(HIBURAN) Alif Dalam 7 Dimensi – Antara Logik Akal & Sains Moden

Spread the love

851593487

Mengambil tagline ‘Kau Belum Kenal Aku Siapa’, Aliff Dalam 7 Dimensi (AD7D) sebuah filem aksi supernatural memaparkan kisah remaja yang menjejak entiti paranormal. Filem yang bakal menemui penonton bermula 8 September ini telah mendapat sentuhan pengarah berbakat besar iaitu Faisal Ishak. Satu majlis Pra-Tonton diadakan di GSC, Pavilion, Kuala Lumpur dan turut dihadiri oleh barisan pelakon, penerbit dan pengarah.
Filem yang menjalani penggambaran di sekitar Lembah Klang selama 25 hari ini, menampilkan gandingan pelakon muda seperti Izzue Islam, Juliana Evans dan Alif Satar bagi teraju utama. Malah filem ini turut dibintangi oleh Kaka Azraff, Hasnul Rahmat, Aleza Shadan, Man Kadir dan ramai lagi.
Menariknya tentang filem ini, ia berjaya memaparkan visual adegan-adegan pertarungan yang membabitkan imej-imej seperti entiti saka yang ‘dihidupkan’ dengan menggunakan teknik-teknik tersebut. Selain teknik-teknik kesan khas yang mewarnai visual AD7D, filem ini turut dihidupkan lagi dengan audio yang melatari bunyi adegan-adegan di sepanjang perjalanan filem itu. Malah, di sebalik itu, keberkesanan teknik solekan kesan khas juga turut memberi impak dan mampu menyakinkan penghayatan para penonton.

Apa yang lebih unik tentang filem AD7D ini, idea asal dan skripnya adalah datang daripada salah seorang penulis skrip filem Polis Evo iaitu Anwari Ashraf dan dengan kerjasama Ashraf Zain. Naib Presiden dan Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar melahirkan hasrat agar filem ini diterima penonton. “Jika merujuk pada sinopsis filem Aliff Dalam 7 Dimensi, pasti sebilangan penonton merasakan ini adalah sebuah filem seram kerana ia menampilkan entiti makhluk halus, namun sebenarnya filem ini lebih mengetengahkan kepada merungkai sains moden dan kepercayaan logik akal. Ia bertambah menarik buat filem ini apabila ia turut membawakan unsur misteri yang relevan dengan kepercayaan sesetengah masyarakat yang dijadikan subjek filem ini sekaligus dapat mendedahkan kepada penonton untuk mengetahui kewujudan 7 dimensi, selain menggabungkan unsur aksi, komersial, persahabatan dan kekeluargaan.” Menurut Najwa Abu Bakar lagi, sewaktu di peringkat pra produksi, pihak Astro Shaw memang mahu memastikan filem ini memaparkan penghasilan produk filem yang benar-benar berkualiti serta mencabar kreativiti.

Selepas Aliff Dalam 7 Dimensi, Astro Shaw bakal muncul dengan filem Kimchi Untuk Awak yang menemukan Aiman Hakim dan Emma Maembong sebagai teraju utama. Sementara itu, filem terbitan Astro Shaw yang sedang menjalani penggambaran ialah filem aksi drama arahan pengarah Nasir Jani dan Seth Larney berjudul Tombiruo yang menampilkan Zul Ariffin, Farid Kamil dan Nabila Huda.

Untuk maklumat lanjut, serta info dan gambar eksklusif di balik tabir filem ini, sila layari www.facebook.com/AstroShaw atau follow @AstroShaw di Twitter dan Instagram rasmi kami. Pengguna laman sosial boleh menggunakan ‘hash tag’ #AD7D.

Berikut adalah Trivia filem ‘Aliff Dalam 7 Dimensi’ buat pengetahuan semua peminat industri perfileman tempatan:
 Lokasi penggambaran bagi filem ini adalah di UKM, Bangi dan sekitar Lembah Klang.
 Lagu tema utama filem ini bertajuk ‘Hilang’ nyanyian kumpulan Modescape manakala lagu tema kedua bertajuk ‘Kudrat’ nyanyian Kaka Azraff.
 Ini adalah filem terakhir untuk Shahrulnizam @ Syarified (Stylist & Juru Mekap Kesan Khas). Dia menghembuskan nafas terakhir beliau sehari selepas hari terakhir pengambaran AD7D.
 Arwah Syarified juga sempat menyiapkan semua topeng kesan khas beliau sebelum jatuh rebah dan dibawa ke Hospital.
 Beberapa perkara pelik berlaku ketika pengambaran AD7D seperti kru produksi ternampak beberapa lembaga berdiri berdekatan lampu teknikal. Lembaga berterbangan di atas khemah ketika tenaga produksi sedang berbincang ketika jam 5.00 pagi.
 Teknik CGI (kesan khas visual) dalam AD7D adalah 30%.
 Kebanyakkan babak stunt dalam AD7D dilakukan oleh pelakon sendiri termasuk pelakon cilik Eunos (Aliff Kecil).


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *