(HIBURAN) D’MASIV BAKAL GEGARKAN MEGA STAR ARENA BERSAMA NOH SALLEH DAN AZIZ HARUN 20 NOVEMBER INI

Spread the love

KUALA LUMPUR – Kumpulan pop popular Indonesia, D’MASIV, bakal menggegarkan pentas Mega Star Arena, Kuala Lumpur menerusi konsert jelajah D’MASIV Asia Home Run pada 20 November 2026, jam 8 malam, dengan penampilan istimewa dua penyanyi terkenal, Noh Salleh dan Aziz Harun.

Konsert anjuran Neptunes Presents bersama Antara Suara itu menjanjikan persembahan istimewa yang menggabungkan kehebatan muzik D’MASIV dengan sentuhan dua penyanyi berbakat dari Malaysia dan Brunei, sekali gus menjadikan Kuala Lumpur antara destinasi penting dalam siri jelajah Asia kumpulan berkenaan.

Kuala Lumpur merupakan destinasi keempat jelajah D’MASIV Asia Home Run, selepas kumpulan itu menjayakan persembahan di Taiwan, Hong Kong dan Singapura. Jelajah berkenaan dijadualkan melabuhkan tirainya di Jakarta, Indonesia.

Menurut Pengarah Projek Neptunes Presents, Shamsir Firdaus Shariman, pemilihan Noh Salleh dan Aziz Harun sebagai artis undangan dibuat sendiri oleh pihak pengurusan D’MASIV bagi memberikan kelainan serta pengalaman muzik yang lebih bermakna kepada peminat.

“Menariknya, menerusi kolaborasi istimewa ini, vokalis D’MASIV, Rian Ekky Pradipta, akan bergandingan dengan Noh Salleh untuk mempersembahkan beberapa lagu popular seperti Angin Kencang, Ingin Lekas Memelukmu Lagi dan Di Bawah Langit Yang Sama.

“Rian juga bakal berduet bersama Aziz Harun menerusi lagu popular D’MASIV, Merindukanmu, khusus buat peminat yang hadir pada malam konsert berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Penampilan dua artis undangan itu dijangka menjadi antara tarikan utama konsert, selain memberi peluang kepada peminat menyaksikan gabungan suara serta gaya persembahan berbeza dalam satu pentas.

Ditubuhkan pada tahun 2003, D’MASIV terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara kumpulan pop Indonesia yang mempunyai pengaruh besar dalam industri muzik serantau.

Kumpulan itu dianggotai Rian Ekky Pradipta selaku vokalis, Dwiki Aditya Marsall dan Nurul Damar Ramadan (gitar), Rayyi Kurniawan Iskandar Dinata (bass) serta Wahyu Piadji (dram).

Mengulas persiapan menjelang konsert, Shamsir Firdaus berkata segala perancangan dan persiapan telah dilakukan dengan rapi oleh pihak penganjur bersama D’MASIV serta artis undangan bagi memastikan persembahan berjalan lancar.

“D’MASIV sememangnya sudah tidak sabar untuk kembali bertemu peminat mereka di Kuala Lumpur. Malaysia sudah dianggap seperti rumah kedua buat kumpulan ini kerana sambutan luar biasa yang sentiasa diberikan peminat sejak awal kemunculan mereka.

“Mereka amat merindui suasana konsert di Malaysia, terutama kehangatan dan energi yang ditunjukkan oleh peminat setia yang dikenali sebagai Masivers,” katanya.

Tambah beliau, konsert kali ini bukan sekadar persembahan muzik biasa, sebaliknya bakal menjadi satu pengalaman istimewa yang meninggalkan kenangan manis kepada peminat.

“D’MASIV akan menghiburkan peminat menerusi rangkaian lagu popular serta karya baharu dalam persembahan yang dijangka berlangsung selama kira-kira dua jam.

“Antara lagu hits yang bakal dipersembahkan termasuk Pergilah Kasih, Jangan Menyerah dan Cinta Ini Membunuhku, selain pelbagai lagu lain yang cukup dekat di hati peminat mereka,” katanya.

Dengan gabungan lagu-lagu yang pernah mencetuskan fenomena, persembahan penuh emosi serta kolaborasi eksklusif bersama Noh Salleh dan Aziz Harun, konsert D’MASIV Asia Home Run Kuala Lumpur dijangka menjadi antara persembahan yang dinanti-nantikan peminat muzik Indonesia di Malaysia.

TIKET KONSERT MASIH BOLEH DIDAPATKAN

Orang ramai yang ingin menyaksikan konsert berkenaan masih berpeluang mendapatkan tiket mengikut kategori berikut:

  • Super VIP – RM588 (pakej menyeluruh)
  • Ruby (Festival Seating) – RM298 (kategori baharu)
  • Festival – RM188
  • Platinum – RM148

Tiket masih dijual menerusi laman web rasmi konsert di https://dmasivtour.com.

 


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *