(HIBURAN) PAYSLIP BAND – GENERASI BARU YANG BERBAKAT BESAR!

Spread the love

IMG_9494

Kecil-kecil cili padi! Begitulah ungkapan yang paling sesuai untuk menggambarkan kumpulan PAYSLIP yang membariskan remaja lingkungan umur belasan tahun ini. Dianggotai oleh 4 orang anak muda, PAYSLIP merupakan gabungan dua beradik Mohd Asrul Najmi (16 tahun) sebagai pemain bass dan Mohd Hakimi (15 tahun) sebagai vokalis, bersama dua remaja lagi yang berlatarbelakangkan kumpulan rock lagenda XPDC,  iaitu Nik Mohd Arif (16 tahun) sebagai pemain gitar, dan Syazwan (15 tahun) sebagai pemain drum.

IMG_9356

Hasil daripada darah seni yang mengalir dalam tubuh anak-anak muda ini, mereka mengikut jejak langkah ahli keluarga yang turut meminati muzik sejak kecil lagi. Mohd Asrul Najmi dan Mohd Hakimi yang telah berjinak dengan aliran muzik sejak berumur 10 tahun ini mulanya telah membentuk kumpulan dengan dianggotai oleh ahli keluarga mereka. Mereka kemudiannya diketemukan dengan Nik Mohd Arif (anak kepada pemain gitar XPDC, Izo) dan Syazwan (anak kepada pengurus XPDC, Yazid) menerusi pertandingan antara band yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan pada tahun 2011 yang lalu.

Bak kata orang, “Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu”. Walaupun usia yang terlalu muda tidak melayakkan mereka untuk menyertai pertandingan itu, hal ini tidak menghalang PAYSLIP untuk turut beraksi di pentas persembahan. Penganjur yang menyedari bakat mereka telah menjemput PAYSLIP untuk membuat persembahan sebagai artis pembukaan pada acara kemuncak pertandingan itu. Kehebatan mereka begitu ketara  apabila PAYSLIP berjaya menonjol daripada barisan peserta pertandingan, lantas memukau penonton dengan persembahan mereka yang kemas dan bertenaga.

Bakat mereka turut membuka mata salah sebuah stesen televisyen tempatan yang menjemput mereka untuk menyertai program “Jamming”. PAYSLIP sekali lagi ‘menyengat’ apabila menjuarai program ini. Bertitik tolak daripada sini, PAYSLIP mula mendapat perhatian jabatan-jabatan kerajaan yang kini menjadikan PAYSLIP sebagai sebuah band wajib untuk membuat persembahan di majlis anjuran mereka.

PAYSLIP bukanlah sebuah kumpulan yang baru dikenali oleh Warner Music Malaysia. Kedua pihak ini telah mula bekerjasama sejak pertengahan tahun yang lalu, apabila PAYSLIP dijemput untuk menjayakan projek kerjasama bersama Astro, “Tribute to Sudirman”.  Melalui projek ini, PAYSLIP menyanyikan lagu Allahyarham Sudirman yang bertajuk “Joget Kenangan Manis”. Lagu ini telah dimasukkan dalam album “AKU SUDIRMAN – SUATU INTERPRETASI” yang telah dipasarkan pada 5 Jun lalu.

Kini, Warner Music Malaysia dan PAYSLIP ditemukan lagi dalam suatu hubungan professional. Khas buat pencinta muzik tanah air yang tentunya mendambakan kelainan, terimalah sebuah kumpulan anak-anak muda yang bakal menyinari dunia seni tanah air..


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *