(HIBURAN) Filem KAPSUL…menggabungkan jutawan dan pelakon terbaik di Malaysia

Spread the love

IMG_4728

Two Tones Sdn Bhd dan Martias Ali, merupakan dua nama yang jarang kedengaran di dalam industri filem tanah air walaupun hakikatnya dua nama ini telah lama berada di dalam industri kreatif dan penulisan skrip di Malaysia. Two Tones Sdn Bhd yang bergiat aktif didalam penghasilan CGI (Computer-generated imagery) untuk media pengiklanan, filem  dan animasi di Malaysia bakal bergabung tenaga dengan pengarah Martias Ali dalam penghasilan filem pertama di bawah syarikat milik saudara Amru Najmi Osman iaitu KAPSUL.  Filem KAPSUL ini bakal membariskan barisan pelakon terkenal tanah air yang mana hampir 75 peratus daripada mereka pernah memenangi atau merangkul pelbagai anugerah dalam industri perfileman tanah air.

IMG_4715

Martias Ali dan  Amru Najmi Osman menerusi syarikat beliau Two Tones Sdn Bhd, mempertaruhkan pelakon terkenal tanah air iaitu Faizal Hussin yang melakonkan watak ‘Zohri’ sebagai teraju utama filem KAPSUL.  Filem yang bakal menelan anggaran belanja hampir RM2.3 juta ini akan menggunakan hampir 70 peratus teknik CGI dimana pihak Finas sudi memberikan sumbangan geran untuk penghasilan teknik CGI dan kos-kos lain adalah 100 peratus dari poket pihak penerbit Two Tones Sdn Bhd. Menurut sutradara Martias Ali lagi, “tidak ramai pihak yang sudi untuk melabur dalam filem bercorakkan kenegaraan secara penuh, ini kerana sepanjang pengetahuan beliau, filem yang bercorak kenegaraan ini tidak banyak membuat keuntungan dan beliau berterima kasih kepada pihak Finas kerana sudi membantu dalam meringgankan sedikit beban kos produksi dengan penganugerahan geran untuk penghasilan tenik CGI ini” . Martias Ali turut merasa bangga apabila  jutawan internet Irfan Khairi berminat menjadi salah seorang pelakon dalam filem ini. Antara elemen menarik CGI dalam filem ini adalah “teknik penindihan wajah yang melibatkan ikon negara iaitu Tun Mahathir” tambah saudara Amru Najmi Osman.

Filem KAPSUL bakal menjalani pengambaran selama 28 hari dan akan memulakan proses pengambaran di Kuala Kangsar tetapi proses penghasilan teknik CGI telah lama bermula, jelas sutradara Martias Ali lagi. Antara pelakon lain yang turut membintangi filem KAPSUL ini ialah, Datuk Rahim Razali (Dato Johan),  Adlin Aman Ramli (Hang Tuah), Zaidi Omar (Hamid), Normah Damanhuri ( Mak Leha),  Zamarulhisham (Kassim Selamat),  Jue Aziz, Mubarak Majid (Abu Bakar),  Shahruddin Tamby (Dato Najmi),  Sharonizam , Adam Corie Lee (Leftnan Junjiro Kodomo ), Harun Salim Bachik (Tok Imam) , Meor Hashim Manap , Qazim Nor (Prebet Naim ), T.S Jeffry ( Leftenan Jeneral Mutagui),  Haerianto Hassan (Tun Mahathir),  Aman Garseka (Malik),  Kenji Sawahi  (Chein Tein ), Joey Daud  ( Askar Melayu – Hamdan),  Zamri GK (Insp. Zamri),  Ahya (Kopral Ramli), Irfan Khairi (Wan Ikmal ), Zack X Factor,  Fadilah Mansor (Tun  Siti Hasmah ),  Abdul Manan Sulaiman (Dato’ Tun Razak ), Ann Yusof ( Salmah ),Ucop Cecupak  dan Reza Fuad.

Sinopsis Filem :

Kisah seorang pemuda yang terperangkap di dalam kapsul masa di empat zaman berbeza. Sebuah kapsul masa wawasan 2020 yang ditanam oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad telah dicuri dan telah membawa Zohri kembali ke zaman silam. Zohri kini terperangkap di tengah pergolakan bangsa melayu untuk mencapai kemerdekaan serta membawa bangsa Melayu keluar dari kancah kemiskinan. Zohri melihat dan merasa sendiri akan erti sebuah perjuangan bangsanya yang tidak pernah dia bayangkan selama ini. Dia melihat, dia merasai dan kini dia mulai memahami betapa peritnya liku-liku rentetan sejarah negara dan bangsa. Kembara Zohri berterusan dari satu era ke era seterusnya dan tiada siapa yang mampu membawanya pulang ke zamannya sekarang kecuali dirinya sendiri.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *