(SEMASA) SAMSUNG GALAXY Z FOLD8: LEBIH RINGAN, LEBIH PRAKTIKAL

Spread the love

Samsung Galaxy Z Fold8 bukan sekadar telefon boleh lipat yang menjadi lebih nipis dan ringan. Versi kali ini membawa perubahan pada bentuk keseluruhan peranti, termasuk skrin hadapan yang lebih lebar dan paparan utama dengan nisbah 4:3 selepas 7 generasi. Selepas digunakan sebagai peranti percubaan, perubahan ini memang terasa tetapi pada masa yang sama, ada beberapa perkara yang membuatkan kita tertanya-tanya sama ada semua perubahan itu benar-benar satu peningkatan.

Samsung nampaknya mahu menjadikan Galaxy Z Fold8 lebih mudah digunakan sebagai telefon biasa apabila dilipat, tanpa mengorbankan pengalaman seperti tablet apabila dibuka dan disinilah karakter sebenar Fold8 mula terserlah.

Ia bukan lagi sekadar telefon untuk menunjukkan teknologi lipatan. Sebaliknya, Samsung cuba menjadikan format ini lebih praktikal untuk kegunaan harian daripada membalas mesej, membaca dokumen, menonton video sehinggalah melakukan kerja yang memerlukan lebih daripada satu aplikasi pada masa yang sama.

REKA BENTUK ATAU REKAAN LUARAN

Perkara paling mudah untuk dirasai apabila pertama kali memegang Galaxy Z Fold8 ialah beratnya.

Dengan berat hanya 201 gram, Fold8 kini menjadi Galaxy Z Fold paling ringan setakat ini. Samsung turut mengubah bentuknya menjadi lebih lebar dan lebih pendek berbanding reka bentuk Fold generasi terdahulu. Ketebalan ketika dibuka pula hanya sekitar 4.5mm.

Telefon ini terasa lebih mudah dibawa ke mana-mana, khususnya apabila dimasukkan ke dalam poket untuk tempoh yang lama. Untuk sebuah telefon yang boleh berubah menjadi paparan 7.6 inci, 201 gram merupakan angka yang agak mengagumkan.

Samsung juga menggunakan Armor FlexHinge yang diperbaharui bersama struktur paparan berasaskan Flex Titanium. Menurut Samsung, struktur ini membantu meningkatkan ketegaran paparan dan mengurangkan keterlihatan garisan lipatan.

Garisan lipatan masih ada, tetapi ia tidak lagi menjadi perkara pertama yang kita perhatikan apabila menggunakan skrin utama.

Skrin hadapan 5.5 inci kini lebih lebar dan menggunakan nisbah 10:16. Ia terasa lebih dekat dengan pengalaman telefon biasa berbanding Fold terdahulu. Untuk menaip, membaca mesej dan melakukan tugasan ringkas, ia memang lebih selesa.

Tetapi bagi pengguna yang biasa dengan telefon bersaiz lebih kecil atau skrin yang sempit, bentuk baharu ini mungkin mengambil sedikit masa untuk dibiasakan.

Apabila dibuka pula, Fold8 terasa seperti sebuah tablet mini yang boleh dimasukkan ke dalam poket dan itu sebenarnya kelebihan paling besar reka bentuk ini.

PAPARAN PERANTI

Galaxy Z Fold8 hadir dengan dua paparan Dynamic AMOLED 2X skrin hadapan 5.5 inci dan skrin utama 7.6 inci. Kedua-duanya menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz, manakala Samsung menyatakan kedua-dua skrin boleh mencapai kecerahan sehingga 3,000 nits. Skrin utama turut dilengkapi lapisan anti-pantulan bagi mengurangkan silau.

Perubahan terbesar ialah nisbah paparan. Apabila dibuka, skrin utama menggunakan nisbah 4:3. Samsung memilih nisbah ini kerana ia lebih sesuai untuk membaca, melayari laman web, membuka dokumen dan menjalankan beberapa aplikasi secara serentak.

