Lebih 200 artis dan penggiat muzik dijangka akan menghadiri sebuah Konvensyen Penggiat Muzik pada 21 Jun ini di Restoran Saloma di Jalan Ampang Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh Persatuan Karyawan Malaysia.
Konvensyen ini bertujuan memberi platform kepada penggiat muzik untuk menyuarakan pandangan serta mendapatkan penjelasan tentang pelbagai isu yang masih kabur dan mengelirukankan dalam industri ini. “Sudah pasti antara topik utama yang akan dibincangkan ialah hakcipta dan royalti. Isu royalti telah lama membelenggu golongan artis sehingga ramai yang berputus asa dan tidak lagi mahu memikirkannya.”
“Kami akan mendedahkan tindakan pihak-pihak tertentu yang telah cuba menafikan hak penggiat muzik dalam soal royalti. Walaupun dijanji sama rata pada tahun 2001 semakan kami menunjukkan kutipan jauh berbeza antara syarikat rakaman dan artis. Kami dapati bahawa dari hampir RM 700 juta yang di kutip oleh syarikat rakaman selama 15 tahun dari 2002 sehingga 2017 hanya RM 20 juta dibayar kepada badan artis” kata Datuk Freddie Fernandez, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia.
“Antara topik lain yang dijangka akan hangat dibincangkan ialah kecerdasan buatan (AI) dan impaknya terhadap industri muzik, geran dan penganjuran konsert, perkembangan terkini dalam bidang pendidikan muzik, serta peranan media sosial dalam pemasaran muzik digital masakini.”
“Kami telah mengenal pasti pakar-pakar dalam bidang masing-masing untuk dilantik sebagai ahli panel bagi mendidik peserta serta menjawab soalan-soalan mereka, terutamanya daripada generasi muda yang selama ini tidak berpeluang mendapatkan penjelasan tentang perkara-perkara berkaitan dengan kerjaya sebagai artis, pemuzik atau composer” kata Freddie.
“Harapan kami adalah untuk menimbulkan beberapa resolusi terhadap langkahlangkah yang perlu diambil oleh kerajaan, yang kami akan serahkan dalam bentuk memorandum kepada YAB Perdana Menteri selepas Konvensyen ini. Kami sedar bahawa Perdana Menteri amat prihatin terhadap nasib artis dan penggiat muzik tempatan, dan dengan sokongan beliau, harapan kami ialah industri muzik akan terus berkembang maju demi menjamin masa depan yang lebih cerah bagi semua penggiat muzik.”
Freddie memberi penghargaan kepada pengurusan Restoran Saloma Kuala Lumpur kerana membantu menaja tempat dan makanan untuk mereka yang hadir.
“Pihak Saloma KL sememangnya telah banyak membantu artis-artis yang kurang bernasib baik setiap tahun, dan menjadi rakan setia kami dalam menjaga kebajikan artis. Kini mereka memberikan sokongan pula dalam menjayakan konvensyen yang begitu penting ini bagi menentukan masa depan penggiat muzik yang lebih terjamin. Terima kasih, Saloma KL.”
“Industri muzik tidak lagi seperti dahulu di mana terdapat banyak peluang untuk penggiat muzik membina kerjaya dalam bidang muzik. Kini peluang pekerjaan semakin tipis dan ramai yang terpaksa menjadi penghibur jalanan semata-mata untuk mencari rezeki. Justeru, konvensyen ini sungguh tepat pada masanya,” ujar beliau.
Untuk megesahkan kehadiran sila hantar Whatsapp ke 0340317666 atau QR code yang boleh didapati di www.karyawan.my
