KUALA LUMPUR, 30 SEPTEMBER 2025 – WMOTO dengan rasminya melancarkan WMOTO Cruiser AMT 125 bersempena Mforce Mid-Autumn Gala yang berlangsung di Courtyard oleh Marriott Kuala Lumpur South. Model terbaharu ini menggabungkan gaya cruiser klasik dengan teknologi moden, khususnya sistem transmisi AMT (Automatic Manual Transmission) yang memberikan pengalaman tunggangan unik.
Ditawarkan pada harga RM5,988.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), model ini hadir dengan tiga pilihan warna menarik iaitu Green, Cream dan Black, kini boleh didapati di semua pengedar sah Mforce seluruh Malaysia.
Dari segi prestasi, WMOTO Cruiser AMT 125 dikuasakan oleh enjin 124cc, 1 silinder, 4-lejang, SOHC dengan sistem penyejukan udara. Enjin ini menghasilkan kuasa maksimum 5.8kW pada 8,000rpm dan tork puncak 8.8Nm pada 6,000rpm, dengan nisbah mampatan 9.5:1. Saiz piston dan lejang ialah 54mm × 54mm menjadikan enjin ini seimbang untuk kuasa dan kecekapan. Ia menggunakan sistem EFI (Electronic Fuel Injection) bersama sistem nyalaan T.C.I dan sistem penghidupan elektrik yang responsif.
Transmisi menggunakan sistem automatik dengan pacuan akhir rantai, digandingkan dengan klac emparan automatik jenis basah yang memberikan penukaran gear lebih lancar. Sistem pelinciran pula adalah jenis tekanan dan percikan bagi memastikan enjin lebih tahan lama.
Dari aspek dimensi, model ini berukuran 2,120mm panjang, 818mm lebar dan 1,130mm tinggi, dengan jarak roda 1,425mm serta jarak kelegaan tanah 160mm. Ketinggian tempat duduk hanya 680mm, menjadikannya sesuai untuk pelbagai ketinggian penunggang. Berat keseluruhan ialah 119kg, ringan dan mudah dikawal, manakala tangki bahan api adalah berkapasiti 6 liter.
Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik dengan jarak gerakan 130mm di hadapan dan penyerap hentak tunggal dengan jarak gerakan 30mm di belakang, memberikan tunggangan yang stabil dan selesa. Sistem membrek pula dilengkapi dengan cakera hadapan berdiameter 220mm dan cakera belakang 200mm untuk kuasa henti yang mantap.
Tayar hadapan bersaiz 80/90-17 M/C dan belakang 140/70-13 M/C, kedua-duanya dipadankan dengan rim sport aloi yang tahan lasak.
Bagi ciri moden, WMOTO Cruiser AMT 125 dilengkapi dengan sistem pencahayaan LED penuh (lampu utama, lampu belakang, lampu isyarat dan hazard), paparan meter analog digital, bateri 4A.h, serta sistem kunci mekanikal. Ia turut hadir dengan ekzos senyap (silent exhaust), pemijak kaki lipat untuk penumpang, serta rekaan tempat duduk ergonomik untuk keselesaan jarak jauh.
Dengan setiap pembelian mana-mana model WMOTO Cruiser AMT 125, para pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000km (yang mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.

