(HIBURAN) DRAMA KOREA TERBARU STILL, MARRY ME CUIT HATI PENONTON ntv7

Spread the love

Still Marry Me 1

Konflik kerjaya dan sindrom cinta wanita berusia!

Bila nak kahwin? Itulah antara soalan cliché yang kalau boleh enggan anda dengari tatkala masih belum menamatkan zaman bujang walaupun usia semakin meningkat. Bukan mudah menemui pasangan hidup apatah lagi jika anda seorang wanita berkerjaya dan digelar golongan gila kerja atau ‘workaholic’. Adakalanya dalam mengejar cita-cita, pangkat mahupun harta mungkin ada yang terlupa yang mereka juga memerlukan pasangan hidup. Lebih runsing apabila bermacam-macam pula cabaran yang terpaksa ditempuhi. Dilema wanita moden inilah yang bakal diketengahkan dalam sebuah drama bersiri Korea terbaru berjudul Still, Marry Me yang bakal menemui penonton buat pertama kalinya di Malaysia bermula 1 Februari pada setiap Isnin hingga Jumaat jam 12 tengah hari selama sejam di ntv7.

Still Marry Me 3

Bersiaran selama 22 episod, Still, Marry Me mengisahkan tiga orang sahabat Lee Shin Young (Park Jin Hee), Jung Da Jung (Uhm Ji Won) dan Kim Boo Ki (Wang Bit Na)  yang merasakan kehidupan mereka telah sempurna namun mula menyedari bahawa mereka masih tidak mempunyai pasangan hidup. Pada usia 36 tahun mereka dihujani dengan pelbagai masalah dan kini terdesak mencari cinta.

Lee Shin Young merupakan seorang wartawan penyiaran yang sentiasa ceria dan sering mendapat perhatian sehingga dipilih oleh syarikatnya untuk mendapatkan latihan di Washington. Shin Young yang menghabiskan masa selama dua tahun di sana terpaksa memutuskan pertunangannya bersama Yoon Sang Woo (Lee Pil Mo). Namun sekembalinya Shin Young, dia menerima tamparan hebat apabila mengetahui bekas tunangannya kini bakal berkahwin dengan gadis lain. Shin Young yang juga menerima tekanan kerja akhirnya mengalami penyakit ganjil iaitu gagal mengawal ekspresi wajah dan terpaksa dihentikan.

Sedang Shin Young cuba mencari cinta hati barunya, lain pula dengan Jung Da Jung yang merupakan seorang penterjemah bahasa dan sering berharap dapat bertemu jejaka kaya. Impian Da Jung hampir menjadi kenyataan apabila dia bertemu seorang doktor bernama Na Ban Seok (Choi Cheol Ho) dalam sebuah temujanji. Namun, tatkala Na Ban Seok melamarnya, Da Jung merasakan masih ada yang kurang dalam hidupnya.

Sindrom wanita berusia juga tidak ketinggalan dalam kehidupan Kim Boo Ki yang merupakan seorang perunding restoran. Setelah 10 tahun berpacaran, Boo Ki akhirnya dikecewakan walaupun mereka telah bertunang. Lebih menarik apabila Boo Ki terjumpa seorang bayi yang ditinggalkan di pintu rumahnya.

Dalam masa yang sama, Shin Young kini menaruh perasaan dengan jejaka yang 12 tahun muda daripadanya. Keadaan tentunya lebih riuh dengan ragam ketiga-tiga watak utama dengan misi cinta dan kehadiran bayi misteri dalam kehidupan mereka. Tidak lari daripada sentuhan yang pasti mencuit hati, Still, Marry Me pastinya akan menceriakan penonton dengan aksi-aksi lucu para pelakonnya selain menyelitkan pengajaran-pengajaran menarik untuk dijadikan iktibar.

Seiring dengan sambutan ulangtahun ke 15 pada tahun ini, ntv7 bakal dilihat menyiarkan pelbagai drama Korea yang bakal bersiaran khas buat pertama kalinya di Malaysia seperti A Gentleman’s Dignity dan Birdie Buddy yang bakal menemui penonton saluran itu tidak lama lagi.

Tahun ini kami ingin memberikan kepuasan kepada para penonton dengan menawarkan drama bersiri Korea terbaru yang disiarkan pertama kalinya di Malaysia. Menyedari semakin ramai rakyat Malaysia yang menggemari drama dari negara Korea, kami ingin menjadikan tawaran ini sebagai salah satu hadiah kepada mereka sempena ulangtahun ntv7 yang ke 15. Yang pasti pelbagai lagi program-program menarik dan kejutan yang akan menyusul tidak lama lagi,” kata Airin Zainul, Pengurus Besar Kumpulan ntv7 & 8TV.

Masihkah ada harapan cinta sejati yang tidak mengenal usia? Bagi peminat drama bersiri Korea, pastikan anda tidak ketinggalan menonton  Still, Marry Me di slot Korean Series yang pertama kali disiarkan di Malaysia bermula 1 Februari 2013 pada setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 12 tengah hari, eksklusif di Saluran Ceria Anda, ntv7.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *