PULAU PINANG, 17 MAC 2026 – QJMOTOR Malaysia, menerusi pengedar rasminya Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd., hari ini mengumumkan pelaksanaan program panggil semula penggantian komponen muffler bagi unit terpilih motosikal QJMOTOR AX200S.
Merujuk kepada pengumuman terdahulu oleh pihak Mforce berhubung perkara ini, proses penggantian kini telah dimulakan setelah bekalan komponen muffler diterima daripada pihak prinsipal.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan syarikat dalam menjamin kualiti produk, kebolehpercayaan serta kepuasan pelanggan yang optimum.
Program ini dilaksanakan berikutan pengenalpastian kemungkinan berlakunya keretakan pada komponen muffler assembly pada beberapa unit QJMOTOR AX200S. Sebagai langkah proaktif, Mforce telah memperkenalkan muffler yang telah dipertingkatkan bagi memastikan ketahanan dan prestasi yang lebih baik dalam jangka masa panjang.
Pemilik motosikal QJMOTOR AX200S yang terlibat dinasihatkan untuk segera menghubungi atau mengunjungi pengedar sah di mana pembelian asal dibuat bagi mengatur proses penggantian. Pelanggan juga boleh melakukan semakan status penglibatan unit mereka melalui portal rasmi di:
https://productrecall.mforceservice.my/
Proses penggantian muffler ini akan dilakukan secara percuma, termasuk kos alat ganti dan upah kerja.
Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. menegaskan bahawa inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha penambahbaikan kualiti secara proaktif, selaras dengan komitmen syarikat untuk memastikan tahap keselamatan, kebolehpercayaan serta sokongan selepas jualan yang terbaik kepada para pelanggan.
Selain itu, dimaklumkan bahawa semua unit pengeluaran baharu bagi model QJMOTOR AX200S bermula bulan ini telah dilengkapi dengan muffler yang telah dipertingkatkan, sekali gus memastikan penambahbaikan tersebut telah dilaksanakan pada unit pengeluaran terkini.
QJMOTOR Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kepercayaan dan sokongan berterusan daripada para pelanggan serta rangkaian pengedar dan akan terus komited dalam menawarkan motosikal berkualiti tinggi berserta perkhidmatan selepas jualan yang boleh dipercayai.
Untuk maklumat lanjut mengenai program penggantian ini, pelanggan disarankan untuk menghubungi kedai motosikal tempat motosikal tersebut dibeli atau melayari laman semakan rasmi yang dinyatakan di atas.