Membuka dokumen kerja sambil merujuk kepada e-mel atau laman web terasa lebih natural. Begitu juga ketika membaca PDF, menyemak dokumen atau mengedit kandungan.

Tetapi untuk video pula, pengalaman bergantung kepada kandungan. Tidak semua video memenuhi keseluruhan skrin kerana kebanyakan kandungan video masih menggunakan nisbah yang berbeza. Jadi, jangan menganggap skrin 7.6 inci bermaksud semua kandungan akan memenuhi keseluruhan permukaan paparan..

CHIPSET DAN PRESTASI

Samsung menggunakan Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy pada Galaxy Z Fold8, dengan konfigurasi memori sehingga 16GB dan storan sehingga 1TB, bergantung kepada varian. Dalam penggunaan harian, prestasi bukan sesuatu yang perlu dirisaukan kerana peranti ini boleh membuka beberapa aplikasi, bertukar antara aplikasi, menggunakan kamera, menyunting gambar atau menjalankan tugasan berasaskan AI semuanya terasa pantas.

Tetapi kekuatan sebenar Fold8 bukan semata-mata kelajuan pemproses tetapi fungsi multitasking. Skrin 7.6 inci memberikan ruang yang jauh lebih besar untuk menggunakan dua aplikasi pada masa yang sama. Sebagai contoh, satu aplikasi boleh digunakan untuk membaca dokumen manakala satu lagi digunakan untuk mencatat maklumat atau membalas mesej. Bagi mereka yang banyak melakukan kerja melalui telefon, fungsi sebegini lebih bermakna berbanding sekadar keputusan benchmark.

Samsung juga mengoptimumkan One UI 9 untuk format Fold8 dengan pengalaman multi-window dan susun atur yang lebih sesuai dengan skrin besar.

KAMERA DAN LENSA

Untuk kamera, Galaxy Z Fold8 menggunakan sistem kamera belakang dwi-lensa:

50MP Wide f/1.8 dengan OIS
50MP Ultra Wide f/1.9

Ia turut mempunyai kamera hadapan 10MP pada skrin utama dan kamera 10MP pada skrin hadapan. Samsung menyokong rakaman video sehingga 8K pada 30fps serta fungsi slow motion sehingga 240fps pada Full HD.

Secara asasnya, kamera Fold8 menghasilkan gambar yang baik. Warna kelihatan menarik, julat dinamik juga baik dan gambar daripada kamera utama cukup tajam untuk kegunaan harian. Kamera ultra-wide pula berguna apabila mahu memasukkan lebih banyak subjek dalam satu frame.

Tiada kamera telefoto khusus.

Untuk telefon dalam kelas harga ini, ketiadaan telefoto memang terasa, terutama ketika merakam subjek dari jauh. Samsung menggantikannya dengan 2x Optical Quality Zoom berasaskan Adaptive Pixel serta zoom digital sehingga 10x, tetapi ia tidak sama dengan mempunyai lensa telefoto sebenar.

Untuk fotografi biasa, ia bukan masalah besar. Tetapi apabila dibandingkan dengan telefon flagship yang lebih menumpukan kepada kamera, Fold8 masih belum berada pada tahap yang sama dari segi fleksibiliti fotografi jarak jauh.

Satu fungsi yang menarik ialah penggunaan skrin luar sebagai paparan pratonton ketika merakam menggunakan kamera utama. Ini sangat berguna ketika mengambil gambar diri sendiri atau menghasilkan kandungan video.

Samsung turut memperkenalkan fungsi My FanCam berasaskan Galaxy AI yang membolehkan pengguna memilih subjek tertentu daripada rakaman untuk menghasilkan video yang lebih tertumpu kepada individu tersebut.

AUDIO

Galaxy Z Fold8 menggunakan sistem pembesar suara stereo. Untuk menonton YouTube, Netflix atau mendengar muzik secara santai, prestasinya memang memadai dan sepadan dengan saiz skrin yang besar.

Apabila telefon dibuka dalam mod landskap, bagaimanapun, kedudukan pembesar suara dan cara kita memegang peranti boleh memberi sedikit kesan kepada keseimbangan bunyi.

Ia bukan isu besar, tetapi ia sesuatu yang mungkin disedari oleh pengguna yang kerap menggunakan Fold8 sebagai peranti hiburan utama.

Secara keseluruhan, audio Fold8 lebih kepada pengalaman multimedia yang seimbang berbanding cuba menggantikan pembesar suara mudah alih.

BATERI DAN PENGECASAN

Samsung melengkapkan Fold8 dengan bateri 4,800mAh dan sokongan pengecasan berwayar 45W. Samsung mendakwa ia mampu memberikan sehingga 26 jam masa main balik video dalam keadaan ujian tertentu. Dalam penggunaan sebenar, hayat bateri tentunya bergantung kepada bagaimana telefon digunakan.

Jika kebanyakannya menggunakan skrin hadapan untuk mesej, panggilan dan media sosial, bateri lebih mudah bertahan sepanjang hari. Apabila skrin utama digunakan secara intensif untuk video, kamera, permainan, navigasi dan multitasking, penggunaan bateri menjadi lebih tinggi dan ini adalah sesuatu yang logik untuk peranti yang mempunyai paparan 7.6 inci.

Satu perkara menarik tentang reka bentuk baharu ialah kedudukan gegelung pengecasan tanpa wayar. Samsung sendiri mengesahkan bahawa gegelung tersebut ditempatkan lebih ke bahagian bawah peranti kerana perubahan nisbah dan reka bentuk Fold8. Ini bermakna kedudukan telefon di atas pad pengecas perlu lebih tepat berbanding kebiasaan.

LAIN-LAIN

Antara perkara lain yang menarik ialah rating IP48 untuk ketahanan terhadap air dan habuk. Samsung turut menggunakan Gorilla Glass Ceramic 3 pada bahagian hadapan, Gorilla Glass Victus 2 pada bahagian belakang serta rangka Advanced Armor Aluminum.

Fold8 turut menyokong Wi-Fi 7, Bluetooth 6.0, NFC, UWB dan USB Type-C.

Samsung juga menjanjikan sokongan kemas kini keselamatan sehingga 31 Julai 2033 bagi model yang disenaraikan di Samsung Malaysia dan dari sudut penggunaan jangka panjang, sokongan perisian seperti ini penting kerana telefon premium bukan lagi sekadar dibeli untuk digunakan selama dua atau tiga tahun.

Dan sudah tentu, One UI 9 menjadi antara elemen penting dalam pengalaman Fold8 kerana banyak kelebihan peranti ini bergantung kepada cara Samsung mengoptimumkan sistem operasi untuk skrin yang boleh berubah saiz.

RUMUSAN

Selepas melihat Galaxy Z Fold8 dari sudut penggunaan sebenar, saya melihat versi generasi ini bukan sekadar usaha Samsung menghasilkan Fold yang lebih nipis atau ringan tetapi perubahan paling penting sebenarnya ialah bagaimana Samsung cuba menjadikan Fold sebagai telefon harian yang lebih mudah digunakan.

Berat 201 gram memang membantu. Skrin hadapan yang lebih lebar terasa lebih natural. Apabila dibuka pula, skrin 7.6 inci memberikan pengalaman yang sukar ditandingi oleh telefon pintar biasa.

Untuk kerja, membaca dokumen, membalas e-mel, menyunting kandungan atau sekadar menikmati kandungan multimedia, kelebihan format ini memang jelas.

Akhir kata, Fold8 boleh menjadi sebuah telefon lipat benar-benar digunakan sebagai telefon utama setiap hari tanpa membuatkan pengguna rasa mereka sedang membawa tablet kecil di dalam poket dan mungkin itulah perubahan paling penting pada versi kali ini bukan sekadar Fold yang boleh dibuka menjadi lebih besar, tetapi Fold yang jauh lebih praktikal untuk digunakan sebagai telefon harian.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *