(SEMASA) PROTON MEMPERLUAS RANGKAIAN S70 DENGAN ANGGARAN HARGA DI BAWAH RM60,000

Spread the love

SUBANG JAYA, 7 September 2026 – PROTON hari ini mengumumkan rangkaian PROTON S70 yang diperluaskan, menjadikan sedan terkemuka dalam kelasnya ini lebih mudah diakses berbanding sebelum ini menerusi penambahan dua varian baharu yang dikuasakan oleh enjin i-GT 1.5 liter aspirasi semula jadi. Dipadankan dengan transmisi boleh ubah berterusan (CVT), pilihan sistem pacuan baharu ini membolehkan sedan segmen-C terlaris PROTON berada pada kedudukan harga yang dianggarkan di bawah RM60,000, sekali gus meluaskan tarikannya kepada lebih ramai bakal pembeli. Tempahan dibuka mulai hari ini, 7 September di semua cawangan sah PROTON di seluruh negara.

Direka untuk pelanggan yang mengutamakan keselesaan, praktikaliti dan kemudahan pemanduan harian pada harga mampu milik, model-model baharu ini menawarkan pengalaman pemanduan yang lancar dan santai, di samping menggabungkan ruang kabin yang luas, keselesaan yang diperhalusi, ketersambungan pintar serta keselamatan menyeluruh, dengan rangkaian ciri yang kukuh untuk dinikmati oleh semua pelanggan.

Pengenalan varian baharu ini memperluaskan rangkaian PROTON S70 serta meneruskan momentum kukuh model tersebut dalam pasaran, yang telah mencatatkan purata jualan bulanan melebihi 2,500 unit pada tahun 2026.

“PROTON S70 sentiasa menawarkan rakyat Malaysia pengalaman pemanduan yang lebih tinggi tarafnya menerusi ruang, keselesaan dan ciri-ciri yang mereka hargai dalam pemanduan harian. Pengenalan varian baharu ini memperluaskan tawaran tersebut kepada pelanggan yang mencari sedan mampu milik tetapi lengkap dengan ciri-ciri, serta menawarkan ruang kabin yang luas dan pengalaman pemanduan yang selesa. Pada masa yang sama, kami memastikan ciri-ciri utama tersedia merentasi rangkaian ini, memberikan pelanggan lebih banyak pilihan tanpa menjejaskan perkara yang penting dalam pemanduan harian,” kata Dato’ Abdul Rashid Musa, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON.

10 Ciri Terunggul dalam Kelasnya

Rangkaian PROTON S70 yang diperluaskan, terdiri daripada varian Lite dan Prime, direka untuk menawarkan pengalaman pemanduan yang berbeza – lebih lancar dan senyap, sambil mengekalkan ruang, praktikaliti dan karakter pemanduan yang menjadi ciri utama PROTON S70.

Kedua-dua varian dikuasakan oleh enjin i-GT 1.5 liter aspirasi semula jadi yang dipadankan dengan transmisi boleh ubah berterusan (CVT), memberikan pengalaman pemanduan yang lancar dan mudah untuk kegunaan harian, perjalanan bersama keluarga serta pelanggan yang mencari pilihan praktikal untuk menjadi sebahagian daripada keluarga PROTON S70.

Kedua-duanya turut mengekalkan ciri-ciri utama yang menjadi identiti PROTON S70, termasuk PROTON Ride and Handling serta tiga mod pemanduan boleh pilih.

Varian baharu Lite dan Prime bukan sekadar menawarkan akses lebih mudah kepada keluarga S70. Merentasi kedua-dua varian, rangkaian PROTON S70 yang diperluaskan ini menawarkan 10 ciri terunggul dalam kelasnya merangkumi aspek ruang dan keselesaan, ketersambungan pintar dan kemudahan serta keselamatan menyeluruh.

Antara ciri tersebut ialah ruang kabin terunggul dalam kelasnya, ruang bahu penumpang belakang, panel instrumen kemasan lembut, semua tingkap dengan fungsi Auto Up/Down dan Anti Trap, Electric Parking Brake (EPB) dengan Auto Brake Hold, Remote Engine Start, Android Auto™ dan Apple CarPlay® tanpa wayar, serta Rear Side Radar System, Reserve Camera dan Rear Seat Reminder.

Gabungan ciri-ciri ini mengukuhkan kedudukan rangkaian PROTON S70 dengan enjin aspirasi semula jadi sebagai antara sedan yang paling lengkap dari segi ciri pada titik harga ini.

LEBIH BESAR: Lebih Banyak Ruang di Tempat yang Penting

Varian PROTON S70 Lite dan Prime menawarkan ruang sedan terunggul dalam kelasnya, menggabungkan dimensi keseluruhan, jarak roda dan badan yang lebar bagi menyediakan ruang yang luas untuk penumpang hadapan dan belakang.

Badan yang lebih lebar menyediakan ruang bahu yang lebih luas untuk penumpang belakang, manakala lantai belakang yang hampir rata memanfaatkan ruang penumpang belakang dengan lebih baik. Ini membolehkan tiga penumpang duduk bersebelahan dengan lebih selesa, menjadikan PROTON S70 Lite dan Prime pilihan yang sesuai untuk keluarga serta perjalanan yang lebih jauh. Ruang penyimpanan praktikal di seluruh kabin turut menyokong keperluan harian keluarga dan perjalanan ulang-alik.

LEBIH SENYAP: Sedan yang Lebih Halus

Varian PROTON S70 Lite dan Prime menawarkan prestasi NVH terunggul dalam kelasnya, menghasilkan kabin yang lebih senyap bagi melengkapi karakter pemanduannya yang lebih santai. Keselesaan turut dipertingkatkan menerusi tempat duduk kemasan kulit, manakala rasa premium dalam kabin diserlahkan dengan panel instrumen kemasan lembut serta perincian dalaman yang teliti.

Kesemua elemen ini mewujudkan persekitaran yang lebih halus dan selesa, sama ada untuk perjalanan harian mahupun perjalanan jauh bersama keluarga.

LEBIH PINTAR: Lebih Banyak Ciri Didatangkan sebagai Standard

Varian PROTON S70 Lite dan Prime dilengkapi teknologi serta ciri kemudahan yang direka untuk kegunaan harian.

Kedua-dua varian menawarkan Android Auto™ dan Apple CarPlay® tanpa wayar, di samping ciri-ciri seperti Electric

Parking Brake (EPB) dengan Auto Brake Hold, semua tingkap dengan fungsi Auto Up/Down dan Anti Trap, Remote Engine Start serta lima port USB, dengan kelengkapan berbeza mengikut varian.

Dari aspek keselamatan, kedua-dua varian dilengkapi enam beg udara, sensor parkir hadapan dan belakang serta rangkaian sistem bantuan pemanduan melalui Rear Side Radar System yang terdiri daripada Blind Spot Detection, Lane Change Assist, Rear Cross Traffic Alert, Door Opening Warning dan Rear Collision Warning. Selain itu, pelanggan turut mendapat manfaat daripada Rear Seat Reminder dan Reverse Camera sebagai ciri standard.

Satu Pengalaman, Dua Cara Pemanduan

Dengan pengenalan varian baharu PROTON S70 Lite dan Prime, PROTON memberikan rakyat Malaysia satu lagi cara untuk menikmati pengalaman bersama S70.

Hasilnya ialah keluarga S70 yang lebih luas, menggabungkan ruang, keselesaan, kehalusan dan teknologi dengan identiti tersendiri PROTON S70 – memberikan pelanggan kebebasan untuk memilih pengalaman pemanduan yang paling sesuai dengan gaya hidup mereka.

Tempahan Kini Dibuka

Tempahan untuk varian PROTON S70 Lite dan Prime kini dibuka di semua cawangan sah PROTON di seluruh negara, dengan anggaran harga di bawah RM60,000. Harga akhir akan diumumkan pada pelancaran rasmi.

Pelanggan yang membuat tempahan dan mendaftarkan PROTON S70 Lite atau Prime sebelum 31 Disember 2026 turut layak menerima ganjaran eksklusif tempahan awal*, dengan maklumat lanjut akan diumumkan pada pelancaran rasmi.

Dengan gabungan ruang terunggul dalam kelasnya, kehalusan, ciri-ciri pintar dan kedudukan harga yang lebih mampu milik, rangkaian PROTON S70 yang diperluaskan menawarkan lebih banyak sebab kepada rakyat Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada keluarga PROTON S70.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti Proton Cars Official di Facebook, Instagram, TikTok serta platform media sosial rasmi PROTON yang lain.

*Tertakluk kepada terma dan syarat


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *