Jelajah pentas Anugerah Skrin 2013 (ASK 2013) telah melabuhkan tirai di lokasi keduanya di Centre Atrium, eCurve di Mutiara Damansara pada hari Ahad yang lalu (17 November) dengan menerima lebih daripada 5000 pengunjung!
Bagi menghangatkan lagi ASK 2013, TV3 bersama-sama penaja utama, Pantene mengadakan 2 sesi Jelajah Anugerah Skrin 2013 khas buat penonton setianya untuk beramah mesra dengan artis-artis popular yang terlibat. Lokasi pertama Jelajah ASK 2013 di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang, Johor pada 10 November 2013 juga menerima sambutan yang hebat apabila dibanjiri lebih daripada 5000 pengunjung untuk bertemu dan beramah mesra dengan artis-artis popular.
Edisi kedua Jelajah Pentas ASK 2013 diserikan dengan barisan finalis 5 terbaik ASK 2013 seperti Nad Zainal (Hos ASK 2013 & finalis Top 5 Pelakon Wanita Terbaik Drama – Mawar Putih Tanda Perpisahan), Erin Malek (finalis Top 5 Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem – Lari ), Miera Leyana (finalis Top 5 Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem – Pecah), Izreen Azminda (finalis Top 5 Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama – Perempuan Itu Ibuku), Shasha Al Khred (finalis Top 5 Artis Harapan Pantene – Kawan), Shukri Yahaya (finalis Top 5 Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama – Kawan), Adi Putra (finalis Top 5 Pelakon Lelaki Terbaik Filem – Langgar) dan Izzue Islam (finalis Top 5 Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem – 29 Februari).
Bermula dari 3.00 petang hingga 6.00 petang, acara yang dihoskan oleh Chot XOXO juga dimeriahkan dengan pelakon-pelakon handalan seperti Jay Iswazir (Top 5 Drama Rantaian Terbaik – Karlos), Anita Baharom (Top 5 Drama Komedi Terbaik – Keluarga Iskandar), Idzham Ismail (Aksi: Aku) dan Zara Zya (Akasia: Love You Mr Arrogant). Selain beramah mesra dengan artis-artis popular tanah air dan dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada Shiha Mentor, Hyper Act, Amir Jahari dan Mark Adam, para pengunjung juga berpeluang memenangi cenderahati eksklusif TV3 menerusi aktiviti yang diadakan.
Selain itu, Pertandingan Pantene Star Search juga sampai ke kemuncaknya apabila dua pemenang hadiah utama, iaitu Kamarul Ariffin bin Othman (21 tahun) dan Jazmine Suraya Chin (23 tahun). Mereka berdua menerima kontrak bakat satu tahun dengan mana-mana syarikat dalam Media Prima Berhad (bernilai kira-kira RM50,000), berpeluang menjadi hos bersama di Karpet Merah Anugerah Skrin 2013, hadiah wang tunai bernilai RM5,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Ribu Sahaja), peluang untuk membintangi iklan komersial P & G, hamper P & G bernilai kira-kira RM200 dan sebuah trofi sebagai hadiah. Selain itu, Kamarul Ariffin dan Jazmine juga akan muncul sebagai pengacara jemputan untuk acara karpet merah ASK 2013 nanti.
10 finalis Pantene Star Search Anugerah Skrin 2013 yang berentap di peringkat akhir ialah Muhammad Shukri bin Mohd Tahir (25 tahun), Kamarul Ariffin bin Othman (21 tahun), Azam Zainal (29 tahun), Radin Amir Affendy bin Ahmad Aruani (23 tahun), Muhammad Aizat bin Ishak (22 tahun), Syafiqah binti Ishak (26 tahun), Jazmine Suraya Chin (23 tahun), Nur Idiana Natrah (21 tahun), Nur Shafreeza binti Zainal Abidin (20 tahun) dan Nor Saliha binti Azmi (28 tahun). Pertandingan ini telah mengadakan sesi uji bakat di 5 buah negeri pada setiap hujung minggu bermula pada awal bulan September hingga akhir bulan Oktober.
Anugerah Skrin memberi pengiktirafan kepada pengeluar–pengeluar drama, filem dan produksi TV tempatan. Telefilem dan drama bersiri yang dicalonkan ialah hasil penerbitan syarikat yang memenuhi slot-slot drama di semua rangkaian televisyen setiap minggu. Antara faktor telefilem dan drama bersiri ini terpilih untuk ditayangkan di kaca televisyen ialah garapan skrip yang baik, jalan cerita yang sempurna, lakonan yang mantap, mutu penerbitan yang baik serta mampu menyampaikan mesej positif di samping boleh menarik perhatian penonton. Calon-calon yang dipertandingkan terdiri daripada terbitan yang telah ditayangkan di kaca TV dan pawagam mulai 1 Julai 2012 hingga 30 Jun 2013 dan pencalonan drama berdasarkan catatan jumlah penonton yang berjaya diraih mengikut kajian Nielsen Audience Measurement mengikut ‘genre’ masing-masing. Semua pencalonan dinilai oleh panel juri profesional yang dipilih.
Secara keseluruhan, Anugerah Skrin 2013 mempertandingkan 30 kategori yang meliputi 11 kategori drama, 7 kategori filem, 6 kategori penerbitan dalaman dan 6 kategori teknikal. Seperti tahun sebelumnya, selain rangkaian televisyen di bawah naungan Media Prima Berhad yang terdiri daripada TV3, NTV7, 8TV dan TV9, pihak penganjur juga menjemput stesen televisyen RTM, ASTRO dan juga TV AlHijrah untuk bersama-sama menyertai anugerah yang berprestij ini.
Kesemua rangkaian televisyen ini layak untuk menghantar penyertaan bagi kategori drama dan penerbitan dalaman yang pernah disiarkan di stesen televisyen mereka mengikut syarat yang telah ditetapkan. Tahun ini, 6 kategori teknikal juga dipertandingkan dan membuka penyertaan kepada semua rangkaian televisyen.
Untuk kategori drama, 16 buah drama, 13 drama rantaian dan 4 drama komedi telah dicalonkan. Manakala untuk kategori filem pula 54 filem terbitan tempatan layak dipertandingkan untuk Anugerah Skrin 2013 ini. Antara drama yang layak bertanding seperti Akhirnya Kisah Perempuan, Aku Bukan Malaikat, Anak Lorong, Bedah Tong Gas Nak Raya, Di Bawah Langit Mu, Fatihah Untuk Abah, Hari Hari Terakhir Seorang Seniman, Kampung Semarah Padi, Kawan, Mawar Putih Tanda Perpisahan, Neraka Abah, Perempuan Itu Ibuku, Sebelum Kiamat, Siapa Dapat Lisa, Strawberry Karipap dan Tunggu Sekejap.
Bagi kategori drama rantaian pula, ASK 2013 menerima pencalonan seperti Adam Dan Hawa, Cinta Kau Dan Aku, Dalam Setiap Sujud, Debunga Lalang, Geng Bas Sekolah (Musim 5), Jodoh, Karlos, Operasi D6, Setia Hujung Nyawa, Surat Dari Langit Biru, Tanah Merah, Terlanjur Cinta dan Trilogi Cinta (Musim 2). Kategori drama komedi pula menerima pencalonan seperti Buletin Cinta, Mentua VS Mentua, Udin Glamor Balik Kampung dan Keluarga Iskandar. Manakala filem yang layak bertanding termasuk 29 Februari, Aku Terima Nikahnya, Istanbul Aku Datang, Juvana, KIL, Langgar, Lari, Pecah, Rock Oo, SAM dan lain-lain. Semua pencalonan dinilai oleh panel juri profesional yang terpilih.
Selain itu, Anugerah Skrin 2013 turut dihangatkan oleh stesen radio Hot FM selaku rakan media. Kru penerbitan Anugerah Skrin 2013 diketuai oleh Muhamad Sufian Isa selaku Penerbit Eksekutif dan Ahmad Shaifullizam Arshad (Gbam) sebagai penerbit.
Layari laman sesawang www.anugerahskrin.com dan www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Twitter & Instagram TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini. Pengguna laman sosial Twitter juga boleh menggunakan tanda pagar #ask2013 untuk menghangatkan lagi acara Anugerah Skrin 2013 yang akan bersiaran secara langsung dari Stadium Malawati, Shah Alam jam 9.00 malam pada 29 November 2013 di TV3 dan laman sesawang ramsi ASK 2013, www.anugerahskrin.com