Sebelum melabuhkan tirai 2014, Astro First Eksklusif bakal menayangkan sebuah filem televisyen (FTV) arahan Eirma Fatima, berjudul ‘Takhta 3 Ratu’. Ini merupakan julung kali Astro First Eksklusif menawarkan sebuah genre epik, yang berlatarbelakangkan zaman kesultananan Melayu Melaka pada kurun ke-15.
Versi FTV ‘Takhta 3 Ratu’ ini bakal bersiaran di Astro First Eksklusif mulai 25 Disember, sejurus selepas versi teater dipentaskan di Istana Budaya dari 13 hingga 22 Disember. Untuk kedua-dua versi, Eirma menerbitkan ‘Takhta 3 Ratu’ dalam dua olahan berlainan.
Berbanding kebanyakkan filem televisyen yang pernah disiarkan di saluran ini, ‘Takhta 3 Ratu’ merupakan fiksyen yang digarap berlatarbelakangkan sejarah, menyelusuri kisah tiga ratu kepada Sultan Mansur Syah, lakonan Azri Iskandar. Selami jiwa dan naluri wanita-wanita bangsawan ini – Lela Wangsa lakonan Erra Fazira, Hang Li Po lakonan Soo Wincci dan Galuh Chenderai Kirana lakonan Feby Febiola (Izreen Azminda di teater) – dalam pergolakan serta konflik perebutan takhta dan cinta.
‘Takhta 3 Ratu’ turut dibintangi Awie sebagai Hang Tuah, Beto Kusyairy sebagai Hang Jebat, Dato’ Rahim Razali sebagai Tun Perak, Ellie Suriaty sebagai Mbak Kuriang dan Meor Hashim Manap sebagai Abbi Andri.
Selain itu, barisan pelakon pembantu termasuk Aqasha (Chakrapadee), Benjy (Hang Nadim), Azman Jantan (Sri Nara Di Raja), Wong Sip Nen (Cheng Ho), Kaza (Datuk Malim Tempang), Dato’ Ahmad Tamimi Siregar (Dewa Sura), Ruminah Sidek (Bonda Dewa Sura) dan Puteri Balqis (Pue).
Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh, berkata: “Kami berasa amat besar hati kerana dapat bekerjasama dengan sutradara dan penerbit hebat, Eirma Fatima. Beliau adalah seorang karyawan yang bukan sahaja bercerita, tetapi juga sentiasa memperjuangkan mesej kemasyarakatan serta kemanusiaan dalam hasil kerjanya.
“Dengan adanya platform Astro First Eksklusif, kami dapat berkolaborasi dengan syarikat produksi berkaliber seperti Rumah Karya Citra untuk menerbitkan produk premium yang berani, di luar kotak kebiasaan, membawa pembaharuan dan berdaya saing secara konsisten. ‘Takhta 3 Ratu’ memenuhi semua ini.
“Versi ‘Takhta 3 Ratu’ yang akan ditayangkan di kaca televisyen mempunyai pendekatan berbeza berbanding versi teater, menjadikan masing-masing terjemahan yang unik sambil mengekalkan kualiti. Anda harus menyaksikan kedua-duanya. Bagi yang berada di luar Kuala Lumpur khususnya, yang mungkin tidak berpeluang datang ke Istana Budaya, jangan ketinggalan menikmati hasil produksi hebat ini di Astro First Eksklusif.”
Filem televisyen yang berdurasi 2.5 jam ini telah menjalani penggambaran di Taman Botani Negara, Shah Alam, Taman Mini Malaysia & Asean Melaka dan The Banjaran di Ipoh. Selain itu, Jogjakarta, Indonesia juga merupakan antara lokasi indah yang telah merakam sebahagian babak-babak karya zaman ‘Takhta 3 Ratu’. Diterbitkan oleh Rumah Karya Citra, Takhta 3 Ratu menggabungkan Eirma dan Iqbal Putra sebagai penulis skrip.
Mengulas tentang judul karya terkininya, antara kata-kata pengarah Eirma Fatima:
TAKHTA 3 Ratu
Meneroka Melaka yang GEMILANG.
Mencari jati diri bangsa yang HILANG.
Mencari Tuah untuk bertanya kenapa katanya ‘TAK MELAYU HILANG DI DUNIA’
Mengenali semangatnya Jebat.
Menyingkap helaian SULALATUS SALATIN.
Agar anak cucu kita MENGERTI.
Mengapa MELAYU HARUS TERUS BERTAKHTA dibumi ini.
Para penonton dapat menyaksikan Takhta 3 Ratu melalui pementasan teater di Istana Budaya dari 13 hingga 22 Disember 2014 manakala tayangan filem televisyen yang akan ditawarkan dari 25 Disember 2014 di Astro First Eksklusif (Saluran 480).
Pelanggan Astro hanya perlu membayar caj RM15 untuk tempahan filem epik Takhta 3 Ratu menerusi Astro First, dan mempunyai pilihan masa untuk menonton mengikut keselesaan masing-masing dalam tempoh 48 jam dari masa pembelian. Ia turut dapat ditonton di Astro On The Go juga pada kadar yang sama iaitu RM15.
PETIKAN KATA-KATA PENGARAH ‘TEATER 3 RATU’, EIRMA FATIMA
Inilah cerita di antara tabir dan anjungan Istana Melaka.
Kisah yang difiksikan berlatarbelakangkan sejarah.
Inilah Hikayat 3 Ratu.
Sultan Mansor mengahwini Galuh Chenderai Kirana untuk mendapat kekuatan dari Majapahit.
Ancaman Ayothaya memaksa Sultan Mansor untuk menyimpul pula teras dengan Empayar China. Lantas Hang Li Po menjadi talinya
Tiada yang terjanji akan selamat, sumpah Mansor kepada tanah Melaka akan terus diadilinya, makanya dipaksa untuk mengahwini Lela Wangsa bagi mengekal siduduk tanah ini dari dikukur Ayothaya dan Inderapura.
3 Ratu dan 3 jiwa, yang berbeza mahunya.
Di antara cinta, tanggungjawab dan kedaulatan, yang mungkin merobohkan kota Melaka atau mungkin juga memacunya menjadi sebuah Empayar gemilang. Lantas nafsu yang membakar naluri tiga ratu ini akan meresap meladur golak ke setiap penjuru istana untuk menguasai TAKHTA.
Andai sejarah dapat berkata, tentu yang benar itu tersuluh.
Andai suluh itu yang disemat, berlingkar ia di antara hikayat
TAKHTA 3 Ratu
Meneroka Melaka yang GEMILANG.
Mencari jati diri bangsa yang HILANG.
Mencari Tuah untuk bertanya kenapa katanya ‘TAK MELAYU HILANG DI DUNIA’
Mengenali semangatnya Jebat.
Menyingkap helaian SULALATUS SALATIN.
Agar anak cucu kita MENGERTI.
Mengapa MELAYU HARUS TERUS BERTAKHTA dibumi ini.
NAMUN KEKUASAAN POLITIK MELAKA BUKAN ANCAMAN BUAT 3 RATU INI KERANA:
“Walau satu benua dapat ku tawan..
Tujuh lapis langit dalam genggaman.
Tidak kan sama memiliki seluruh cinta yang ada di dalam jiwa seorang suami.
Itulah takhta teragung buat seorang isteri”
Untuk melanggan filem ini, sila kunjungi portal Astro First di Saluran Astro 480 dan ikuti langkah-langkah seperti berikut :
Langkah 1 :
- Layari senarai filem dan tekan butang biru di alat kawalan jauh Astro untuk menempah filem
Langkah 2 :
- Pilih filem yang ingin dilanggan
- Tekan butang biru sekali lagi untuk pengesahan tempahan
Langkah 3 :
- Kod angka 16 digit akan terpapar di kaca televisyen. Sila SMS kod tersebut ke 32999. Contoh : BUY 1234567891234
- Kemudian, anda akan menerima SMS pengesahan pembelian dan filem tersebut sedia untuk ditonton dalam masa lebih kurang lima minit kemudian
Setiap pembelian akan dicajkan ke bil semasa pelanggan. Kadar caj syarikat komunikasi akan dikenakan untuk setiap SMS. Untuk maklumat lanjut, layari www.astro.com.my/astrofirst
- TAMAT –