Teka-teki siapakah yang bakal merangkul gelaran juara! di gelanggang akhir Raja Lawak Musim Ke-7 akhirnya terjawab apabila kumpulan Wala yang terdiri daripada Wan Mustapha Muntek dan Walawd Parman berasal dari Sabah dinobatkan selaku juara di gelanggang akhir Raja Lawak 7. Selaku juara, kumpulan itu berjaya meraih hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 berserta trofi. Manakala naib juara dimenangi oleh kumpulan Sakan yang dianggotai oleh Husni Hussain, Ku Ismafaizul Ku Ismail dan Mohd Saiful Nizam Mansor dan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM50,000. Manakala tempat ketiga menjadi milik kumpulan dari Singapura iaitu Bora dan Gamat berada di tempat keempat. Bora dan Gamat tidak pulang dengan tangan kosong apabila masing-masing berjaya meraih hadiah wang tunai RM30,000 dan RM10,000 berserta trofi.
Pada pertandingan itu, para finalis diberikan dua tugasan iaitu bebas dan komedi muzikal. Seorang artis jemputan juga turut dijemput untuk membantu mereka dalam persembahan yang diadakan di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Antara pelawak yang dijemput untuk membantu peserta adalah Shahrul dan Ajak dari kumpulan Shiro, Rahim dan Yassin. Keputusan penuh pula ditentukan oleh penonton seratus peratus menerusi undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS). Raja Lawak ketujuh dihoskan oleh Johan dan Zizan dan pertandingan akhir itu diadili oleh tiga orang juri tetap iaitu Datuk AC Mizal, Saiful Apek dan Isma Alif.