(SEMASA) WMOTO EZ125i: SKUTER KOMPAK DENGAN CIRI MODEN UNTUK KEGUNAAN HARIAN.

Spread the love

KUALA LUMPUR, 30 SEPTEMBER 2025 – WMOTO memperkenalkan sebuah skuter urban mampu milik iaitu WMOTO EZ125i yang dilancarkan di Courtyard oleh Marriott Kuala Lumpur South dalam meraikan Mforce Mid-Autumn Gala. WMOTO EZ125i merupakan sebuah skuter serba guna yang direka untuk memberi keselesaan, praktikaliti dan gaya kepada penunggang harian moden.

Ditawarkan pada harga RM4,588.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), WMOTO EZ125i hadir dalam empat pilihan warna menarik iaitu Silver Grey, Grey, Red dan Deep Sky Blue. Model ini kini boleh didapati melalui pengedar sah Mforce di seluruh Malaysia.

Dikuasakan oleh enjin 124cc, silinder tunggal, 4-lejang, berorientasi melintang dengan sistem penyejukan udara, ia menghasilkan kuasa maksimum 8.8kW pada 7,500rpm dan tork maksimum 9.5Nm pada 6,000rpm. Dengan nisbah mampatan 9.5:1 serta saiz piston dan lejang 52.4mm x 55.1mm, enjin ini menggunakan sistem suntikan bahan api ECU serta dilengkapi sistem penghidupan elektrik dan penendang (kick starter) untuk kemudahan tambahan.

Sistem transmisi jenis automatik CVT dengan pacuan akhir tali sawat menjadikan skuter ini lebih mudah dikendalikan, manakala sistem pelinciran tekanan dan percikan memastikan prestasi enjin yang lebih tahan lama.

Dari aspek dimensi, WMOTO EZ125i berukuran 1,890mm panjang, 670mm lebar dan 1,000mm tinggi dengan jarak roda 1,250mm. Ketinggian tempat duduk ialah 760mm, jarak kelegaan tanah 110mm dan berat kering hanyalah 95kg, menjadikannya sesuai untuk pelbagai lapisan pengguna. Kapasiti tangki bahan api ialah 6.5 liter, cukup untuk perjalanan harian dalam bandar.

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di bahagian hadapan dan penyerap hentak berkembar di bahagian belakang, menawarkan keseimbangan dan keselesaan semasa tunggangan. Untuk sistem membrek, ia dilengkapi dengan brek cakera di bahagian hadapan serta brek dram di bahagian belakang, dipadankan dengan tayar 70/90-14 di hadapan dan 80/90-14 di belakang.

Dari segi teknologi dan ciri tambahan, WMOTO EZ125i menampilkan paparan meter digital penuh LED, lampu utama, belakang, isyarat dan lampu kecemasan jenis LED, port pengecasan USB Type-A, sistem kunci mekanikal, lampu penuh LED, ruang simpanan hadapan kiri dan kanan, serta ruang simpanan di bawah tempat duduk. Model ini turut hadir dengan cangkuk barang dan pelipat kaki tersembunyi yang meningkatkan praktikaliti harian. Kuasa elektrik disokong oleh bateri 12V6Ah/10h.

Dengan setiap pembelian mana-mana model WMOTO EZ125i, para pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000km (yang mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *