(HIBURAN) Nasyid Friday: Kebangkitan Dakwah Moden  

Spread the love

KUALA LUMPUR – Mengambil keberkatan hari Jumaat dan melihat bagaimana dekatnya anak muda dengan hiburan dan seni pada hari ini, Adnin Roslan yang merupakan founder Tarbiah Sentap, Pengarah dan Penerbit Nasyid Friday ‘melahirkan’ sebuah gelombang antusias terhadap hiburan berunsur Islamik dan kerohanian.

Justeru, selepas melalui beberapa proses dan pertimbangan serta mendapat sokongan dalam kalangan rakan seperjuangan dengan misi yang sama, sebuah projek muzik yang diberi nama Nasyid Friday diwujudkan. Adnin menyifatkan nasyid bukan sekadar hiburan, lantas Nasyid Friday akan menjadi gelombang menghidupkan semula seni yang membawa manusia kembali mengingati Tuhan.

Nasyid Friday akan dimulai pada setiap Jumaat bermula Jun 2026 sebelum berakhir pada Januari 2027. Ia akan bergerak menerusi pembabitan lapan penyanyi nasyid yang melahirkan karya-karya kerohanian bersama video muzik. Mereka terdiri daripada Adnin Roslan, Aniq Muhai, Aswan Anwar, Kumpulan One Path, kumpulan Rabithah, kumpulan Fetya, kumpulan The Truth dan juga kumpulan Autotune Band.

“Kami memilih hari Jumaat kerana ia adalah penghulu segala hari dan kami mahu menjadikan setiap Jumaat sebagai hari untuk menyebarkan karya yang membawa nilai positif, ketenangan dan dakwah melalui seni.

“Visi utama saya adalah untuk memberi alternatif hiburan kepada anak muda. Hari ini, anak muda sangat dekat dengan muzik, media sosial dan visual. Jadi saya percaya dakwah juga perlu hadir dalam bentuk yang dekat dengan jiwa mereka.

“Kerana masyarakat hari ini sangat memerlukan hiburan alternatif yang mendidik jiwa, dengan kualiti yang setara dengan hiburan sedia ada,” ujar Pengarah dan Penerbit Nasyid Friday, Adnin Roslan.

Bercakap lanjut mengenai Nasyid Friday, mereka mempunyai misi untuk menghidupkan industri nasyid yang suatu ketika dahulu memainkan pengaruh cukup besar. Malah lagu-lagu dalam projek Nasyid Friday memberi tumpuan kepada isu-isu remaja dan anak muda.

“Saya percaya masyarakat masih cintakan karya-karya yang mempunyai roh dan makna, cuma generasi hari ini memerlukan pendekatan yang lebih segar dan relevan dengan zaman mereka.

Saya berharap Nasyid Friday dapat menjadi satu permulaan baharu kepada kebangkitan seni dakwah moden dan membuka ruang kepada lebih ramai anak muda untuk mendekati Islam melalui seni yang indah, lembut dan menyentuh jiwa,” katanya lagi.

Sementara itu Bilal yang mewakili kumpulan Fetya menyifatkan pemilihan menghasilkan lagu- lagu memperjuangkan Palestin yang akan diisi dalam Nasyid Friday selaras dengan simbol kebebasan dan kemerdekaan. Ini merupakan pengisian khusus untuk lagu-lagu dan album Fetya dalam projek Nasyid Friday.

“Palestin adalah simbol kebebasan dan kemerdekaan. Banyak perkara kita belajar dari mereka; kekuatan iman, tarbiyah jihadiyah dan kesatuan politik.

“Palestin adalah simbol pertembungan eksistensi antara Al-Quran dan Talmud (معركة الوجود بین القران والتلمود). Pertembungan menentukan baik atau buruknya alam ini. Fetya ingin mengajak masyarakat menyedari realiti ini dan mengambil posisi,” ujar Bilal mewakili kumpulan Fetya.

Ditanya harapan Fetya untuk Nasyid Friday dan jawapan Bilal mewakili,  “Agar Tsunami nasyid Malaysia terus aktif, mendapat dukungan kuat rakyat Malaysia dan kembali mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.”

Tambah Ridwan mewakili kumpulan Rabithah, harapan mereka untuk Nasyid Friday adalah agar masyarakat dapat terus menyokong, mendengar dan menilai lagu-lagu dakwah daripada semua artis Tarbiah Sentap Records dengan hati yang terbuka.

“Karya-karya yang kami hasilkan ini bukan dibuat sekadar untuk hiburan semata-mata, tetapi sebagai satu alternatif hiburan yang mendidik jiwa, menenangkan hati dan mengajak manusia kembali dekat kepada Allah dan Islam di saat masyarakat semakin dahagakan hiburan yang membawa makna,” ujar Ridwan yang menganggap ini sebuah usaha yang dilakukan hanya demi mencari reda Allah dan mengharapkan syurga-Nya.

“Kami berharap agar semua dapat menikmati karya-karya ini, seterusnya membantu menyokong dan menyebarluaskannya supaya lebih ramai manusia dapat mengenali, mendengar dan mengambil manfaat daripadanya,” akhiri Ridwan dengan penuh harapan.

Lebih menarik, Nasyid Friday tidak hanya disertai lapan tunggak utama tetapi menerima penampilan istimewa dalam kalangan selebriti serta penyanyi tempatan yang mahu ikut menyemarakkan projek mulia ini.

Mereka yang bakal terlibat dalam pembikinan tiga daripada lapan album ini adalah Saiful Apek, Anas Tahir dan Alif Azhari.

“Saiful Apek, Anas Tahir dan Alif Azhari akan menjadi artis jemputan dalam tiga album Nasyid Friday, namun semuanya masih di peringkat produksi,” ujar Adnin.

Visi Tarbiah Sentap Melalui Seni

Sementara itu bercakap tentang Tarbiah Sentap, Adnin menzahirkan misi dan visi besar yang dibawa selama ini.

Menurut Adinin: “Visi besar kami adalah untuk menjadi saluran dakwah, tarbiah dan hiburan Islami pilihan nombor satu anak muda. Kami mahu membina satu ekosistem kandungan yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga memberi kesan kepada hati, pemikiran dan kehidupan masyarakat.

“Kalau kita melihat sejarah perkembangan Islam di Malaysia dan Alam Melayu, antara pendekatan yang digunakan oleh para pendakwah terdahulu juga adalah melalui seni dan budaya. Mereka menggunakan syair, qasidah, tulisan, penceritaan dan pelbagai bentuk seni untuk mendekatkan masyarakat kepada Islam dengan cara yang lembut dan menyentuh hati.

“Jadi bagi saya, seni bukan sesuatu yang asing dalam dakwah, tetapi ia adalah salah satu medium yang sangat kuat untuk menyampaikan mesej kebaikan kepada masyarakat.”

Di atas faktor yang dinyatakan, Adnin mengatakan penghasilan nasyid baharu setiap hari Jumaat bermula Jun 2026 sehingga Januari 2027 kelak akan dibangunkan bersama  penghasilan sekitar 200 video dan konten dakwah setiap bulan.

“Dakwah-dakwah ini akan merangkumi pelbagai bentuk konten media sosial yang dekat dengan generasi hari ini. Dalam masa yang sama, kami juga akan menerbitkan lapan sketsa dakwah setiap bulan sebagai medium penyampaian mesej Islam yang lebih santai, kreatif dan mudah difahami.

“Pada masa sama, ada juga menghasilkan lebih banyak buku-buku dakwah dan jelajah dakwah di seluruh Malaysia.

Saya mahu buktikan bahawa karya yang mengingatkan kepada Tuhan juga boleh dihasilkan dengan kualiti yang tinggi, visual yang cantik, susunan muzik yang moden dan mesej yang menyentuh hati,” jelasnya lagi.

Kini dengan semua perancangan yang dalam hidungan hari untuk terlaksana, Nasyid Friday berharap misi yang mahu disampaikan dapat diterima baik sebagai satu kebangkitan seni dakwah moden.

INFORMASI

PROJEK: 6 LAGU DALAM 8 ALBUM NASYID FRIDAY

PENYANYI/ PENDAKWAH: ADNIN ROSLAN, ANIQ MUHAI, ASWAN ANWAR, KUMPULAN ONE PATH, KUMPULAN RABITHAH, KUMPULAN FETYA, KUMPULAN THE TRUTH, KUMPULAN AUTOTUNE BAND

ARTIS JEMPUTAN: SAIFUL APEK, ANAS TAHIR, ALIF AZHARI

TARIKH PROJEK: JUN 2026 – JANUARI 2027

PENERBIT DAN PENGARAH NASYID FRIDAY: ADNIN ROSLAN


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *