(HIBURAN) Sesi Uji Bakat Terakhir Bintang Mencari Bintang Di Kuala Lumpur Meriah

Spread the love

BMB (3)

Jenama program Bintang Mencari Bintang sudah meluncur laju tanpa memerlukan faktor penolak yang kuat. Tanpa disangka-sangka program realiti untuk mencari generasi pelapis penghibur yang berkebolehan dalam kedua-dua bidang iaitu sketsa komedi dan nyanyian ini mencetuskan fenomena global.

Ketika mula disiarkan tahun lalu, ia secara automatik telah mendapat tempat di hati masyarakat tempatan. Kini, ‘Bintang Mencari Bintang’ kembali memulakan pencarian bakat baru yang berkebolehan dalam kedua-dua bidang iaitu sketsa komedi dan nyanyian untuk musim kedua! Membariskan 6 sifu yang bukan calang-calang orangnya seperti Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik, Faizal Ismail (FBI), Saiful Apek, Adlin Aman Ramli dan Ebby Yus, Bintang Mencari Bintang musim baru ini mempertaruhkan hadiah wang tunai sebanyak RM 200,000 untuk bakal juaranya.

6 sesi uji bakat diadakan bagi membuka peluang kepada warganegara Malaysia yang berusia antara 18 – 28 tahun, lelaki atau perempuan yang memiliki bakat dalam sketsa komedi dan nyanyian. Para peserta perlu melakonkan sebuah sketsa komedi dan menyanyi di hadapan juri iaitu Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy) dan Ajai di saringan pertama yang akan menentukan calon-calon yang layak ke pusingan seterusnya dimana mereka akan dinilai oleh keenam-enam Sifu tersebut nanti.

Selepas sesi jelajah uji bakat BMB yang diadakan di negeri Sarawak, Perak, Kedah, Sabah dan Johor berjaya mendapat sambutan hangat, minggu lalu BMB musim kedua melabuhkan tirai pencarian bakatnya menerusi sesi uji bakat terakhir pada 8 & 9 Februari di Kuala Lumpur bagi melengkapkan senarai peserta yang bakal berentap bagi program BMB. Menariknya, hampir 400 orang telah hadir untuk menyertai sesi uji bakat terakhir BMB di Kuala Lumpur ini.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan, TV3 & TV9, Cik Sherina Nordin berkata, “Kami terkejut dengan sambutan yang diberikan kerana orang ramai sudah berasak-asak sejak awal pagi lagi untuk mendapatkan borang penyertaan selain mencuba nasib mempamerkan bakat yang terpendam. Saya fikirkan ia satu perkembangan yang begitu positif kepada BMB kerana masih ramai yang setia mengikutinya lebih-lebih lagi selepas melihat impak pada musim yang pertama sebelum ini serta perkembangan kerjaya juaranya, Achey dan naib juara, Kumpulan Bochik.”

“Sepanjang lebih sebulan kami menjelajah ke seluruh negeri untuk sesi uji bakat, memang satu peningkatan yang begitu baik diterima. Jelas program BMB adalah satu bentuk hiburan yang relevan dan punya kandungan yang berbeza hingga mampu menarik perhatian ramai,” tambah Cik Sherina Nordin lagi.

Bagi musim kedua ini, BMB mengekalkan 3 Sifu iaitu Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik dan Faizal Ismail dari musim pertama kerana prestasi mereka yang konsisten dari permulaan hingga ke peringkat akhir BMB. Sementara itu tiga Sifu baru iaitu Saiful Apek, Adlin Ramli dan Ebby Yus dipilih untuk menjadi Sifu berdasarkan kualiti tersendiri seperti mempunyai pengalaman luas dalam bidang komedi dan nyanyian selain berkaliber sebagai tenaga pengajar.

Setiap seorang Sifu akan mempunyai dua orang peserta iaitu seorang peserta dari kumpulan A dan seorang peserta dari kumpulan B. Setiap pasangan Sifu dan peserta akan bersaing antara satu sama lain mengikut kumpulan untuk merangkul gelaran juara sekaligus membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM200,000 berserta trofi.

Untuk sesi uji bakat, Bintang Mencari Bintang membawa khidmat dua nama besar dalam industri seni tanah air iaitu Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy) dan Faizal Maas (Ajai) sebagai juri untuk memilih para peserta yang berkelayakan ke pusingan seterusnya di mana pusingan tersebut akan dinilai oleh keenam-enam Sifu untuk memilih anak didik mereka.

Pertandingan realiti bakat penghibur, Bintang Mencari Bintang musim kedua ini terbuka kepada lapisan masyarakat yang berumur 18-28 tahun, lelaki ataupun perempuan dan warganegara Malaysia. Peserta yang menghadiri uji bakat perlu membawa kad pengenalan, gambar berukuran pasport dan 4R serta membawa minus one lagu-lagu yang bakal dipersembahkan untuk penilaian juri. Pertandingan ini terbuka kepada peserta solo mahupun berkumpulan tidak melebihi dua orang dan haruslah memiliki bakat sketsa komedi dan boleh menyanyi.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *