(HIBURAN) Metal Queens Menyerang Kl! Lovebites Akhirnya Bawa ‘Amukan’ Pertama Ke Malaysia

Spread the love

Selepas hampir sedekad membina nama sebagai antara kumpulan heavy metal wanita paling berpengaruh di dunia, akhirnya impian peminat tempatan untuk menyaksikan Lovebites beraksi secara langsung bakal menjadi kenyataan.

Kumpulan sensasi dari Tokyo, Jepun itu disahkan akan mengadakan konsert sulung mereka di Malaysia menerusi Lovebites: Outstanding Tour Live In Kuala Lumpur yang dijadual berlangsung pada 4 Oktober depan di Zepp Kuala Lumpur.

Pengumuman yang dibuat oleh Rockstage Entertainment itu serta-merta mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat muzik metal tempatan yang selama ini hanya mampu mengikuti perjalanan karier kumpulan tersebut menerusi album, video persembahan langsung dan siri jelajah antarabangsa mereka.

Ditubuhkan pada 2016, Lovebites pantas mencipta fenomena tersendiri menerusi gabungan muzik power metal, speed metal dan melodic metal yang sarat dengan kemahiran teknikal bertaraf dunia.

Dibarisi Asami (vokal), Midori (gitar), Miyako (gitar dan keyboard), Fami (bass) serta Haruna (dram), mereka bukan sekadar sebuah kumpulan wanita biasa, sebaliknya dikenali sebagai pemuzik virtuoso yang berjaya memecahkan stereotaip dalam dunia heavy metal yang lazimnya didominasi lelaki.

Lebih membanggakan, Lovebites pernah merangkul anugerah “Best New Band” di Metal Hammer Golden Gods Awards di United Kingdom selain menggegarkan pentas festival metal terbesar dunia seperti Wacken Open Air, Download Festival dan Graspop Metal Meeting.

Menurut Talib Othman, Pengarah Rockstage Entertainment kehadiran Lovebites ke Malaysia merupakan antara projek yang telah lama dirancang selepas melihat permintaan tinggi daripada peminat metal tempatan.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami menerima banyak permintaan daripada peminat untuk membawa Lovebites ke Malaysia. Mereka bukan sekadar sebuah kumpulan metal wanita, tetapi sebuah fenomena global yang memiliki peminat setia di seluruh dunia,” ujarnya.

“Kami percaya konsert ini akan menjadi antara acara metal paling istimewa tahun ini kerana ia menandakan penampilan pertama mereka di Malaysia. Sudah tentu kami mahu memberikan pengalaman yang setanding dengan persembahan mereka di Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau berkata, pihak penganjur juga sedang merancang sebuah produksi berskala penuh yang mampu memberikan pengalaman audio dan visual terbaik kepada penonton.

“Lovebites terkenal dengan ketepatan muzik, kualiti persembahan serta tenaga luar biasa di atas pentas. Justeru, kami akan memastikan setiap aspek produksi termasuk sistem bunyi, pencahayaan dan pengalaman penonton berada pada tahap terbaik.”

Dalam masa sama, beliau menyifatkan konsert tersebut sebagai bukti bahawa Malaysia kini semakin mendapat perhatian penganjur antarabangsa sebagai destinasi penting bagi jelajah artis rock dan metal dunia.

“Komuniti metal di Malaysia sangat besar dan sentiasa memberikan sokongan luar biasa. Kehadiran Lovebites membuktikan negara kita semakin diiktiraf sebagai pasaran penting untuk artis-artis antarabangsa dalam genre ini,” katanya.

Sepanjang karier mereka, Lovebites menghasilkan beberapa album yang mendapat pujian pengkritik termasuk Awakening From Abyss, Electric Pentagram, Judgement Day dan Lovebites EP II, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara nama terbesar dalam arena metal moden.

Berdasarkan persembahan terkini mereka di luar negara, peminat boleh mengharapkan deretan lagu kegemaran seperti Holy War, When Destinies Align, The Hammer of Wrath, Shadowmaker, Judgement Day dan We The United yang sering menjadi kemuncak setiap konsert.

Dengan gabungan kemahiran muzik luar biasa, tenaga persembahan yang tidak pernah surut serta status mereka sebagai antara kumpulan metal wanita paling berjaya di dunia ketika ini, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa 4 Oktober depan bakal menjadi malam bersejarah yang akan terpahat dalam memori peminat metal Malaysia untuk tempoh yang sangat lama.

Tiket konsert Lovebites: Outstanding Tour Live In Kuala Lumpur boleh didapati menerusi MyTicket Empire.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *