KUALA LUMPUR, 23 Oktober 2026 – KTM Malaysia menerusi pengimport dan pengedar rasminya, Eurotech Group (ETG), hari ini melancarkan empat model flagship generasi baharu merangkumi segmen supersport dan adventure, sekali gus memperkukuh penawaran jenama tersebut kepada penunggang yang mengutamakan prestasi tinggi, teknologi canggih dan keupayaan menunggang dalam pelbagai keadaan.
Barisan model terbaharu itu terdiri daripada KTM 990 RC R, KTM 1390 Super Adventure S, KTM 1390 Super Adventure R dan KTM 1390 Super Adventure S Evo. Setiap model dibangunkan dengan pendekatan kejuruteraan khusus bagi memenuhi keperluan serta gaya tunggangan yang berbeza, daripada prestasi berinspirasikan litar perlumbaan hinggalah perjalanan adventure jarak jauh dan penjelajahan di laluan mencabar.
Dari segi harga jualan asas (BSP), KTM 990 RC R ditawarkan pada harga RM113,000, manakala KTM 1390 Super Adventure S berharga RM144,000. KTM 1390 Super Adventure R pula ditawarkan pada harga RM146,500, sementara model tertinggi dalam barisan ini, KTM 1390 Super Adventure S Evo, dijual pada harga RM153,000. Kesemua harga tersebut termasuk waranti selama empat tahun tanpa had perbatuan.
KTM 990 RC R mengetengahkan DNA perlumbaan jenama itu menerusi sebuah motosikal supersport yang dibangunkan untuk kegunaan sah di jalan raya. Model ini menggabungkan reka bentuk aerodinamik berinspirasikan jentera KTM RC16 MotoGP dengan kejuruteraan yang memberikan tumpuan kepada kestabilan, ketepatan pengendalian dan prestasi pada kelajuan tinggi.
Antara ciri utamanya ialah sayap aerodinamik bersepadu yang diuji secara menyeluruh dalam terowong angin dan mampu menghasilkan daya mendapan (downforce) sehingga 14.4kg pada kelajuan 252km/j, sekali gus membantu meningkatkan kestabilan bahagian hadapan ketika ditunggang pada kelajuan tinggi.
Kuasa disalurkan menerusi enjin dua silinder selari LC8c berkapasiti 947cc yang menghasilkan 127.84PS dan tork 103Nm. Model ini turut dilengkapi suspensi WP APEX dengan pelarasan penuh, angkup brek empat piston Brembo HyPure, Cornering ABS dengan empat mod ABS serta sistem elektronik berasaskan unit pengukuran inersia enam dimensi (6D IMU).
Penunggang turut boleh memilih mod tunggangan Street, Rain, Sport dan Custom mengikut keadaan jalan serta keutamaan masing-masing. Paparan TFT skrin sentuh mendatar baharu berukuran 8.8 inci pula menyediakan akses kepada maklumat tunggangan dan tetapan motosikal. Bagi penyelenggaraan, selang pemeriksaan kelegaan injap dilanjutkan kepada setiap 30,000km berbanding 15,000km sebelum ini.
Bagi penunggang yang mengutamakan perjalanan jarak jauh, KTM 1390 Super Adventure S menggabungkan prestasi enjin berkuasa dengan keselesaan dan teknologi yang sesuai untuk pengembaraan di jalan raya serta laluan batu kerikil.
Motosikal ini menggunakan enjin V-twin berkapasiti 1,350cc yang menghasilkan kuasa 173PS dan tork 145Nm. Suspensi WP Semi-Active Technology (SAT) menyesuaikan tindak balasnya mengikut perubahan keadaan tunggangan, manakala cermin hadapan yang dipertingkatkan dengan tambahan julat pelarasan sebanyak 15mm membantu meningkatkan perlindungan daripada tiupan angin dan keselesaan perjalanan.
Sistem lampu hadapan LED baharu yang dilengkapi lampu selekoh turut meningkatkan penglihatan ketika mengambil selekoh. Penunggang juga mendapat kemudahan menerusi paparan TFT skrin sentuh berorientasikan potret berukuran 8.8 inci, lengkap dengan navigasi peta luar talian serta kawalan yang boleh digunakan ketika memakai sarung tangan.
Bagi mereka yang lebih gemar meneroka laluan mencabar di luar jalan raya, KTM 1390 Super Adventure R dibangunkan dengan penekanan terhadap keupayaan meredah permukaan yang tidak rata serta laluan off-road yang lebih mencabar.
Model ini menggunakan enjin V-twin 1,350cc yang menghasilkan kuasa 175PS dan tork 145Nm, dengan sokongan suspensi WP XPLOR untuk menyerap hentakan serta membantu mengekalkan kawalan ketika melalui permukaan tidak sekata.
Cermin hadapan yang lebih pendek dan berorientasikan tunggangan off-road memberikan kebebasan pergerakan lebih baik kepada penunggang, selain memastikan pandangan ke hadapan tidak terhalang. Paparan TFT skrin sentuh berorientasikan potret turut menyediakan akses kepada maklumat dan tetapan penting sepanjang perjalanan.
Antara kelengkapan lain termasuk tempat duduk satu bahagian serta roda jejari tanpa tiub bersaiz 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dipadankan dengan tayar adventure bercorak bunga agresif bagi menyokong penunggangan di pelbagai permukaan.
Melengkapkan barisan baharu ini ialah KTM 1390 Super Adventure S Evo, model yang menggabungkan prestasi tinggi dengan teknologi kawalan pintar bagi meningkatkan keselesaan dan kemudahan ketika menempuh perjalanan jauh.
Dikuasakan enjin V-twin 1,350cc yang menghasilkan 173PS dan tork 145Nm, model ini menggunakan teknologi suspensi separa aktif WP terbaharu yang menyesuaikan tindak balas suspensi mengikut keadaan tunggangan.
Keistimewaan utamanya ialah penggunaan Automated Manual Transmission (AMT), iaitu transmisi manual automatik yang diperkenalkan buat pertama kali pada model KTM. Teknologi ini membolehkan pengendalian klac dilakukan secara automatik ketika motosikal mula bergerak, berhenti dan menukar gear, sekali gus menawarkan pengalaman tunggangan tanpa perlu mengendalikan tuil klac secara manual.
Penunggang juga boleh memilih antara mod penukaran gear manual dan automatik sepenuhnya mengikut kesesuaian serta gaya tunggangan masing-masing. Bagi perjalanan jarak jauh, model ini turut dilengkapi sistem radar hadapan generasi kelima daripada Bosch dan Kawalan Jelajah Adaptif (Adaptive Cruise Control, ACC) sebagai ciri standard untuk membantu meningkatkan keselesaan ketika perjalanan.
Kesemua model dalam barisan baharu ini mencerminkan pendekatan KTM yang memberi tumpuan kepada keperluan khusus setiap kategori penunggang. KTM 990 RC R menawarkan pengalaman supersport berinspirasikan perlumbaan, manakala KTM 1390 Super Adventure S mengutamakan keselesaan perjalanan jarak jauh. KTM 1390 Super Adventure R pula memberikan penekanan kepada kemampuan off-road, sementara KTM 1390 Super Adventure S Evo menggabungkan ciri premium dengan teknologi transmisi dan kawalan yang lebih maju.
Menurut Goi Seong Keng, Ketua Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan ETG, KTM sentiasa berusaha melangkaui batas prestasi melalui pembangunan motosikal yang memenuhi keperluan penunggang moden.
“Di KTM Malaysia, kami tidak pernah berhenti mencabar had kemampuan. Pasaran Malaysia memerlukan motosikal yang bukan sahaja menawarkan prestasi tinggi, malah dilengkapi teknologi canggih dan keupayaan untuk memenuhi pelbagai keperluan tunggangan pada tahap tertinggi.
“Menerusi barisan flagship baharu ini, kami terus meningkatkan standard kami sambil kekal setia kepada semangat READY TO RACE,” katanya.
Bagi memastikan pelanggan menerima perkhidmatan selepas jualan yang memenuhi piawaian jenama, semua pengedar KTM sah di Malaysia telah menjalani latihan khusus yang disediakan oleh KTM dan memiliki pensijilan antarabangsa yang dikeluarkan oleh KTM Austria. Langkah ini membolehkan pelanggan mendapatkan khidmat penyelenggaraan daripada mekanik profesional yang terlatih dan diiktiraf.
Pelanggan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai KTM 990 RC R serta siri KTM 1390 Super Adventure boleh menghubungi pengedar KTM sah di seluruh negara. Senarai pengedar boleh didapati menerusi laman web rasmi KTM Malaysia di https://www.ktmmalaysia.com/discover-our-dealers/.
Dengan pengenalan empat model baharu ini, KTM Malaysia menerusi ETG meneruskan usaha memperkukuh kehadirannya dalam segmen motosikal berprestasi tinggi tempatan, sambil menawarkan pilihan yang lebih luas kepada penunggang yang mencari gabungan kuasa, teknologi, kawalan dan keupayaan mengikut gaya tunggangan masing-masing.
