(HIBURAN) PANTAS – HANIE SORAYA

image003

Hanie Soraya Taha atau nama pentasnya Hanie Soraya merupakan seorang penyanyi wanita generasi baru yang berbakat besar yang dilihat terus melangkah ke hadapan dengan gaya tersendiri. Dengan kemahirannya bermain gitar dan ukulele, penyanyi kecil molek yang berumur 20 tahun ini telah menerima sambutan yang hangat hingga akhirnya mendapat tumpuan superstar, Faizal Tahir. Dengan adanya panduan dan nasihat daripada Faizal, Hanie Soraya mula mekar didalam industri muzik tanah air sehingga dia berjaya melancarkan single pertamanya “Hujung Dunia” pada Mac tahun lalu, diikuti dengan single keduanya “Rasa Sayang” pada Januari tahun ini.

Hanie Soraya - Pantas BTS

Setelah berjaya melancarkan 2 buah lagu hit, kini Hanie tampil dengan buah tangan yang baru. Warner Music Malaysia dengan bangganya mempersembahkan single terbarunya yang berjudul ‘Pantas’. Single ‘Pantas’ mengandungi lirik-lirik yang memberi inspirasi kepada pendengar serta memberi mesej tentang kehidupan dan keberanian untuk mengejar cita-cita.

Lagu ‘Pantas’ ini telah dicipta oleh komposer terkenal dan juga mentor Hanie iaitu Faizal Tahir serta Mike Chan, Ezra Kong dan Hanie sendiri. Muzik yang dihasilkan menerusi lagu ini mempunyai kelainannya yang tersendiri. Kiranya, sekali dengar, pendengar sudah boleh ‘tangkap’ melodinya. Lagu ‘Pantas’ ini merupakan sebuah lagu yang menyeru generasi muda untuk terus beranikan diri untuk mengejar impian dan menjadikannya satu realiti. Lirik yang mengisahkan tentang nasihat itu amat mudah difahami kerana disampaikan secara tersurat serta sulaman melodi yang segar, bersesuaian dengan aliran muzik semasa.

Hanie Soraya - Pantas BTS 4

Lagu ‘Pantas’ telah dilancarkan di seluruh stesen radio Malaysia dan sering menjadi permintaan oleh peminat Hanie untuk dimainkan di corong-corong radio. Muzik video untuk lagu ini juga kini sudah berada di YouTube. Muzik video yang berdurasi lebih kurang 3.59 minit itu memaparkan sisi karakter Hanie bersama rakan-rakan yang ceria dan bersahaja dalam menikmati kehidupan diusia remaja. Dalam pada menikmati keindahan hidup, mereka tahu bahawa di usia remaja ini lah masa yang paling tepat untuk mengejar dan menggapai impian. Muzik video bagi lagu ‘Pantas’ ini telah dirakamkan pada September lalu di Pantai Morib, Banting, Selangor.

Hanie Soraya - Pantas BTS 3

Pihak Warner Music Malaysia ingin mengucapkan terima kasih kepada Zalora Malaysia atas tajaan busana Hanie Soraya untuk menjayakan muzik video ‘Pantas’.

Hanie Soraya - Pantas BTS 2

Pantas’ ini merupakan satu lagi edaran digital daripada Warner Music (M) Sdn Bhd dan Faithful Music Sdn Bhd. Lagu ini juga sudah boleh didapati di iTunes, KKBOX, Raku, Joox dan juga Spotify.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *