(HIBURAN) ASIAN TV AWARDS KE-18 ntv7 terima pencalonan tertinggi di dalam industri penyiaran TV Malaysia

Spread the love

ntv7 awardssmall

ANUGERAH BERPRESTIJ RANTAU INI akan meraikan karyawan seni dari seluruh Asia di dalam Asian Televison Awards yang ke-18 dan telah pun mengumumkan senarai pencalonannya yang terdiri daripada 12 buah negara seperti Hong Kong, Korea, Indonesia, India, China, Singapura dan Malaysia.

 

Lebih membanggakan adalah apabila Saluran Ceria Anda, ntv7 berjaya mengungguli sebagai stesen TV yang paling banyak dicalonkan dengan sejumlah LAPAN pencalonan daripada pelbagai kategori. Pemenang pula akan diumumkan pada acara gala anugerah itu di Resorts World Sentosa, Singapura pada 5 Disember 2013 nanti.

Bukan sahaja ntv7 mendapat jumlah pencalonan yang membanggakan malah berjaya merebut TIGA daripada enam pencalonan di dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik dalam Peranan Utama. Antara yang tercalon adalah Lawrence Wong (In Laws) yang tercalon buat pertama kali, Coby Chong (Summer Brothers), dan Adrian Tan (Lucky Bowl Part 2) yang bersaing bersama pesaingnya yang masing-masing dari Taiwan. Walaubagaimanapun, Coby Chong yang pernah memenangi Pelakon Lelaki Terbaik di dalam Golden Awards ke-2 menerusi drama Forget Me Not tetap tidak gentar kali ini.

“Pastinya acara pengiktirafan sebegini amat penting bagi saya namun apa yang paling saya utamakan adalah peranan saya selaku pelakon untuk menghidupkan segala watak yang diberikan,” kata Coby yang juga akan membintangi drama bersiri terbaru berjudul Pianissimo Disember ini.

 

Sementara itu pelakon jelita, Debbie Goh yang mendapat jolokan “Pelakon Wanita Terbaik dalam Peranan Utama” pada Asian Television Awards ke-17 tahun lalu sekali lagi berjaya dicalonkan di dalam kategori yang sama menerusi drama mega Mining Magnate yang bakal bersaing hebat dengan calon negara Asia lain termasuklah aktres terkenal, Kate Tsui dari Hong Kong. Debbie sebelum ini pernah memenangi Pelakon Wanita Popular dua kali berturut-turut di Golden Awards bersikap tenang dalam merebut kategori yang dipertandingkan.

“Dicalonkan buat kali kedua di dalam anugerah berprestij ini serta bersaing dengan calon-calon hebat dan berbakat lain merupakan sebuah penghargaan buat saya. Saya amat bersyukur kerana mendapat pengiktirafan terhadap hasil kerjaya saya dari pelbagai ruang sepanjang beberapa tahun di dalam industri seni. Saya akan terus bekerja dengan lebih kuat dalam tahun mendatang,” kata Debbie yang juga memenangi sebuah lagi anugerah “Bella Creative Award” di dalam majlis rancangan anugerah TV wanita pertama Malaysia – Bella Awards pada Mac tahun ini sempena Hari Wanita Sedunia.

Ong Ai Leng pula merupakan pelakon wanita yang terkenal di pasaran Malaysia dan Singapura yang semakin menggiatkan kerjayanya dalam dunia seni tempatan. Ternyata peluang Ong Ai Leng cerah menerusi pencalonan pertamanya di dalam “Pelakon Wanita Terbaik dalam Peranan Pembantu” menerusi drama Tahun Baru Cina berjudul The Lucky Bowl Part 2. Aktres yang juga baru mengakhiri zaman bujangnya akan bersaing dengan nama besar seperti pelakon kegemaran Hong Kong, Aimee Chan yang juga baru berkahwin dengan pelakon lelaki Hong Kong terkenal, Moses Chan.

 “Ini merupakan hadiah yang paling bermakna yang pernah saya terima. Saya amat teruja kerana tercalon. Ia merupakan tahun yang indah kerana saya terlibat dengan pelbagai tawaran serta drama musim perayaan hebat seperti Lucky Bowl Part 2 dan The Game 2,” kata Ai Leng.

Drama bergenre sitkom pula dilihat menjadi pilihan rakyat Malaysia masa kini dan membuatkan ntv7 juga menghasilkan beberapa sitkom hebat buat tontonan ramai. Seperti Love Compulsory, Time FM, After Class dan banyak lagi. Saluran itu juga melaburkan jumlah yang agak besar untuk menghasilkan drama yang ternyata berjaya mendapat tempat di hati para penonton dengan membariskan judul Love Compulsory lakonan Jan Chin dan Jack Yap di mana mereka tercalon di dalam kategori “Persembahan Komedi Terbaik oleh Pelakon”. Mereka akan bersaing dengan pelakon dari Filipina, Singapura dan India. Sementara itu sitkom Love Compulsory dijangkakan bakal kembali ke kaca TV untuk musim ke-3 dan ke-4 pada suku pertama dan ketiga tahun 2014.

Penonton juga kini disajikan dengan pelbagai drama Cina tempatan yang berkualiti tinggi serta mempunyai lagu tema yang digiubah dan dinyanyikan oleh bakat-bakat tempatan tanah air. Kedua-dua stesen ntv7 & 8TV juga tercalon di bawah pencalonan kategori yang sama iaitu “Lagu Tema Terbaik” menerusi drama – In Laws (penyanyi: Orange Tan), dan The Beat (lagu tema dinyanyikan oleh Yise Loo). Mereka bakal bersaing dengan pencalonan daripada Singapura dan Jepun.

Dengan pencapaian yang membanggakan iaitu sebanyak LAPAN pencalonanan untuk Asian Television Awards yang ke-18, Pengurus Besar Kumpulan ntv7 & 8TV, Airin Zainul mengucapkan terima kasih di atas sokongan yang diberikan orang ramai dan penggiat dunia seni sepanjang 15 tahun stesen itu bersiaran.

 “ntv7 berjaya melakar sebuah lagi kejayaan menerusi pencalonan ini di persada antarabangsa. Kami harus berterima kasih kepada para penonton dan rakan-rakan industri di atas kejayaan ini. Kami juga akan terus menyajikan kandungan rancangan yang hebat dan mantap serta rancangan hiburan kelas dunia pada tahun hadapan sempena ulang tahun kami yang ke-16 pada tahun 2014 nanti.”

Disenaraikan sebagai 5 saluran teratas yang ditonton oleh penonton Urban 25+ dan Cina 4+ di Malaysia, ntv7 berjaya membuktikan bahawa saluran itu mendominasi penontonnya yang bertutur di dalam bahasa Inggeris dan Cina.

Tahun lalu menyaksikan ntv7 menerima jolokan “Highly Commended Terrestrial Channel Of The Year” pada Asian Television Awards yang ke-17. Stesen itu juga memenangi anugerah “Rancangan Realiti Terbaik” menerusi What Men Want di dalam majlis yang sama.

Majlis Gala anugerah itu akan diadakan pada 5 Disember 2013 di Resort World Sentosa, Singapura yang bakal dihadiri personaliti-personaliti TV di rantau Asia.

Kategori

Pencalonan untuk ntv7

Best Actor In A Leading Role

Pelakon Lelaki Terbaik dalam Peranan Utama

  • Lawrence Wong (In Laws)
  • Coby Chong (Summer Brothers)
  • Adrian Tan (Lucky Bowl Part 2)

 

Best Actress In A Leading Role

Pelakon Wanita Terbaik dalam Peranan Utama

  • Debbie Goh (Mining Magnate)

 

Best Actress In A Supporting Role

Pelakon Wanita Terbaik dalam Peranan Pembantu

  • Ong Ai Leng (Lucky Bow Part 2)

 

Best Comedy Performance By An Actor/ Actress

Persembahan Komedi Terbaik olehPpelakon

  • Jan Chin (Love Compulsory)
  • Jack Yap (Love Compulsory)

 

Best Theme Song

Lagu Tema Terbaik

  • In Laws (Singer: Orange Tan)

 

Maklumat lanjut mengenai anugerah itu boleh diperolehi http://ata.onscreenasia.com/, atau ikuti perkembangan ntv7 menerusi media sosial:

Facebook (Urban – ntv7 │Chinese – ntv7 中文)

Twitter (@ntv7)

Instagram (Urban @ntv7 │Chinese – @ntv7chinese)

Hashtag us at #ntv7 and follow our latest daily updates


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *