Keputusan separuh akhir pertama telah meletakkan Achey (Harun Salim Bachik) sebagai juara mingguan dengan markah tertinggi sebanyak 67.4 dan diikuti oleh Bowl (Afdlin Shauki) 63.6 markah, Titan (Sabri Yunus) 63.0 markah, Bocik (Afdlin Shauki) 56.3 markah dan Tapaw (Faizal Ismail) 54.7 markah. Manakala Ajo anak didik kepada Faizal Ismail terpaksa meninggalkan pentas BMB apabila meraih markah terendah sebanyak 53.0 markah.
Bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada setiap hari Ahad jam 9.00 hingga 10.30 malam, BMB membariskan 6 Sifu yang bukan calang-calang orangnya dalam industri hiburan iaitu Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik, Senario, Sabri Yunus, Raja Azura dan Faizal Ismail untuk mengetengahkan bakat baru dalam bidang sketsa komedi dan nyanyian.
Untuk konsert mingguan, para anak didik BMB perlu mempersembahkan sebuah sketsa komedi bebas selama 3 minit dan sebuah lagu selama 2 minit untuk meraih markah daripada juri profesional dan juri awam serta undian SMS daripada para penonton.
Tirai pusingan separuh akhir pertama ini dimulakan dengan anak didik Afdlin Shauki, BOCIK dengan persembahan mereka menerusi rangkaian lagu Terima Kasih (Wings) dan Beribu Tahniah (Dheephan Chakkravarthy). Seterusnya, pentas BMB dihangatkan lagi dengan persembahan AJO, anak didik Faizal Ismail yang tampil dengan sketsa komedi dan lagu Sahabat (Najwa Latif), Give Me The Ugh (K Town Clan), dan Pilihlah Aku (Latif Ibrahim).
Selesai persembahan AJO, TITAN iaitu anak didik kepada Sifu Sabri Yunus menyusul dengan lagu Dia Datang (Fadzil Ahmad), Langgam Pak Dogo (M Nasir) dan Asmara (Gerhana Ska Cinta) sebagai konsep sketsa mereka, manakala BOWL (Afdlin Shauki) pula tampil dengan persembahan sketsa menerusi lagu Mentera Semerah Padi (M.Nasir) dan Si Manis 17 (Ahmad Daud).
Bahang separuh akhir diteruskan lagi dengan giliran TAPAW (Faizal Ismail) yang memilih lagu Demi Waktu (Ungu), Aku Maafkan Kamu (Jamal Abdillah) dan Maafkan Kami (P Ramlee) untuk persembahan mereka. Sebelum mengakhiri saingan minggu ini, anak didik Harun Salim Bachik, ACHEY menggamatkan lagi suasana gelangang BMB dengan aksi komedinya serta menyanyikan lagu Taman Rashidah Utama (Wings) dalam versi dangdut, jazz, rock, dan rap.
Sebelum pengumuman keputusan konsert, suasana dalam studio bakal diredakan dengan persembahan istimewa daripada juri jemputan yang menilai aspek nyanyian minggu ini iaitu Aizat menerusi lagu Denganmu.
Dalam program BMB, setiap Sifu akan mempunyai dua anak didik yang bertanding dalam Kumpulan A dan Kumpulan B. Anak didik akan bersaing selama 4 minggu dalam pusingan pertama mengikut kumpulan masing-masing. 3 anak didik yang mendapat markah terendah dari setiap kumpulan akan disingkirkan. 6 anak didik yang berjaya ke pusingan seterusnya kemudian akan berentap di pusingan kedua, separuh akhir dan konsert akhir untuk merangkul gelaran juara serta membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM200,000.
Menurut Penerbit Eksekutif Bintang Mencari Bintang, Muhamad Sufian Isa, “Memasuki peringkat separuh akhir pertama, keenam-enam anak didik dilihat memberikan persaingan yang cukup hebat bagi meletakkan kedudukan masing-masing supaya menjadi yang terbaik. Kami rasa bangga dengan prestasi dan tahap keyakinan tinggi yang terdapat dalam setiap anak didik. Saya ingin tegaskan di sini bahawa para anak didik jangan sesekali rasa leka kerana persaingan semakin sengit dan hanya yang terbaik akan terus kekal dalam gelanggang BMB sehingga ke peringkat akhir. Selain itu, saya juga gembira dengan komen-komen juri yang saya anggap sesuatu yang membina. Mudah-mudahan para anak didik akan jadikan komen-komen juri itu sebagai panduan untuk memperbaiki kelemahan mereka.”
Sepanjang 15 episod, BMB menampilkan Adibah Noor sebagai pengacara program. Selain itu, BMB turut menampilkan nama besar di dalam industri tanah air, ikon yang cukup berpengalaman dan sememangnya ‘otai’ di dalam bidang hiburan iaitu Fauziah Ahmad Daud dan A.R. Badul sebagai juri tetap untuk program ini.
Untuk musim pertama ini, format permarkahan dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu 50% daripada juri profesional, 30% melalui undian SMS dan 20% daripada juri awam yang terdiri dari kalangan pelajar seni persembahan, wartawan, golongan semi-profesional dalam industri sketsa komedi dan nyanyian. Buat penonton dan peminat setia Bintang Mencari Bintang bolehlah menghantar undian SMS dengan menaip BMB <JARAK> Nama Kumpulan dan hantar ke 33399 atau undian secara pukal, BMB5 <JARAK> Nama Kumpulan dan hantar ke 33399. Undian SMS akan bermula jam 5.00 petang setiap hari Ahad dan akan ditutup selepas tamat persembahan konsert. Di samping itu, penonton turut boleh menilai persembahan anak didik BMB semasa persembahan konsert berlangsung menerusi ‘Skala Bintang’ yang boleh didapati di www.tv3.com.my/bintang. Kemudian gerakkan skala bintang untuk mengundi persembahan anak didik. Keputusan penilaian ‘Skala Bintang’ akan muncul di kaca televisyen semasa konsert BMB bersiaran secara langsung.
Sementara itu, penonton berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat kesemua anak didik BMB menerusi KOMIK BMB yang disiarkan selama 30 minit pada setiap hari Ahad jam 5.00 petang. Program yang dihoskan oleh pelakon Taiyuddin Bakar atau lebih mesra dengan panggilan Tai ini juga akan membawa penonton melihat gelagat anak didik serta perkara-perkara yang bakal terjadi ketika mereka menghadiri kelas latihan dan juga perkara-perkara yang berlaku semasa mereka membuat persiapan untuk berentap di pentas BMB. Selain itu, penonton juga boleh mengikuti perkembangan para anak didik BMB menerusi program 2 minit, BLOG BMB setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 10.00 pagi dan 1.30 pagi.
Ikuti program BMB yang diterajui oleh Penerbit Eksekutif, Muhamad Sufian Isa pada setiap hari Ahad jam 9.00 hingga 10.30 malam. Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini tentang BMB, penonton boleh melayari laman sesawang rasmi BMB di www.tv3.com.my/bintang serta laman sosial Facebook & Twitter TV3Malaysia. Pengguna laman sosial Twitter boleh menggunakan ‘hash tag’ (#BintangTV3) untuk menghangatkan lagi bahang BMB!
-Tamat-