerana sesuatu itu benar-benar wujud atau kerana kita tidak memahami apa yang sedang berlaku?
“Saya percaya ‘Double horror’ adalah elemen yang belum pernah lagi di tampilkan dalam mana-mana filem di Malaysia. Menerusi elemen itu, penonton akan dapat melihat dan merasai kesakitannya selepas 30 minit pertama filem ini.
“Pada masa sama, filem ini turut membawa elemen hubungan kekeluargaan, kasih sayang, kehilangan dan ketakutan manusia terhadap perkara yang tidak mampu mereka kawal,” katanya.
Ditanya idea untuk menerbitkan filem yang membabitkan kos sebanyak RM1. 5 juta itu, kata Nur A’minahtul Mardiah yang juga peguam dan pempengaruh terkenal itu, dia juga sudah lama mahu menghasilkan filem berdasarkan Inspirasi dari kisah benar berkenaan.
Sebagai bekas Timbalan Pendakwa Raya dan Majistret, kata Nur A’minahtul Mardiah, dia banyak berdepan dengan pelbagai kisah kehidupan manusia.
“Ada kisah yang menyedihkan dan ada yang sukar diterima akal hingga membuatkan saya tertanya-tanya, bagaimana seseorang boleh melalui perkara sedemikian dalam kehidupannya. Ada juga yang buat saya nak tahu lebih mendalam kenapa jenayah itu berlaku?
“Setiap manusia juga mempunyai luka dalam kehidupan masing-masing. Ada luka yang kita tunjukkan kepada orang lain dan ada luka yang kita simpan bertahun-tahun yang mungkin kita tidak sedar ia masih mempengaruhi kehidupan kita. Sebab itulah kami membawa ungkapan “Luka Yang Berbisik” sebagai sebahagian daripada identiti filem ini,” katanya.
Bersandarkan pengalaman itu, kata Nur A’minahtul Mardiah, dia mula sedar bahawa ketakutan manusia bukan hanya datang daripada perkara mistik atau sesuatu yang kita tidak nampak tetapi kadang-kala, realiti kehidupan itu sendiri jauh lebih menakutkan.
“Saya mula terfikir, bagaimana kalau kita menghasilkan sebuah filem seram yang bukan sekadar membuatkan orang takut, tetapi turut berfikir. Bagi saya, filem ini ialah tentang manusia, ketakutan dan perkara yang mungkin tidak pernah kita fahami sepenuhnya,” katanya.
Berkongsi cabaran menghasilkan filem pertamanya yang tertangguh selama enam tahun itu, kata Nur A’minahtul Mardiah, dia berasa sebak bila mengenangkan ujian dan pengorbanan yang dilalui sebelum ini.
Katanya, semuanya bermula apabila pandemik COVID-19 melanda dan industri perfileman turut terjejas.
“Perancangan yang sudah dibuat terpaksa ditangguhkan dan banyak perkara tidak berjalan seperti yang diharapkan.
“Apabila keadaan kembali pulih, saya berdepan cabaran yang lebih besar iaitu aset imej janaan komputer (CGI) untuk filem ini mempunyai masalah dan kami kehabisan dana untuk meneruskan proses pasca produksi. Mungkin orang tidak tahu filem ini membabitkan 80 peratus elemen CGI,”katanya.
Kata Nur A’minahtul Mardiah lagi, penggambaran filem Bisikan membabitkan lokasi sebuah rumah di Kuantan dan berjaya disiapkan pada 9 Ogos 2020.
“Bayangkan, kerja penggambaran filem sudah selesai tetapi kita tidak mampu menyiapkannya untuk tayangan. Belum lagi, insiden tentang penipuan wang berlaku.
“Kos penerbitan filem ini mencecah RM1.5 juta dan ketika filem Bisikan hampir ‘lumpuh’, pihak kami menerima dana pasca penerbitan sebanyak RM300,000 dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
“Tapi, disebabkan kelewatan menyiapkan filem, pihak kami berdepan tindakan saman daripada pelabur dan kes itu baru sahaja selesai pada Jun 2026.
“Saya tetap perlu menanggung bayaran walaupun kekangan yang menyebabkan filem ini tidak dapat disiapkan bukan berpunca daripada saya,” katanya.
Bagaimanapun, kata Nur A’minahtul Mardiah lagi, dia tidak mahu menuding jari kepada sesiapa pun mengenai ujian getir yang dilaluinya sepanjang tempoh menyiapkan filem berkenaan.
“Saya banyak menangis pada waktu malam kerana memikirkan bagaimana mahu menyelesaikan semua masalah ini.
“Justeru, pada Mac 2025, saya ke Tanah Suci Makkah. Saya berdoa depan Kaabah dan minta Allah SWT jauhkan saya dari semua orang yang nak ambil kesempatan atas kesusahan dalam menyiapkan filem Bisikan dan temukan saya dengan orang-orang baik yang dapat bersama saya dalam perjuangan ini dan Alhamdulillah, Allah tunaikan,” katanya yang pernah menerbitkan filem genre thriller Eva, Supertele Kelaster dan Korsakoff (Astro First), Frontliner untuk saluran Netflix.
Filem Bisikan bakal ditayangkan di 70 pawagam seluruh Malaysia bermula 19 November ini.
Sementara itu, poster rasmi filem Bisikan sudah dimuat naik di semua platform media sosial dalphamovie pada 7 Oktober, manakala, trailer rasmi pula pada 14 Oktober.
Selain membuat penampilan khas dalam filem ini, Altimet turut menyampaikan lagu runut bunyi rasmi filem Bisikan berjudul Hujan berduet bersama penyanyi Mimi Fly.
