(SUKAN) TIGA JUARA BAHARU MENUTUP TIRAI MUSIM KE-8 VIOS CHALLENGE

Spread the love

Sepang, 13 Januari 2026 — Musim ke-8 Toyota GAZOO Racing Malaysia Vios Challenge melabuhkan tirainya dengan penuh dramatik apabila tiga juara keseluruhan baharu dimahkotakan, selepas dua hari perlumbaan yang sengit dan penuh persaingan di Litar Antarabangsa Petronas Sepang.

 

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K., berkata:

“Tahniah kepada semua juara baharu, para pemandu, pasukan serta pengedar yang terlibat dan memainkan peranan penting dalam menjadikan Vios Challenge sebagai salah satu siri perlumbaan satu-model paling kompetitif di Malaysia. Seperti musim-musim terdahulu, perebutan gelaran kejuaraan berlanjutan sehingga perlumbaan terakhir musim ini, membuktikan tahap persaingan tinggi yang menekankan kemahiran perlumbaan dan keupayaan pemandu manusia di sebalik jentera selari dengan aspirasi Toyota dalam pembangunan bakat, merangkumi pemandu dan tenaga teknikal, serta penggunaan sukan permotoran sebagai platform pembangunan yang berimpak.”

Super Sporting Class: Freddie Ang Akhirnya Bergelar Juara

Pertarungan paling sengit sepanjang dua hari terakhir perlumbaan hadir daripada Super Sporting Class, yang menyaksikan Freddie Ang dari Telagamas Toyota merangkul kejuaraan pertamanya selepas lapan musim bertanding.

“Kami telah mencuba selama lapan musim berturut-turut dan akhirnya berjaya memenangi kejuaraan yang begitu sukar dicapai ini. Ia mengambil masa, tetapi akhirnya kami berjaya. Terima kasih kepada Telagamas Toyota kerana terus mempercayai kami sepanjang tempoh ini tanpa sokongan mereka, kami tidak akan berada di sini hari ini,” kata Ang.

Ang membawa pulang RM80,000 wang kemenangan dan menamatkan musim dengan 163 mata, mendahului naib juara Mitchell Cheah dari Team Prima Pearl SP Selatan dengan kelebihan 13 mata, sekali gus menggagalkan usaha Cheah untuk mempertahankan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut.

Digelar “Mr Consistent”, Ang sebelum ini menamatkan musim di tempat ke-3 (2024), ke-7 (2023), ke-4 (2022), ke-4 (2021) dan ke-3 (2020).

Menjelang pusingan terakhir, Ang ketinggalan lapan mata di belakang Cheah. Selepas menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-5, Ang bermula di petak ke-2 untuk Perlumbaan 2 menerusi format grid terbalik lima kedudukan di hadapan Cheah. Kelebihan ini dimanfaatkan sepenuhnya apabila Ang memenangi Perlumbaan 2, manakala Cheah sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-8 dalam perlumbaan 30 minit di Litar Selatan Sepang sepanjang 2.609km.

Tempat ketiga keseluruhan Super Sporting Class menjadi milik Ady Rahimy dari Laser Motor Racing, yang memenangi Perlumbaan 1 dan menamatkan Perlumbaan 2 di tempat ke-10, dengan 119 mata keseluruhan.

Sporting Class: Jwan Hii Dominasi Musim

Dalam Sporting Class, kejuaraan menjadi milik bekas pelumba Rookie, Jwan Hii dari Hong Huat X Armada KK Racing. Hii memasuki pusingan terakhir dengan kelebihan besar 41 mata ke atas pencabar terdekatnya, Elson Lew (BAE Racing by ES Yang) dan Dato’ Dr Ken Foo (Kulim Topwheels).

Dua keputusan tempat ke-4 dalam Perlumbaan 1 dan 2 sudah memadai untuk mengesahkan kejuaraan dengan 167 mata, iaitu 47 mata di hadapan Ken Foo, manakala Lew menamatkan musim di tempat ketiga.

“Perjalanan ini amat mencabar terutamanya selepas berehat selama empat tahun selepas tamat Program Pembangunan Bakat Muda Toyota GAZOO Racing Malaysia. Saya tidak menjangkakan musim yang begitu kuat, dan saya amat bersyukur dengan keputusan yang dicapai,” kata Hii yang berusia 23 tahun.

Sebagai juara, Hii akan naik kelas ke Super Sporting Class pada musim hadapan.

Rookie Class: Justin Rahul Dev Muncul Juara

Dalam Rookie Class, Justin Rahul Dev berjaya mengatasi cabaran untuk dinobatkan sebagai Juara Rookie Musim 8. Empat pelumba berpeluang memenangi gelaran menjelang pusingan terakhir  Justin, Ian James, Aydan Khaliq dan Harkiesh Geeva.

“Sejak awal lagi saya tahu saya ada kelajuan dan keupayaan untuk bersaing merebut kejuaraan. Kini sasaran saya adalah untuk berpindah ke Sporting Class dan menjadikan perlumbaan sebagai projek jangka panjang,” kata Justin, pelumba simulator berusia 21 tahun.

Justin berharap untuk mendapat tempat dalam Sporting Class Musim 9, dengan fokus meningkatkan kecergasan, latihan di litar sebenar dan simulator, serta pembangunan kehadiran media sosial.

Tempat kedua Rookie Class dimenangi Ian James, diikuti Harkiesh Geeva, Aydan Khaliq, dan satu-satunya pelumba wanita, Genevieve Ooi.

Ikuti Toyota GAZOO Racing Malaysia

Ikuti semua aksi dan sorotan perlumbaan melalui saluran rasmi Toyota GAZOO Racing Malaysia:

  • Facebook: facebook.com/tgrmy
  • Instagram: instagram.com/tgrmalaysia
  • YouTube: youtube.com/@tgrmalaysia

Maklumat lanjut jadual perlumbaan dan kemas kini:
www.toyota.com.my/en/tgrmalaysia

JUARA KESELURUHAN VIOS CHALLENGE MUSIM 8 (2025)

SUPER SPORTING

  1. Freddie Ang – Telagamas Toyota
  2. Mitchell Cheah – Team Prima Pearl SP Selatan
  3. Ady Rahimy – Laser Motor Racing

SPORTING

  1. Jwan Hii – Hong Huat X Armada KK Racing
  2. Dato’ Dr Ken Foo – Kulim Topwheels
  3. Elson Lew – BAE Racing by ES Yang

ROOKIE

  1. Justin Rahul Dev
  2. Ian James
  3. Harkiesh Geeva


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *