(HIBURAN) RETRO BANGKIT – PESTA POP YEH-YEH 2026 HIDUPKAN SEMULA NOSTALGIA, HIMPUNKAN LEGENDA DAN CUNGKIL BAKAT BAHARU

Spread the love

KUALA LUMPUR, 17 September 2026 – Irama, gaya dan warna muzik Pop Yeh-Yeh yang pernah mencetuskan fenomena dalam dunia hiburan tanah air sekitar era 1960-an bakal kembali menghidupkan suasana ibu negara menerusi Retro Bangkit – Pesta Pop Yeh-Yeh 2026, yang berlangsung pada Sabtu, 19 September 2026, dari jam 2.00 petang hingga 7.00 malam di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur.

Dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan (JKKPS), program berkenaan menjadi antara usaha berterusan pihak berkuasa tempatan dalam menyediakan ruang kepada masyarakat dan penggiat seni untuk meraikan kepelbagaian aktiviti muzik, seni serta warisan budaya di Kuala Lumpur.

Mengangkat tema “Nostalgia Kembali, Legenda Beraksi, Bakat Baharu Dicari”, Retro Bangkit bukan sekadar membawa penonton menyusuri kembali kenangan kegemilangan Pop Yeh-Yeh, sebaliknya turut membuka ruang kepada generasi baharu untuk mengenali genre muzik yang pernah menjadi sebahagian penting daripada perkembangan muzik popular tempatan.

Lebih menarik, program ini menghimpunkan figura yang sinonim dengan era berkenaan bersama bakat baharu dalam satu pentas, sekali gus mewujudkan pertemuan antara generasi yang pernah menghidupkan muzik Pop Yeh-Yeh dengan generasi yang bakal mewarisi serta memberikan tafsiran baharu terhadap khazanah muzik tersebut.

Antara tarikan utama Retro Bangkit ialah persembahan khas daripada tiga nama yang cukup dekat dengan dunia hiburan tanah air, iaitu Dato’ Jeffrydin, Dato’ J-Sham dan personaliti ikonik Ayahanda Rani Kulup. Persembahan mereka akan diiringi Kipidap Family Group, manakala Bob Ringgo pula bertindak sebagai hos sepanjang program.

Kehadiran barisan legenda dan penggiat seni tersebut dijangka memberikan pengalaman nostalgia kepada peminat yang membesar dengan muzik Pop Yeh-Yeh, selain membuka peluang kepada generasi muda untuk mengenali dengan lebih dekat bunyi, gaya persembahan dan karakter muzik yang pernah mencorakkan industri hiburan tempatan.

Dalam masa sama, Retro Bangkit turut memberikan penekanan kepada kesinambungan genre tersebut menerusi Pertandingan Idola Pop Yeh-Yeh 2026, yang diwujudkan khusus bagi mencungkil bakat baharu yang mempunyai kebolehan untuk menghidupkan semula semangat dan identiti Pop Yeh-Yeh menerusi gaya serta interpretasi mereka sendiri.

Menariknya, penyertaan pertandingan tersebut adalah percuma, sekali gus membuka ruang seluas-luasnya kepada generasi baharu untuk tampil mencuba nasib, mengenali muzik Pop Yeh-Yeh dan mengembangkan kreativiti mereka tanpa mengenepikan ciri asas genre berkenaan.

Pertandingan akan dimulakan dengan pendaftaran peserta pada jam 2.00 petang, diikuti sesi saringan dari 3.00 hingga 5.00 petang, sebelum peserta terbaik berentap dalam Pusingan Akhir Top 5 Idola Pop Yeh-Yeh 2026 pada jam 5.30 petang.

Bagi peserta yang berjaya, Johan bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000, manakala Naib Johan RM500 dan Tempat Ketiga RM300. Lima peserta turut akan menerima hadiah saguhati sebanyak RM100 setiap seorang.

Mereka yang berminat untuk menyertai pertandingan berkenaan boleh mendapatkan maklumat lanjut dan membuat pendaftaran menerusi WhatsApp di +60 14-641 4295.

Penganjuran Retro Bangkit dilihat sebagai satu pendekatan yang menggabungkan elemen hiburan dan pemeliharaan warisan muzik dengan cara yang lebih santai serta dekat dengan masyarakat. Selain memberi ruang kepada legenda untuk kembali beraksi, program ini turut membolehkan bakat baharu melihat Pop Yeh-Yeh bukan sekadar muzik lama, tetapi sebagai satu warisan yang masih boleh diterokai, ditafsirkan dan diperkenalkan kepada generasi masa kini.

Dengan menggabungkan persembahan legenda, pertandingan bakat dan pengalaman nostalgia dalam satu program, Retro Bangkit diharapkan dapat menjadi jambatan antara generasi serta menyemarakkan semula minat terhadap muzik popular tempatan yang pernah menjadi sebahagian daripada identiti budaya masyarakat Malaysia.

Orang ramai, khususnya peminat muzik Pop Yeh-Yeh, golongan keluarga serta generasi muda dijemput hadir untuk memeriahkan program yang menawarkan kemasukan secara percuma .


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *