(HIBURAN) D’MASIV SEDIA BERTEMU PEMINAT DI KUALA LUMPUR MENERUSI JELAJAH “ASIA HOME RUN”

Spread the love

Kuala Lumpur: Selepas siri jelajah di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun, kumpulan popular dari seberang, D’Masiv kini sedia bertemu peminat di negara Asia termasuk Taiwan, Hong Kong dan Singapura menerusi jelajah ‘D’MASIV Asia Home Run’.

Buat peminat di Malaysia, Kuala Lumpur juga dipilih sebagai destinasi terakhir sebelum kumpulan D’Masiv melabuhkan tirai jelajah di Jakarta.

Sempena jelajah di Kuala Lumpur yang dibawakan penganjur Neptunes Presents, kumpulan D’Masiv bakal menggegarkan pentas di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada jam 8 malam, 20 November 2026.

Vokalis D’Masiv, Rian Ekky Pradipta berkata, ‘D’MASIV Asia Home Run’ bukan sekadar siri konsert sebaliknya mengeratkan semula hubungan kumpulan itu dengan peminat di luar negara sekali gus membawa semangat yang membentuk perjalanan muzik mereka sejak awal lagi.

“Setiap perjalanan D’Masiv bermula di Indonesia, khususnya di Ciledug dan di situlah semangat yang kami ingin bawa ke ‘Asia Home Run.’

“Kami datang lagi untuk bertemu peminat di pelbagai negara dengan membawa kehangatan muzik serta tenaga yang menjadi nadi perjalanan kami.

“Kami berharap semasa konsert berlangsung, penonton akan dapat merasai keakraban, seolah-olah mereka sedang menikmati persembahan dalam keselesaan seperti di kediaman sendiri,” katanya.

Kumpulan pop rock sensasi yang ditubuhkan pada 2003 ini dianggotai oleh Rian Ekky Pradipta selaku vokalis, Dwiki Aditya Marsall (gitar), Nurul Damar Ramadan (gitar), Rayyi Kurniawan, Iskandar Dinata (bass) dan Wahyu Piadji (dram).

Berkongsi pemilihan Kuala Lumpur pula, kata Pengarah Projek, Neptunes Presents, Shamsir Firdaus Shariman, Malaysia sentiasa berkongsi ikatan istimewa dengan D’Masiv yang menganggapnya sebagai rumah kedua mereka.

“Layanan mesra penonton, tenaga yang dirasai serta pelbagai kejutan sentiasa membuatkan D’Masiv merindui pengalaman unik dan suasana seperti di rumah yang begitu mereka hargai.

“Memandangkan D’Masiv mempunyai kelompok peminat yang sangat besar di Malaysia, lokasi di Mega Star Arena dipilih kerana kapasitinya yang lebih besar.

“D’Masiv juga akan mempersembahkan rangkaian lagu hits kumpulan itu sehinggalah karya terbaharu untuk dinyanyikan bersama peminat nanti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah RANS Entertainment, Nagita Slavina pula menyifatkan siri jelajah itu sebagai usaha untuk memberikan pengalaman konsert yang lebih peribadi sambil meluaskan jangkauan muzik kumpulan D’Masiv.

“Melalui ‘D’MASIV Asia Home Run,’ kami berhasrat untuk mempersembahkan pengalaman konsert yang mencerminkan era baharu D’Masiv.

“Penonton akan menikmati persembahan mengasyikkan selama kira-kira dua jam yang menggabungkan lagu-lagu baharu kumpulan itu bersama rangkaian lagu popular seperti Pergilah Kasih, Jangan Menyerah, Cinta Ini Membunuhku yang mencorakkan perjalanan muzik mereka serta disokong oleh konsep visual yang menonjolkan semangat Indonesia dan kisah akar umbi mereka.

“Jelajah ini juga menjadi peluang untuk mereka berhubung semula dengan peminat di pelbagai negara selepas sekian lama dengan menawarkan pengalaman yang benar-benar istimewa melalui tawaran eksklusif,” katanya.

Bagi konsert di Kuala Lumpur, tiket ‘Early Bird’ tersedia secara eksklusif untuk mereka yang melengkapkan pra-pendaftaran, manakala tiket pra-jualan akan mula dijual pada 8 September 2026, jam 10 pagi melalui laman web rasmi, dmasivtour.com.

Kategori tiket pra-jualan termasuk Festival (Berdiri) pada harga RM188 dan Super VIP (RM588) yang menawarkan pakej menyeluruh seperti tempat duduk premium (sofa), laluan masuk pentas, sesi bergambar, barangan eksklusif, poster bertandatangan, tiket koleksi edisi terhad serta makanan ringan dan minuman.

Manakala, kategori Diamond pada harga RM288, Platinum (RM148) dan Gold (RM108).

Sepanjang tempoh pra-jualan, tawaran tambahan turut disediakan iaitu pakej poster bertandatangan dan sesi bergambar pada harga RM100 dan Tiket Koleksi Edisi Terhad pada harga RM10.

Maklumat lanjut mengenai jelajah ini boleh didapati di akaun Instagram (IG) rasmi penganjur.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *